Subuh ini,
Langit masih menangis semalaman,
Hujan turun tanpa jeda,
Seakan bumi sendiri bersyahadah,
Mengadu tentang luka yang tak terubat.
Di tanah ini,
Malaysia berdiri di ambang usia,
Namun jiwa bangsanya masih tercari-cari,
Di celah kemajuan dan janji,
Ada dosa yang tak terucap,
Ada amanah yang sering terlepas.
Kita,
Yang diberi kuasa,
Kadang lupa bahawa kuasa itu bukan takhta,
Tetapi amanah yang berat di bahu,
Yang harus dijunjung dengan adab dan malu.
Kita,
Yang memegang pena dasar,
Kadang menulis dengan nafsu, bukan hikmah,
Leka di puncak,
Lupa akar yang menyokong,
Lupa rakyat yang menunggu.
Subuh ini,
Hujan masih belum reda,
Seakan langit ingin bicara,
Bahawa bumi ini bukan milik kita semata,
Tetapi amanah dari Yang Maha Esa.
Maka kami berdoa,
Dengan lidah yang basah dan hati yang pasrah:
اللَّهُمَّ حَوَالَيْنَا وَلَا عَلَيْنَا،
اللَّهُمَّ عَلَى الْآكَامِ وَالظِّرَابِ وَبُطُونِ الْأَوْدِيَةِ وَمَنَابِتِ الشَّجَرِ
Ya Allah,
Alihkanlah hujan ini dari kami,
Janganlah ia menimpa kami dengan mudarat,
Tumpahkanlah ia ke tempat tinggi,
Ke lembah yang menanti,
Ke tanah yang menumbuhkan rahmat-Mu.
Subuh ini,
Malaysia tidak hanya mengingati sejarah,
Tetapi memohon agar masa depan disuluh dengan hikmah,
Agar hujan menjadi rahmat, bukan bala,
Agar kuasa menjadi amanah, bukan senjata,
Agar kita kembali menjadi bangsa yang berjiwa.
Pak Ari
16 September 2025
No comments:
Post a Comment