Saturday, February 27, 2010

Maulidur Rasul


Dua hari lepas adalah sambutan hari kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW.

Manusia agung pembawa risalah kebenaran yang membawa manusia daripada kesesatan kepada kebenaran, daripada kejahilan kepada kebijaksanaan, daripada kemunduran kepada kemajuan, daripada kegelapan kepada sinaran.

dialah idola umat Islam yang sebenar...

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa muda sebelum tua, masa sihat sebelum sakit, masa lapang sebelum sempit dan masa senang sebelum susah". (riwayat Al-Hakim).

Beberapa hari sebelum tu (atau seminggu sebelum tu), saya didatangi oleh cobaan/musibah sakit. Cobaan kerana saya tahu Allah mahu menguji keimanan saya dan musibah kerana saya tahu sudah banyak dosa saya, sama ada yang sudah dipohon keampunan dariNya mahupun yang belum. Sebenarnya, kesakitan, kesempitan, kesusahan malah usia tualah yang akan dapat
mendekatkan diri kita kepada Allah sama ada secara sedar ataupun tidak. Ironiknya juga pada masa itulah baru kita mempunyai keinginan diri (will power) untuk mengerjakan segala bentuk kebajikan atau menebus sebarang kesalahan. Sedangkan, kekuatan, ruang dan peluang kita amatlah sempit dan terbatas. Saya menjadi sedih sendiri mengenangkan kebodohan dan
kelemahan diri selama ini...

Masa muda dan sihat, ia adalah saat tubuh badan masih kuat dan fikiran masih segar, maka gunakanlah ia untuk melaksanakan ibadah dan menuntut ilmu. Bukannya digunakan untuk berseronok atau hanya berhibur seperti mana yang banyak berlaku hari ini.

Apabila sudah tua pastinya pergerakan semakin perlahan dan kebolehan menuntut ilmu semakin lemah dan kekuatan untuk melaksanakan ibadah semakin sedikit. Bahkan, kita sendiri amat sedar dengan bertambahnya usia maka berkuranglah tempoh hidup kita di dunia yang amat fana ini

Teringat juga saya satu kisah dari tazkirah maghrib yang pernah saya hadiri dulu,

Diriwayatkan bahawa malaikat maut datang bertemu Nabi Yaakub a.s. Maka Nabi Yaakub bertanya: "Wahai malaikat maut apakah kamu datang kepadaku kerana ingin mencabut nyawa atau menziarahiku? Jawabnya: Untuk menziarahmu sahaja. Berkata Nabi Yaakub: Aku ada satu permintaan darimu. Bertanya malaikat maut: Apakah permintaanmu? Jawab Nabi Yaakub: Jika kamu datang untuk mencabut nyawaku maka hantarkanlah dahulu utusan untuk memaklumkanku terlebih dahulu. Kata malaikat maut: Ya! Kemudian malaikat maut pun pergi. Setelah beberapa tahun malaikat maut datang kembali kepada Nabi Yaakub. Lalu Nabi Yaakub bertanya: Kamu datang untuk menziarah atau mencabut nyawaku? Kata malaikat maut: Aku datang untuk mencabut nyawamu. Lalu kata Nabi Yaakub: Bukankah aku telah katakan jika kamu ingin mencabut nyawaku hantarkan dahulu seorang utusan supaya dapat aku bersedia menambah ketaatan dan amal kebaikan. Jawab malaikat maut: Aku telah lakukannya. Kata Nabi Yaakub: Tiadapun utusan yang sampai kepadaku. Jawab malaikat maut: Sesungguhnya aku telah mengutuskan dua utusan iaitu uban di kepalamu dan belakangmu yang bongkok".

InsyaAllah, selepas ini saya akan berusaha menjadi insan yang lebih baik kepada diri, keluarga, masyarakat, negara dan paling pentingnya, agama.

Sempena maulidur Rasulullah SAW, perbanyakkanlah selawat ke atas beliau kerana jutaan dan billion selawat yang kita ungkapkan tidak akan sama dengan cintanya kepada kita, ummatnya... sehingga ke detik akhir nafasnya, ungkapan ummati, ummati, ummati masih bermain dibibirnya.

No comments:

Post a Comment