Dua hari lepas, Bahagian (Division) tempat saya bekerja menganjurkan sessi penerangan untuk halatuju dan penerangan Petunjuk Prestasi Utama / Key Performance Index (KPI). Sessi ini mengumpulkan seramai lebih kurang 200 orang dari seluruh Malaysia. Program ini dimeriahkan lagi dengan acara persembahan dan pakaian bertema. Pakaian bertema tahun ni ialah "Colour Blocking".
Dengan bantuan Pek Info yang disertakan dan Lebai Google saya pun mencari-cari apa corak pakaian untuk "colour blocking" ini... Wahhh, agak pelik jugalah fesyen sebegini di mata saya dan bermulalah usaha-usaha mencari pakaian yang sedia ada dalam almari pakain saya untuk disepadankan dengan tema ini. Pencarian yang ternyata menuju jalan buntu dan di benak saya terdetik, "siapa lah yang pakai pakaian sebegini, kalau mau beli untuk pakai buang memang sesuatu yang tidak berbaloi langsung".
Saya mengambil keputusan untuk tidak berusaha apa-apa, sekadar mengambil kemeja yang berwarna agak terang untuk dipadankan dengan tali leher sedia ada yang kontras warnanya dengan baju pilihan... jeans lusuh biasa pula adalah seluar pilihan.
Di petang sebelum acara bermula, saya sempat meluangkan masa berjalan-jalan di sebuah pusat membeli-belah berdekatan dengan hotel kami menginap. Di tingkat dua pusat membeli-belah itu yang menempatkan pakaian-pakaian terkini anak muda masa kini dan alangkah terkejutnya saya, boleh dikatakan lebih 50 peratus pakaian yang diperagakan adalah fesyen "colour blocking". Rupa-rupanya saya yang ketingaalan zaman dan tidak mengikuti trend semasa... Akibatnya, saya terasa diri ini terasing daripada fesyen terkini anak muda perpakaian!
Kenapa saya merasa terasing?
Mungkin kerana saya memakai pakaian yang berbeza daripada orang di sekitar saya...
Adakah saya berada di negara asing atau sedang mengembara/melancong?
Tidak, saya berada di negara sendiri...
Teringat saya kata-kata Robert Louis Stevenson, "there are no foreign land, only the travellers are foreign".
Kadang-kadang kita menjadi terlalu obses dan syok dengan dunia kita sehinggakan kita terlupa apa yang berlaku di persekitaran kita. Akhirnya, kita sendiri yang menjadi terasing dari khalayak umum dan menjadi lebih buruk lagi apabila kita mencipta persepsi menidakkan perkara-perkara baru ini tanpa membuat pertimbangan yang wajar.
"Before you assume, learn the facts. Before you judge, understand why. Before you hurt someone, feel. Before you speak, think."
Saya pernah menggunakan kata-kata ini kepada pemimpin-pemimpin belia, "jangan jadi pemimpin belia yang terasing daripada keramaian" sebagai peringatan untuk pemimpin-pemimpin belia mengasimilasikan diri dengan anak-anak muda. Kita mungkin tidak perlu mengikuti sepenuhnya cara berpakaian mereka, potongan rambut mereka, bersama-sama dengan kegemaran-kegemaran mereka mahupun mendengar muzik-muzik kegemaran mereka tetapi sekurang-kurangnya mengetahui semua ini...
Asasnya, elemen-eleman baru yang sentiasa dinamik ini perlu disesuaikan dengan semua nilai-nilai murni beragama, bernegara dan bermasyarakat. Kita boleh menerima apa-apa sahaja yang baru tetapi dengan syarat, nilai-nilai murni beragama, bernegara dan bermasyarakat dipertahankan.
Kompromi kepada kefasadan tidak boleh sama sekali dan jadilah insan yang berprinsip seperti kata Gandhi, "A 'no' uttered from the deepest conviction is better than a 'yes' merely uttered to please, or worse, to avoid trouble."
Kena menjadi manusia yang berani kerana benar...
No comments:
Post a Comment