Tuesday, July 15, 2014

Ramadhan : ilmu dan kebenaran

Ramadhan mengajar kita untuk menghayati al-Quran... Ramadhan adalah pendidikan untuk mengawal hawa nafsu dan sebagai peringatan tentang bulan turunnya al-Quran. Pesanan seorang Ustaz kepada saya, "Nafsu hanya boleh dikawal dengan Iman yang lahir daripada Ilmu yang sempurna dan sebaik-baik bulan untuk mendidiknya ialah bulan Ramadhan"

Mungkin pada masa itu saya tidak begitu faham maksud pesanan beliau itu; biarlah ia menjadi perjalanan ilmu bagi diri saya untuk cuba memahami pesanan beliau itu dalam mencari-cari persamaan dan kaitan Nafsu, Ramadhan dan Ilmu.

Izinkan saya memetik salah satu ayat al-Quran yang bercerita tentang Ramadhan,

“Bulan Ramadhan yang di dalamnya mulai diturunkannya Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang nyata yang menunjuk kepada kebenaran, yang membezakan antara yang haq dan yang bathil.” (QS Al-Baqarah: 185)

Dan, hadis berkaitan yang menafsirkan ayat ini ialah :

Diriwayatkan pula dari Nabi (shallallahu ‘alaihi wa sallam), “Siapa yang membaca Al-Quran dan mengamalkannya, pada hari kiamat orang tuanya akan dikenakan mahkota yang cahanya lebih bagus daripada cahaya matahari yang masuk ke rumah-rumah di dunia. Lantas bagaimana menurut kalian dengan orang yang mengamalkannya?” (HR Abu Dawud dan Al-Hakim.)

Dan mungkin sekali pendidikan nafsu itu berkaitan dengan terbelenggunya syaitan di bulan yang mulia ini.

“Apabila masuk sahaja Ramadhan, maka pintu-pintu Jannah (Syurga) pun dibuka, pintu-pintu jahannam ditutup, dan syaitan-syaitan pula dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 11/55, no. 3035)

Apabila syaitan terbelenggu, usaha-usaha memperbaiki diri akan menjadi lebih mudah; tetapi dengan syarat yang begitu jelas, iaitu Ilmu. Apakah sumber ilmu yang mengajarkan kebaikan dan membezakan kebenaran daripada yang batil? Sudah tentu Al-Quranlah jawapannya.

Kisah gadis Peugeot merupakan tazkirah penting yang dapat dipetik daripada ayat al-Quran dan Hadis di atas bahawa Islam adalah tentang KEBENARAN. Mungkin ada hikmah kejadian ini berlaku pada 17 Ramadhan (Hari Nuzul al-Quran). Sebagai satu peringatan kepada kita bahawa Islam itu hadir dengan ilmu yang dapat membezakan antara yang benar dan batil... untuk mendidik nafsu.

Pesan Imam al-Ghazali,
"Wahai anakku, nasihat itu mudah. Yang berat ialah yang menerimanya. Ia akan terasa pahit bagi sesiapa yang menjadi hamba hawa nafsu"

Perjalanan mencari ilmu dan memperbaiki kefahaman membezakan hak dan batil mestilah diteruskan dan masa yang paling sesuai baki 11 atau 12 hari Ramadhan 1435H ini.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment