Hari ini, aku membuka tafsir Surah Al-Fatihah daripada tafsir Al-Azhar oleh Buya Hamka untuk mencari kedalaman yang luar biasa dalam memahami setiap ayatnya.
Kita baca Al-Fatihah setiap hari, tapi adakah kita benar-benar faham apa yang kita baca? Pak Hamka tafsirkan ayat ini bukan sekadar meminta arah, tapi agar kita mendapat petunjuk yang dalam.
1. بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang
Buya Hamka menekankan bahawa setiap amal harus bermula dengan kesedaran bahawa kita bergantung kepada kasih dan rahmat Allah. Ia bukan sekadar lafaz, tapi pengakuan bahawa kita bukan pemilik kuasa mutlak.
2. الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam
Menurut Hamka, pujian ini bukan hanya kerana nikmat, tapi kerana Allah adalah Rabb—yang mendidik, membimbing, dan menyempurnakan makhluk-Nya. Ia mengajar kita untuk bersyukur dan tunduk.
3. الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang
Dua sifat ini diulang untuk menegaskan bahawa rahmat Allah mendahului murka-Nya. Dalam tafsir Hamka, ini adalah asas harapan dan kasih dalam hubungan manusia dengan Tuhan.
4. مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ
Pemilik Hari Pembalasan
Hamka menekankan bahawa kemerdekaan manusia bukan mutlak. Kita bebas memilih, tapi akan bertanggungjawab atas pilihan. Ayat ini mengingatkan kita tentang keadilan yang pasti.
5. إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ
Hanya kepada-Mu kami menyembah dan hanya kepada-Mu kami mohon pertolongan
Ini adalah ikrar tauhid yang aktif. Hamka menyatakan bahawa ibadah bukan hanya ritual, tapi seluruh hidup yang tunduk kepada Allah. Dan pertolongan bukan hanya untuk urusan besar, tapi juga dalam hal-hal kecil.
6. اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ
Tunjukilah kami jalan yang lurus
Hamka menghuraikan empat jenis petunjuk:
• Al-Irsyad – kecerdasan untuk membezakan benar dan salah
• At-Taufiq – keserasian dengan kehendak Tuhan
• Al-Ilham – ilham untuk mengatasi kesukaran
• Ad-Dilalah – tanda-tanda yang menunjukkan bahaya dan keselamatan
7. صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ
Jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat, bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula mereka yang sesat
Hamka menyatakan bahawa nikmat di sini bukan hanya material, tapi nikmat hidayah. Yang dimurkai ialah mereka yang tahu kebenaran tapi menolaknya, dan yang sesat ialah mereka yang tidak tahu dan tidak mahu tahu.
“Kalau kita benar-benar faham Al-Fatihah, kita tak akan mudah terpedaya dengan api algoritma, atau cuai dalam memilih pemimpin. Kita akan jadi umat yang tahu jalan, kenal tanda, dan tahu bila perlu berhenti sebelum terbakar.”
اللَّهُمَّ اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ،
Ya Allah, tunjukilah kami jalan yang lurus—jalan yang Kau redhai, bukan jalan yang dimurkai atau yang sesat.
Berilah kami celik membezakan yang hak daripada yang batil.
Kurniakan kami kecerdikan dan kecerdasan, agar kami tidak terpedaya oleh bisikan dunia.
Berilah kami taufiq, agar langkah kami selari dengan kehendak-Mu, bukan nafsu kami.
Jadikan niat kami bersih, dan usaha kami jujur.
Ilhamkan kami jalan keluar bila kami buntu, dan kekuatan bila kami lemah.
Jangan biarkan kami hanyut dalam keliru dan kecewa.
Dan tunjukkan kami tanda-tanda di sepanjang jalan—seperti papan amaran di tepi sungai, agar kami tahu mana bahaya, mana selamat.
Jadikan kami pemandu yang bijak, bukan penumpang yang lalai.
اللَّهُمَّ اجعلنا مِنَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ، وَاجعلنا نافعِين لِقُرْبَان وَقَوْم، وَوَطَن.
Ya Allah, jadikan kami dalam kalangan yang Kau beri nikmat, dan jadikan kami manfaat buat keluarga, kampung, dan tanah air.
Amin ya Rabbal ‘Alamin 🤲
Catatan Dhuha Pak Ari - 23 September 2025
No comments:
Post a Comment