Ada dua petikan yang masih tersemat dalam ingatanku:
“What’s wrong with this country, Marty? Money. You taught me that. Evil defense contractors had it, noble causes did not. Politicians are bought and sold like so much chattel.”
“There’s a war out there, old friend. A world war. And it’s not about who’s got the most bullets. It’s about who controls the information…”
Cosmo bercakap dunia hari ini dikuasai WANG. Kapaitalis-kapitalis berWANG seolah-olah menguasai segalanya-polisi, ekonomi, politik dan segala kontrak-kontrakan.
Ada lagi… sesuatu yang begitu nyata hari ini.
Cosmo tidak bercakap tentang senjata, tetapi tentang maklumat. Tentang siapa yang mengawal apa yang kita lihat, dengar, fikir, dan percaya. Ia adalah peperangan yang tidak berdarah, tetapi berdampak. Dan aku mula faham—dunia ini bukan hanya tentang siapa yang kuat, tetapi siapa yang menguasai naratif.
Redford sebagai Martin Bishop menolak kuasa itu. Dia tahu, alat yang mampu membuka semua sistem dunia tidak patut dimiliki sesiapa. Kerana kuasa tanpa akhlak akan menjadi bencana. Di akhir cerita, mereka memilih untuk mematikan alat itu. Mereka memilih untuk tidak menjadi tuhan kepada maklumat.
Dan Al-Quran Menjawab…
Di saat dunia berebut kuasa dan maklumat, aku teringat firman Allah dalam Surah Al-Baqarah:
“Tidak ada paksaan dalam agama. Sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat…” (2:256)
“Allah pelindung orang-orang yang beriman; Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya…” (2:257)
Ayat ini adalah jawapan kepada keresahan Cosmo. Bahawa kebenaran tidak perlu dipaksa. Bahawa manusia diberi pilihan—untuk menolak thaghut dan memilih cahaya. Dan bahawa maklumat sebenar bukan yang dikawal oleh sistem, tetapi yang dibimbing oleh wahyu.
Cosmo melihat dunia sebagai medan perang maklumat. Tapi Al-Quran melihat dunia sebagai medan ujian jiwa. Dan dalam medan itu, Allah adalah pelindung. Dia yang mengeluarkan kita dari gelap kepada cahaya. Bukan dengan alat, bukan dengan kod, tetapi dengan iman.
Kini, Redford telah pergi. Tapi wataknya sebagai Bishop kekal sebagai simbol integriti. Dia tidak sempurna, tapi dia memilih jalan yang tidak merosakkan. Dan aku, yang menonton filem itu di zaman penyerapan maklumat hidupku, menyimpan mesejnya dalam hati. Bahawa dunia ini penuh karakter—ada yang ingin membebaskan, ada yang ingin menguasai. Tapi jalan fitrah tetap ada. Ia bukan jalan yang mudah, tapi ia jalan yang terang.
Catatan ini bukan sekadar ulasan filem, tetapi doa untuk dunia yang sedang keliru. Semoga aku dan kita semua diberi kekuatan untuk menolak gelap, memilih cahaya, dan menjaga maklumat bukan sebagai senjata, tetapi sebagai amanah. Dan untuk Redford, yang pernah membawa watak yang menolak kuasa demi kebenaran, terimakasih la atas perkongsian itu.
Catatan Subuh Pak Ari - 18 September 2025
No comments:
Post a Comment