Monday, December 31, 2012

Pertemuan dengan Pemuda AK Party

AK Party adalah parti pemerintah Turki hari ini sejak tahun 2002. Kami berpeluang mengadakan pertemuan dengan sayap Pemuda Istanbulnya.
Saya difahamkan bahawa AK Party ini tidak memiliki sokongan penuh di bandaraya Istanbul (sokongan 40 peratus) walaupun memiliki sokongan melebihi 60 peratus di Turki. Ini ditambah lagi dengan perbualan-perbualan di kalangan penduduk Istanbul yang tidak begitu bersetuju dengan reformasi Islamisasi yang dijalankan oleh parti ini walaupun ianya tidak seagresif reformasi yang pernah dibuat oleh parti Refah di awal tahun 90an.
AKP adalah sebuah parti yang “baru” dalam sejarah politik Turki ditubuhkan pada tahun 2001 dan berusia 1 tahun ketika memenangi tampuk pemerintahan Turki buat pertama kalinya.
Bagi memastikan sokongan kepada parti-partinya, AKP mewujudkan beberapa biro yang menjalankan aktiviti-aktivitinya termasuklah yang berkaitan belia/pemuda, wanita dan teknologi. AKP memiliki sebuah visi yang dijangka untuk dicapai menjelang 2023, ulangtahun penubuhun ke-100 Turki. Salah satu daripada polisi yang diperlembagaankan dalam perlembagaan parti ialah hanya membenarkan seorang pemegang jawatan memegang jawatan dalam parlimen atau kabinet untuk tempoh maksima tiga penggal sahaja. Ini adalah satu polisi yang dibuat untuk menyuburkan kepimpinan berterusan dan mengelakkan isu-isu berkaitan rasuah dan salahguna kuasa.
Visi dan misi yang memfokuskan kepada pembangunan tanpa mengabaikan keadilan sosial. Yang menarik perhatian saya ialah sasaran untuk menjadikan Turki pengeluar makanan keempat terbesar di dunia (sekarang yang ke-8) dan memiliki KDNK bernilai 1 trillion (sekarang 770 billion). Salah satu daripada plan tindakan yang begitu menarik perhatian ialah iltizam mereka untuk mengeluarkan kapalterbang mereka sendiri di samping mengeluarkan kereta nasional milik mereka. Malaysia juga dipuji kerana memiliki industry automotif sendiri yang begitu baik.
Walaupun ianya sebuah parti politik, AKP sentiasa bersedia untuk menjalin hubungan dengan MBM dalam hal-hal yang berkaitan belia/pemuda. Ini jawapan yang diberikan oleh Sdra Cek Cemer semasa diajukan soalan berkaitan peluang kerjasama dengan MBM.

Saya sempat mengajukan sebuah soalan berkenaan status penggabungan Turki ke dalam European Union (EU) dan penggunaan matawang Euro untuk urusan kewangan di Turki. Turki menganggap penyatuan ke dalam EU adalah sesuatu yang amat penting dan memang dalam matlamat jangka pendek pemerintahan AK Party untuk menyegerakannya. Ini adalah kerana Turki dapat berperanan sebagai sebuah negara Islam yang dapat membawa isu-isu berkenaan umat Islam di Eropah pada umumnya. Berkenaan matawang Euro, buat masa ini Turki masih mengambil pendekatan yang sama dengan United Kingdom (UK) dan Denmark untuk menggunakan matawangnya sendiri.
Berkaitan dengan keadaan ekonomi di Eropah yang tidak stabil dan pengangguran (terutamanya pengangguran belia) yang agak tinggi terutamanya di Spain dan Greece, Turki secara terusnya tidaklah begitu mendapat kesannya tetapi Kerajaan Turki masih memantau perkara ini. Ini berikutan langkah-langkah awal Turki yang memastikan jumlah hutang negaranya diturunkan dan membuka pasaran pelaburan baru terutamanya di China, Indonesia dan India.
Untuk isu kemanusiaan dan keamanan sejagat, Turki sebagai sebuah negara adalah antara negara yang pertama memberikan bantuan kepada sebarang bencana yang berlaku di dunia ini termasuklah gempa bumi di Haiti dan tsunami di Jepun. NGO-NGO lain di Turki juga sangat aktif dan adalah antara NGO kemanusiaan dunia Islam yang paling cekap dan efisyen.
Sebenarnya, diskusi susulan perlu dibuat dengan Pemuda AK Party bagi memastikan kerjasama yang difikirkan perlu dapat direalisasikan untuk manfaat belia di kedua-dua belah negara.


No comments:

Post a Comment