Wednesday, June 10, 2009

Muhammad Al-Fatih, idola sebenar anak muda

Sabda Nabi Muhammad SAW :

Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah
sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera.

Sila baca artikel daripada pautan ini untuk mengikuti kisah ringkas Muhammad Al-Fatih pada umur 21 tahun yang telah berjaya membebaskan Kota Istanbul dari genggaman empayar Roman.

Artikel nilah yang seharusnya meniupkan semangat yang lebih kuat dan keinginan yang mendalam untuk menziarahi kota agung Istanbul.

Sebagai kesinambungan kepada cerita daripada artikel di atas;

Selepas lebih 40 hari menyerang kota Istanbul, moral tenteranya semakin jatuh dan di sinilah kebijaksanaan kerohanian beliau terserlah dalam mencari punca kegagalan sebelum ini. Ternyata salah seorang peledak meriam beliau adalah seorang peminum arak yang kembali minum kerana gusarkan keselamatan ahli keluarganya yang berada dalam kota tersebut. Beliau dengan serta mertanya mengarahkan askar tersebut pulang ke pangkuan keluarganya walaupun beliau amat memerlukan askar tersebut dengan kepakaran meriamnya. Seorang pemimpin yang melihat kekuatan duniawi semata-mata pastinya tidak akan mengambil tindakan berani ini. Beliau amat sedar dan faham, kekuatan rohani dan kesucian jiwalah yang lebih utama dalam menghasilkan barakah dalam setiap pekerjaan.

Sebagai menguatkan kekuatan rohani askar-askarnya, pada malam Ahad 28 Mei, beliau mengarahkan semua askarnya bersahur untuk berpuasa keesokan harinya. Selepas solat subuh, beliau mengarahkan semua khemah dibakar dan berkata mereka semua akan berbuka puasa dan bermalam di Kota Istanbul.

Menjelang solat Zohor seorang perwira bernama Hasan telah berjaya memanjat tembok dan memasang bendera “3 bulan” Uthmaniyyah dan menyemarakkan semangat semua askar Al-Fatih. Walaupun syahidnya Hasan dengan beberapa serangan anak panah, kota Istanbul telah berjaya ditawan dengan pimpinan bangsa Turki sendiri pada 29 Mei 1453 selepas 26 cubaan sejak percubaan yang pertama pada zaman Saidina Uthman bin Affan r.anhu pada tahun 32H/652M.

Di sinilah hari ini saya meraikan kemenangan besar umat Islam dalam usaha untuk menjejakkan kakinya ke Eropah. Pada malam tersebut, selepas menonton tayangan ringkas kisah al-Fatih ini, saya menitiskan airmata… tidak pasti, sedih, bangga atau gembira.

Saya bangga melihat Turki pada hari ini… pemimpin yang beraspirasikan Islam mengajar rakyatnya untuk mengingati hari kebesaran negara bukannya dengan konsert artis terkenal seperti Siti Nurhaliza atau Mawi tetapi dengan menayangkan kisah al-Fatih dan diiringi laungan lagu-lagu patriotik sambil membesarkan nama Allah SWT. Sudah tiga tahun tradisi ini diteruskan, kehadiran pada malam ini melebihi 20,000 orang walaupun tanpa tambang bas, tanpa makanan tapau dan sudah semestinya tanpa surat arahan guru besar, pengetua, ketua HEP dsb. Kagum sungguh saya…

Semoga sinar Islam begini dapat diteruskan. Tahniah untuk Abdullah Gul, Tahniah untuk Recep Tayyip Erdogan dan Tahniah untuk Parti AK.Allahuakbar!

No comments:

Post a Comment