Wednesday, June 10, 2009

Palestina oh Palestina


Hari ini saya menghadiri simposium dua hari "Simposium Antarabangsa Palestin". Pembentang dari beberapa negara Islam (termasuk dunia Arab) bersama-sama membahaskan isu Palestin ini dari sudut sejarah, undang-undang, peranan media sehinggalah kepada peranan kemanusiaan dan kesukarelaan. Di antara tujuan saya hadir pada simposium ini adalah untuk mempelajari bagaimana simposium antarabangsa dilaksanakan. Bukan sekadar keperluan lojistik tetapi kerenah dan keperluan delegasi juga perlu dipenuhi dan ditangani. Pameran dan pungutan derma pun ada...




Berbalik kepada isu Palestinia dan Nakbah,

Istilah `Nakbah’ mungkin merupakan satu perkataan yang agak asing bagi sebahagian rakyat Malaysia melainkan buat mereka yang benar-benar prihatin mengenai isu umat Islam antarabangsa terutamanya di Palestin. `Nakbah’ bermaksud malapetaka atau bencana besar. Manakala `Nakbah Palestin’ merujuk kepada penubuhan Negara Haram Israel yang telah diistiharkan secara resminya pada 15hb Mei 1948.

Negara Palestin yang selama ini telah dinaungi kedamaian dan keadilan untuk ribuan tahun itu semakin merasai keperitan, kepedihan dan derita yang berpanjangan apabila mereka berada di bawah jajahan dan kongkongan Yahudi Zionis sejak enam dekad yang lalu.

Kenapa kita perlu prihatin? Kita ni orang Malaysia... ini masalah orang Arab.

Jiwa umat Islam seluruh dunia wajib disedarkan sekarang ini, sebagaimana sedarnya jiwa-jiwa umat Islam Palestin untuk membebaskan Baitul Maqdis apabila Intifadhah bermula pada 8 Disember 1987. Jiwa umat Islam perlu dimerdekakan daripada perhambaan kepada hamba, kepada perhambaan hanya kepada Allah Yang Tunggal lagi Maha Perkasa.

Sesungguhnya pengganas Yahudi tidak pernah mengenal mangsa, sama ada bayi, kanak-kanak, remaja, lelaki, wanita, yang sempurna anggotanya maupun yang cacat. Malah al-Quran dan juga sejarah telah mencatatkan, bagaimana mereka sanggup membunuh para Anbiya’ daripada kalangan Bani Israel sendiri. Inilah apa yang telah berlaku ke atas Nabi Zakaria dan Nabi Yahya. Mereka juga telah menganggap bahawa merekalah yang telah membunuh Sayyidina Isa a.s. Walau bagaimana pun perkara ini telah dinafikan sendiri oleh al-Quran melalui firman Allah s.w.t.

Dan juga (disebabkan) dakwaan mereka dengan mengatakan: Sesungguhnya kami telah membunuh al-Masih Isa Ibni Maryam, Rasulullah. Padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak menyalibnya , tetapi diserupakan bagi mereka (orang yang mereka bunuh itu seperti Nabi Isa)… Surah al-Nisa’: 157)

Peranan yang mungkin kita dapat laksanakan bagi menyatakan kebersamaan kita dengan umat Islam Palestin dan juga perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa adalah berlegar sekitar tiga paksi penting, iaitu; pengetahuan, perasaan dan praktikal:

PAKSI PENGETAHUAN

1. Kita perlu mengetahui punca berlakunya isu di atas menurut sejarah (dulu dan sekarang), termasuk juga mengetahui latar belakang bumi Palestin dari sudut agama ataupun kebudayaan.

2. Perlu mengetahui hakikat pertembungan kita terhadap Yahudi, bukannya bertitik tolak daripada perasaan benci, dengki atau dendam, tetapi ia adalah bertitik tolak daripada tindak balas terhadap permusuhan yang mereka lakukan dan juga usaha untuk mengembalikan hak umat Islam yang dirampas.

3. Kita perlu mengetahui bahawa isu ini berkaitan dengan semua orang Islam dan juga arab serta perlunya menolak segala salah faham yang berkaitan dengannya.

4. Kita perlu memperbetulkan penggunaan istilah yang terpesong daripada maksud sebenar, yang cuba dimainkan oleh media musuh. Antaranya; istilah pengganas telah mereka gunakan bagi merujuk kepada umat Islam yang berjuang menentang penjajah di Palestin, begitu juga istilah operasi berani mati atau operasi bunuh diri telah diperkenalkan kepada dunia bagi menggantikan istilah sebenar dalam Islam iaitu operasi syahid.

5. Kita perlu mengetahui dan menyedari bahawa ketidak pedulian orang Islam dan arab daripada persoalan akhlak, nilai dan syariah di kalangan mereka adalah bahaya yang mengatasi kekuatan tentera yang ada pada Zionis.

6. Kita perlu memerangi fahaman yang negatif dan logika menyerah tanpa berusaha (mantiq tawaakuli), yang menyebabkan seseorang merasa berpuas hati, mundur ke belakang, hanya mengucap Lahaula wala quwwata illabillah (tiada daya dan upaya melainkan milik Allah) dan berdoa, tanpa menunaikan kewajipan-kewajipan yang mereka mampu melaksanakannya.

7. Kita perlu menyatakan bahawa jihad mempunyai pelbagai cara, tanpa wujud sebarang pengurangan pahala atau kesannya dibandingkan dengan jihad bersenjata, seperti jihad dengan harta benda, jihad dengan ucapan, memboikot ekonomi musuh dan juga sokongan moral. Sesungguhnya setiap jiwa daripada kalangan umat ini baginya ada peranan dalam kontaks ini. Tidak ada seorang pun mempunyai alasan untuk berundur atau merasa lemah maupun bertangguh.

PAKSI MAKNAWI (JIWA)

1. Mengekang perasaan kecewa atau putus asa dengan merangsangkan harapan yang kuat dalam jiwa umat dengan meletakkan kebergantungan yang kuat kepada Allah s.w.t. serta percaya bahawa adanya di sana kayu ukur yang lain bagi mencapai kemenangan selain daripada kayu ukur biasa dalam bentuk zahir.

2. Menghidupkan perasaan dan sensitiviti terhadap apa yang sedang berlaku di sana, sama ada pencabulan tempat-tempat suci umat Islam, pembunuhan atau pencabulan ke atas kehormatan anak-anak gadis mereka.

3. Menghidupkan ruh jihad dalam jiwa ummah dan memerangi penyakit al-wahn yang diterjemahkan sebagai cintakan dunia serta takutkan mati. Di sinilah lahirnya kepentingan `tarbiyyah’ sama ada untuk individu maupun masyarakat.

4. Perlunya `nafas panjang’ tanpa gelojoh. Apa yang telah berlaku dan sedang berlaku merupakan hasil kesinambungan kerja yang dilakukan dalam tempoh yang panjang. Oleh itu `jalan pengislahan’ juga memerlukan tempoh.

PAKSI AMALI / PRAKTIKAL

1. Menyokong seruan pemboikotan ekonomi ke atas barangan musuh (zionis) dan juga pendokong mereka. Ini merupakan seruan yang telah dikeluarkan oleh Kesatuan Ulama’ Islam Sedunia yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Yusof al-Qardhawi sejak beberapa tahun lepas. Sila rujuk pautan ini; http://inminds.co.uk/boycott-brands.html untuk senarai produk yang MESTI diboikot.

2. Menghulurkan derma dalam apa jua bentuk sekalipun untuk umat Islam Palestin melalui pintu-pintu resmi atau badan-badan NGO yang sedia ada dan diyakini.

3. Mengadakan pameran-pemeran mengenai apa yang berlaku di bumi Palestin, di masjid-masjid, surau-surau, dewan-dewan serbaguna atau sebagainya.

4. Tidak mengabaikan golongan bukan Islam dalam membicarakan dan melibatkan diri dalam isu ini, di atas asas persefahaman bersama dan menyerlahkan dimensi kemanusiaan. Persefahaman ini adalah bertitik tolak daripada kefahaman yang benar, adil dan berdasarkan kemanusiaan.

Akhir, sama-samalah kita berdoa untuk kemaslahatan umat Islam seluruh dunia,


Allaahumma ya Aziz ya Muntaqim!, satukanlah hati-hati umat Islam dengan ikatan
yang satu, demi mempertahankan tanah suci Baitul Maqdis. Berikanlah kepada kami
kemenangan yang hakiki dan seterusnya memperoleh kejayaan abadi di Akhirat
nanti. Lembutkanlah hati-hati kami untuk sentiasa menghulurkan pertolongan dan
bantuan kepada saudara kami di Palestin dan jadikanlah kehidupan kami sebagai
secebis perjuangan untuk membebaskan bumi yang tercinta Palestin.

No comments:

Post a Comment