Monday, January 21, 2013

"Hero to Zero"


Kisah "Hero to Zero" mahupun "Zero to Hero" adalah sebahagian kisah teladan dari kehidupan ini untuk dikaji dan dijadikan panduan mahupun sempadan. Dalam beberapa minggu ini ada dua kisah menarik yang meletupkan ruang keliling kita daripada kisah Bawani #Listen yang menjadi Hero kepada golongan mahasiswa di Malaysia dan juga kisah Lance Armstrong, dari ikon sukan hebat kepada manusia paling keji terutamanya dalam dunia sukan (berbasikal).

Cerita keji Armstrong menipu dengan penipuan sebegini telah menjadikan beliau salah seorang lelaki di dunia yang paling dibenci. Sekiranya anda ketinggalan dengan kisah ini, Armstrong telah mengaku menyalahgunakan dadah untuk tempoh  yang panjang bagi meningkatkan prestasi secara sistematik semasa wawancara televisyen dengan Oprah Winfrey yang telah disiarkan pada pertengahan bulan Januari ini.

Katanya, "I was trying to win at all costs"

Mungkin ada di kalangan kita akan berkata dan mengangkat bahu sambil bekata dia hanyalah satu dalam sejuta ahli sukan yang melampaui batas garisan dalam usaha untuk kejayaan. Ia mungkin berlaku sepanjang masa dan tidak adalah membawa masalah besar…

Tambahan pula, ada lagi orang akan  berhujah bahawa beliau berhak menerima simpati mahupun pengecualian, atas kisah perjalanan hidup beliau yang jauh merentasi sukan berbasikal dan pernah menjadi  idola masyarakat umum; atas usaha berani beliau dalam mengatasi kanser dan kemudian dalam masa yang sama berjaya mengumpul berjuta-juta dolar untuk kebajikan.

Untuk beberapa tahun, Armstrong adalah salah satu lelaki yang paling dikagumi di planet ini. Dia adalah ‘superhero’ kehidupan sebenar yang selesai pertempuran menentang kanser dengan memenangi Tour de France tujuh kali berturut-turut, salah satu acara  yang paling melelahkan di kalangan acara sukan. Ceritera beliau adalah inspirasi tulen bagi berjuta-juta manusia.

Lance Armstrong berkata bahawa pengharaman seumur hidup daripada sukan kompetitif adalah penalti yang terlalu keras dan merupakan "hukuman mati" kepadanya.

Saya tidak mahu memberi hukuman apa-apa kepada Armstrong kerana bukanlah tanggungjawab kita untuk menghukum sesama manusia. Keputusan teknikal pengharaman seumur hidup adalah keputusan professional yang perlu beliau terima dengan hati yang terbuka.

Saya amat setuju dengan beliau, "I will spend the rest of my life trying to earn back trust and apologize to people,"

Masih banyak kaedah dan jalan untuk beliau memberikan sesuatu kembali kepada dunia ini...

Mungkin juga masih ramai lagi yang menipu ala-Armstrong ini di luar sana...

Saya berharap bukanlah Roger Federer, tidak juga Lionel Messi ... Saya berharap bukan juga Mo Farah, pelari jarak yang memenangi emas berganda di Sukan Olimpik London walaupun tidak layak untuk berada di Beijing empat tahun sebelumnya. Pasti kita juga tidak mahu ianya berlaku kepada ratu skuasy negara, Nicol Ann David mahupun Datuk Lee Chong Wei dan mana-mana atlet tempatan.

Jika kita masih perlu berterima kasih kepada Lance Armstrong, pengakuan beliau akan membuatkan ahli-ahli sukan lain gerun untuk menipu kerana sudah pasti pemeriksaan penggunaan dadah akan menjadi lebih ketat…

Kisah Armstrong ini bukan terbatas kepada dunia sukan semata-mata; seluruh sistem kehidupan perlulah berlandaskan integriti. Armstrong mungkin terdorong oleh perasaan bersalah yang telah membuak kepada dirinya dan keinginan untuk bertaubat.

Bagaimana pula yang berada di luar sana yang hidup dengan kepura-puraan dan sanggup melakukan apa-apa saja untuk memastikan kejayaan kecil di dunia (yang dibesarkan oleh persepsi dan digembar-gemburkan oleh media)?

No comments:

Post a Comment