Teringat
tazkirah yang saya ikuti beberapa tahun lalu di bulan rabiul awal nie?
Berkaitan maulidur rasul… Isinya disinopsiskan di status FB terkini ABIM Pusat.
“Apalah ertinya sambutan ulangtahun Nabi besar kita atau
Maulidur Rasul SAW kalau hanya kita menyambut dan mengenang nya sekadar
peringatan zahirnya sahaja.
Apalah ertinya keinsafan kita dalam menghayati sejarah
perjuangan Nabi yang begitu panjang tanpa kita kaitkan dengan diri kita,
peranan kita, tanggungjawab kita dan jihad kita untuk mempertahankan kesucian
islam yang telah dibawa oleh baginda SAW. Sambutan tidak akan memberi makna
tanpa usaha dan kecenderungan jihad dalam diri dan upaya kita mengangkat
martabat diri kita, keluarga, jiran tetangga, masyarakat dan negara kita ke
satu era yang gemilang berdasarkan panduan wahyu.
Cuba kita renung semangat jihad baginda yang dihamparkan
dengan perjuangan Islam seawal kelahirannya, bagaimana perjuangan baginda
berada dalam lingkungan masyarakat, begitu juga bagaimana baginda begitu tekun
dalam melaksanakan tugas sebagai Al-Amin yang menjadi tunjang , menjadi
kekuatan dan contoh generasi Mekah pada ketika itu atas kehebatan akhlaq dan
sahsiah baginda. Inilah bukti akan contoh yang dimainkan oleh baginda kepada
kaumnya walaupun berbeza dari segi fahaman agama dan keimanan. Namun baginda
tetap menjadi rujukan, penyinar kepada kegelapan umat pada zamannya.”
Salah
satu daripada intipati penting lain ialah antara mesej dakwah yang cuba
disampaikan oleh beliau, iaitu mesej kasih
sayang dan pembebasan umat daripada jahiliyyah (sifat, pemikiran dan perilaku).
Nabi diturunkan di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah Mekah yang hidup secara
kebinatangan (bestiality) dan jauh daripada norma-norma kemanusiaan sehinggakan
Kerajaan besar Rom dan Parsi yang menakluk hampir ke seluruh tanah Arab tidak
langsung memiliki keinginan untuk menawan kota Mekah ini. Hanyalah Abrahah saja
yang terdetik hati untuk menyerang Mekah atas niat untuk memusnahkan kaabah
terdorong daripada keperluan perekonomian melalui pelancongan… Atas faktor ini
jugalah timbul perasaan rendah diri dan ketakutan yang mendalam di kalangan
bangsa Quraisy terhadap serangan-serangan dari luar.
“Tuhan yang memberi mereka penghidupan: menyelamatkan
mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.” (Quraisy : 4)
Kehidupan
jahiliyyah kaum Quraisy perlukan pembebasan segera dan koreksinya adalah dalam
bentuk pemikiran dan sifat akhirnya diterjemahkan kepada perilaku dan sahsiah
mereka. Hanya Islah (Perubahan/reformasi) menyeluruh sahaja yang dapat menukar
bangsa Arab Quraisy ini menjadi bangsa yang mengemudi ketamadunan dunia selepas
itu.
Maka
dengan itulah Islah mesti menuju ke arah kebaikan, bukan kefasadan (keburukan
dan kehancuran)... Islah ini dipandu oleh syariah.
Ibnu
Qayyim rahimahullah menegaskan bahawa syariah itu berasaskan kepada
hikmah-hikmah dan maslahah-maslahah untuk manusia sama ada di dunia atau di
akhirat. Perubahan hukum yang berlaku berdasarkan perubahan zaman dan tempat
adalah untuk menjamin syariah dapat mendatangkan kemaslahatan kepada manusia.
Ibnu Qayyim menegaskan hal tersebut dalam kitab masyhurnya, I’lam
al-Muwaqqi’iin (dipetik oleh Dr Jasser Auda dalam bukunya, Maqasid Syariah:
Dalil Li al-Mubtadi’, m.s 50)
“Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah
atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah
Islam itu segalanya keadilan, rahmat, hikmah, kebaikan. Maka setiap perkara
yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang
berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmah kepada sia-
sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”.
Hari ini
muncul pelbagai isu-isu keagamaan yang amat memeningkan kepala dan menyebabkan
rakyat marhaen menjadi keliru. Kita bukan saja dipaksakan untuk bersama sesuatu
isu malah dipaksakan untuk menerima isu tersebut… Ada juga pihak dari kalangan
yang ekstrem mengeruhkan lagi keadaan dengan pandangan yang sangat negatif
malah ke arah tindakan yang jahiliyyah sifatnya.
Shaykh
'Allal al-Faasi dalam buku beliau bertajuk Maqasid al-Syariah al-Islamiyyah wa
Makarimuha (lihat hal. 355-359), demikian juga Ustadz Dr Raysouni yang dipetik
sebagai berkata:
“Agama
dan paksaan menurut pandangan Islam adalah dua perkara yang pertembungannya
yang tidak mungkin bergabung sekali. Apabila ada paksaan, maka batallah agama.
Paksaan tidak menghasilkan agama, bahkan menghasilkan nifaq (hipokrit), dusta
dan tipu daya. Semuanya adalah sifat-sifat batil dan ditolak dalam syarak. Ia
tidak menghasilkan sesuatu yang baik kecuali kehinaan hidup di dunia dan
akhirat. Sepertimana paksaan tidak melahirkan agama dan iman, maka demikian
juga ia tidak melahirkan kufur dan riddah. Orang yang dipaksa atas kekufuran,
tidak dikira sebagai kafir. Orang yang dipaksa supaya murtad tidak dikira
sebagai murtad. Demikian juga orang yang dipaksa beriman, dia bukan seorang
beriman. Orang yang dipaksa dengan Islam bukan beragama Islam.”
Walaupun
pandangan ini boleh ditolak dan didebatkan secara ilmiah tetapi intipati atau
idea kepada pemaksaan dalam sesuatu perkaralah yang mengundang kepada
kefasadan. Oleh sebab itulah, proses pendakwahan itu sepatutnya bersifat
menyeluruh. Kita tidak seharusnya membawa seorang itu untuk menganut agama suci
ini dengan hanya sekadar lafazan kalimah syahadah tetapi perlu disertai dengan
program-program terperinci dan lengkap pemantapan Islam sebagai ad-din.
Jika hal
ini tidak diberikan perhatian sewajarnya, jadilah umat Islam ini umpama
buih-buih dan pada namanya saja; dan di Sabah ini gelaran khususnya ialah Islam andang-andang.
Pengalaman
pahit beragama dan kebosanan serta kebangangan umat manusia terhadap
golongan-golongan elitis agama ini menyebabkan wujudnya fahaman anti-agama atau
sosialis atau komunis. Pengamalan agama secara tidak jujur dan berkepentingan
sebegitu telah berleluasa dalam sejarah Barat dan Muslim, justeru tidak
hairanlah Karl Marx (1818-1883) mengkritik peranan agama dengan menyatakan:
“Religion is the sigh of the oppressed
creature, the heart of a heartless world, and the soul of soulless conditions.
It is the opium of the people. The abolition of religion as the illusory
happiness of the people is the demand for their real happiness. To call on them
to give up their illusions about their condition is to call on them to give up
a condition that requires illusions. The criticism of religion is, therefore,
in embryo, the criticism of that vale of tears of which religion is the halo.”
[Agama
adalah keluhan mereka yang tertindas, nurani kepada dunia yang tiada bertimbang-rasa,
dan jiwa kepada suasana yang nihil kejiwaannya. Ia adalah candu masyarakat.
Penghapusan agama sebagai khayalan kebahagiaan masyarakat adalah desakan kepada
kebahagiaan sebenarnya. Menyeru mereka agar melupakan segala khayalan tentang
kehidupan mereka sebenarnya seruan yang mengajak meninggalkan keadaan yang
memerlukan khayalan. Kritik ke atas agama adalah sebenarnya, dalam bentuk
embrio, kritikan ke atas aliran air mata yang mana agama merupakan puncanya.]
Tidak
langsung terdetik di hati saya untuk menyokong kenyataan ini kerana kenyataan
Karl Marx ini lahir daripada implementasi elitis-elitis agamawan yang terlalu
sibuk membenarkan kebenaran mereka tanpa mengambil peduli hal rakyat marhaen di
bawah. Sudah semestinya cetusan idea yang membawa kepada kemenangan dan
perasaan bahagia di kalangan rakyat bawahan (terutama yang sudah bosan dengan
karut-marut golongan elitis-elitis agama) akan disambut dengan senangnya oleh
rakyat walaupun idea-idea ini bertentangan dengan keperluan dalam beragama.
Hari ini, situasi sebeginian sudah menunjukkan bibit-bibitnya…
Saya
hanya mampu berkata kepada rakan-rakan yang terlalu obses kepada penegakan hak
asasi kemanusiaan, “menuntut yang hak itu wajib, tetapi timbanglah dengan ilmu
pengetahuan yang didasari oleh keperluan setempat dan semasa serta wahyu, bukan
hanya dengan kewarasan akal”
dan juga
kepada elitis-elitis agamawan, “jangan menjauhkan diri daripada umat Islam
dengan pandangan yang terlalu kritis, gunakanlah pertimbangan akal dan ilmu
pengetahuan yang didasari oleh keperluan setempat dan semasa”
Akhir sekali,
saya suka berkongsi sekali lagi pandangan Ustaz Siddiq Fadhil ini semasa
memberikan pandangan tentang pemakaian kalimah Allah,
"Provokasi-provokasi keagamaan seharusnya dihindari,
dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa
pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya
relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti
sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah
di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya
warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini
ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari."
No comments:
Post a Comment