Mentari mula menyengat, tetapi bumi masih basah.
Dan dalam suasana ini, aku merenung kehidupan—
dengan mata lebah, bukan mata lalat.
Pandangkanlah kehidupan dengan mata lebah,
yang walau tercampak ke timbunan sampah,
tetap mencari kelopak yang harum,
tetap menghisap madu yang jernih.
Kerana lebah tahu,
bahawa dunia ini penuh dengan kebaikan yang tersembunyi.
Bahawa walau hidup berselirat dengan lumpur,
masih ada kelopak yang menunggu untuk disentuh dengan kasih.
Jangan jadikanlah mata lalat,
yang walau diletak di ladang bunga,
tetap mencari kotoran untuk disinggahi,
tetap hinggap di luka yang belum sembuh.
Kerana lalat hanya melihat cela,
walau berada di taman yang penuh rahmat.
Dan begitulah hati manusia:
yang bersih akan melihat kebaikan,
yang keruh akan tetap mencari keburukan.
Hari ini, su’uzon telah meresap dalam jiwa ramai nurtizen.
Kepakaran disanggah, persaksian dipertikai,
integriti disongsangkan sesuka hati.
Tahassus hilang, tajassus menjadi budaya.
Pengadu domba yang bijak bermain kata-kata disanjung,
sedangkan yang jujur dibungkam.
Orang yang berbeza pandangan dilabel musuh,
seolah-olah tiada ruang untuk hikmah dan rahmah.
Beringatlah kepada seruan takwa yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ :
“Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin)… Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar-Rasyidin…”
Takwa telah hilang dari wacana,
diganti dengan sangkaan dan kebencian.
Maka kita perlu kembali kepada saranan lain junjungan baginda Rasulullah ﷺ :
“Barang siapa yang menyeru kepada petunjuk, maka baginya pahala seperti pahala orang yang mengikutinya…”
Serulah kepada kebaikan.
Bukan kepada perbalahan.
Serulah kepada adab.
Bukan kepada penghinaan.
Di Pantai Timur Sabah, blackout yang melanda telah menguji kesabaran.
Tetapi di sebalik gelap, ada cahaya yang lain menyinar.
Pada waktu itu, ramai yang membawa keluarga bersiar-siar,
lompat dari kedai ke kedai, ke mall, ke taman.
Ada yang berpiknik, tidak kurang juga ada yang menginap di hotel yang dikuasakan genset.
Yang paling menyentuh,
sebuah hantaran FB dari satu keluarga Cina yang kembali bercuti di Tawau.
Mulanya mereka melihat suasana blackout sebagai kemuraman dan keputusan yang merugi,
tetapi akhirnya menjadi pengalaman penuh makna:
Mereka meredah sungai,
duduk menikmati desiran angin di bawah pokok,
dan bila malam tiba,
mereka menikmati keindahan bulan yang dikelilingi bintang berkelipan; menjadikannya momen hidup yang indah buat mereka sekeluarga.
Blackout itu bukan sekadar gangguan,
tetapi peluang untuk kembali kepada kehidupan yang sederhana,
yang tenang, yang penuh rasa.
Dalam dunia yang panas selepas hujan,
dalam masyarakat yang bergelora selepas fitnah,
jadilah seperti lebah.
Yang mencari kelopak, bukan luka.
Yang menghisap madu, bukan menyebar racun.
Dan dalam gelap,
carilah cahaya yang tidak datang dari elektrik,
tetapi dari hati yang bersyukur,
dari keluarga yang saling menyantuni,
dan dari jiwa yang kembali kepada Tuhan.
Ya Allah,
Di hari yang panas selepas hujan ini,
Kami mohon kepada-Mu,
Jadikanlah kami hamba yang melihat dengan mata lebah,
yang mencari kebaikan walau di timbunan ujian.
Lindungilah kami dari hati yang keruh,
dan dari lidah yang menyebar kebencian.
Kurniakanlah kepada kami takwa yang hidup,
dan adab yang membimbing.
Berikanlah kepada Sabah dan Malaysia ini,
ketenangan selepas gelora,
cahaya selepas gelap,
dan rahmat selepas ujian.
Jadikanlah kami penyeru kepada petunjuk,
dan bukan pencetus kepada perpecahan.
Dan berikanlah kepada kami husnul khotimah,
di dunia yang sedang mencari cahaya.
آمِيْن يَا رَبَّ الْعَالَمِيْن
Catatan Sabtu Pak Ari - 20 September 2025
No comments:
Post a Comment