Sunday, February 28, 2010

Budaya

Menurut Kamus Dewan, budaya bermaksud tamadun, peradaban, kemajuan dan cara hidup sesuatu masyarakat. Sementara menurut Oxford Advanced Learner’s Dictionary, budaya ialah perkembangan lanjut kuasa manusia; perkembangan tubuh badan, akal dan semangat melalui latihan dan pengalaman, bukti perkembangan (seni, sains dan sebagainya) dan segala kesenian, kepercayaan, institusi sosial yang merupakan sifat sebuah masyarakat.

Budaya atau kebudayaan (daripada perkataan Sanskrit buddayah, yang merupakan kata jamak bagi perkataan buddhi, yang bermaksud budi pekerti atau akal) secara amnya membincangkan hal-hal berkaitan budi dan akal manusia. Di dalam pengertian yang luas pula bermaksud segala sesuatu yang dibawa atau dikerjakan oleh manusia, berlawanan dengan "perkara semula jadi"' yang bukan diciptakan atau boleh diubah oleh manusia. Di dalam bahasa Inggeris, kebudayaan disebut sebagai culture, yang berasal daripada perkataan Latin colore yang bermaksud menanam atau mengerjakan.

Di kalangan ahli falsafah barat, pentakrifan budaya pun tidak banyak bezanya. Mengikut Raymond William (dalam Chris Barker, 2002) istilah “culture” dikaitkan dengan “cultivation” (dalam maksud bercucuk-tanam) hatta mempunyai konotasi “tidak liar” atau tidak “uncultivated”. Konsep tersebut kemudiannya dikembangkan kepada situasi kehidupan manusia, justeru “to be a cultivated person was to be a cultured person” (Chris Barker, 2002:67). Istilah “cultivated” dalam petikan ini, mungkin dapat diterjemah sebagai “terdidik”, “terasuh”; sementara “cultured” mungkin dapat diterjemah sebagai “berbudaya” (dalam erti tinggi pekerti, bertamadun).

Konsep ini kemudiannya dimantapkan oleh Matthew Arnold; untuknya, memiliki budaya (acquiring culture) adalah memiliki “the best that has been thought and said in the world” (dlm Chris Barker, 2004:67), dan ia adalah “the means towards moral perfection and social good”. Hatta tidak “berbudaya” dalam konteks tamadun manusia merujuk kepada golongan “raw and uncultivated masses” (Chris Barker, 2004:67) yang kewujudannya bersifat “anarchy” (tidak tertib, kacau-bilau).

Demikian, dalam takrifan tersebut berbudaya membawa satu lapangan semantik yang mencakupi: ketertiban hidup, kehalusan rasa dan pekerti, kesempurnaan moral, keunggulan ilmu yang akan membawa kepada kebaikan sosial. Berdasarkan takrifan yang demikian, akan dilihat apakah penyumbang utama ke arah pembudayaan manusia/pembinaan manusia berbudaya (“cultured”). Ilmu? Pengetahuan? Sikap? Persepsi? Media? Sosioekonomi? Sains? Teknologi? Persekitaran? Agama? Bangsa? Seni? Adat? Adab? Tradisi?

Kebudayaan ialah suatu nilai hidup yang dijelmakan oleh faktor-faktor daya akal dan daya rasa manusia. Kesanggupan daya akal dan daya rasa itulah yang melahirkan kebudayaan. Kebudayaan merupakan hasil daripada kegiatan berfikir dan merasa manusia dalam bentuk perbuatan yang dipanggil juga sebagai cara hidup (way of life). Pengertian kebudayaan boleh diklasifikasikan kepada dua iaitu pengertian ilmiah yang luas dan yang terbatas. Pengertian yang pertama meliputi bidang-bidang sosial, ekonomi, politik, ilmu, seni dan falsafah. Pengertian kedua hanya tertumpu kepada seni sahaja.



Kesimpulannya, elemen asas yang paling penting dalam membentuk satu tamadun kebudayaan perlu berpaksikan kepada ilmu dan pengetahun. Dengan asuhan (ta'dib) dan didikan (tarbiyyah) menurut acuan ilmu dan pengetahuan, tamadun budaya yang benar, adil dan terarah (guided) pasti akan terbentuk.

Ilmu dan pengetahuan dikaitkan dengan kebijaksanaan, keluasan dan keterbukaan minda dan meletakkan seseorang pada satu-satu tahap tamadun; kejahilan, kekurangan ilmu selalunya disinonimkan dengan kebodohan, kebebalan, pendek akal, kemunduran – yakni sifat-sifat yang rendah.

Hendak susu diberi susu,
agar badan sihat sejahtera;
Hendak ilmu diberi ilmu,
agar molek budaya bangsa.

No comments:

Post a Comment