Sunday, April 6, 2014

Wibawa Ilmu

Imam Al-Bukhari Membuang Wang senilai 0.5 Juta Ke Dalam Laut (1000 dinar)

Dikisahkan di dalam Al-Fawaid Ad-Darari, Al-Ajluni menyebutkan pada satu ketika Imam Al-Bukhari berjalan menaiki sebuah kapal untuk pergi menuntut ilmu. Beliau membawa wang sebanyak 1000 dinar.

Salah seorang penumpang kapal itu berkenalan dengan Imam Al-Bukhari dan mula menyukai dan mengagumi Imam Al-Bukhari. Lelaki itu sering duduk di sisi menemani Imam Al-Bukhairi. Sepanjang perjalanan itu persahabatan mereka semakin erat sehingga suatu masa Imam al-Bukhari menceritakan kepada lelaki itu bahawa dia membawa wang sebanyak 1000 dinar.

Pada keesokan paginya sesuatu yang mengejutkan berlaku. Lelaki yang menemani Al-Bukhari tadi bangun pagi dan mula menangis sehingga meraung-raung, mengoyak-ngoyakkan bajunya dan menampar-nampar pipinya sendiri seolah-olah telah kehilangan sesuatu yang amat berharga.

Kawan-kawannya bertanya mengapa dia bertindak sedemikian. Pada mulanya dia enggan memberitahu seakan-akan dia masih terkejut dan tidak mampu berkata-kata. Setelah didesak berkali-kali baharulah dia kemudiannya bercerita. Katanya, "Aku membawa 1 beg berisi wang 1000 dinar, dan ia telah hilang."

Kru anak kapal yang bertanggungjawab memulakan pencarian. Satu orang demi satu orang penumpang diperiksa. Setelah menyedari apa yang berlaku, Imam Al-Bukhari kemudiannya dalam diam-diam mengambil begnya dan membuangnya ke luar dari kapal. Apabila giliran beliau diperiksa, maka tiada apa-apa dapat ditemui. Setelah semua orang diperiksa dan tiada apa-apa ditemui maka kemudian kru anak kapal pergi kepada lelaki yang membuat dakwaan tadi dan memarahinya kerana membuat dakwaan palsu dan menyusahkan seluruh penumpang dan anak kapal.

Setibanya kapal di persisiran pantai, para penumpang pun mulai turun. Dalam pada itu lelaki yang menemani Al-Bukhari tadi datang menemui Imam al-Bukhari dan bertanyakan apa yang telah dia lalukan pada beg berisi yang itu.

Dengan jujur Imam al-Bukhari menjawab, "Aku membuangnya ke dalam laut."

Dengan kehairanan lelaki tadi berkata, "Apakah kamu mampu bersabar menerima hakikat bahawa kamu sudah kehilangan sejumlah wang yang banyak?"

Imam Al-Bukhaari menjawab, "Tahukah kamu bahawa aku menghabiskan seluruh hidupku untuk menghimpun hadith-hadith Nabi dan seluruh dunia memperakui kesaksianku. Apakah aku sanggup mempertaruhkannya dengan sebuah tuduhan mencuri? Dan aku akan kehilangan permata (pengetahuan) yang aku peroleh sepanjang hayatku hanya kerana beberapa jumlah dinar?"

Rujuk: Al-Fawaaid Ad-Daraaree As-Sujloonee dan Seerathul Bukhaaree oleh Al-Mubaarakpooree

Sumber: The Boigraphy of Imaam Bukhaaree (May Allah have mercy on him), published by dar-us-salam. pg 143-144

Dipetik dan kemudiannya diterjemah dan diolah ke dalam Bahasa Melayu dari web: http://salaf-us-saalih.com/2010/12/31/imam-bukhaaree-and-one-thousand-dinars/Catatan:
1. Ilmu lebih mahal dan lebih bernilai dari wang dan harta benda. 
2. Menuntut ilmu memerlukan bekal. Para ulama' paling banyak membelanjakan harta untuk menuntut ilmu. Yahya bin Main menghabiskan wang warisan ayahnya 1 juta dirham untuk menuntut ilmu.
3. Menuntut ilmu memerlukan pengorbanan yang tinggi: baik berupa wang ringgit, masa, tenaga, dan usia.
4. Kesungguhan para ulama' menjaga kehormatan diri mereka.
5. Manusia berubah sekelip mata hanya kerana sirna dengan pesona dunia. Rakaman realiti seharian membuktikan banyak manusia boleh hidup aman ketika harta mereka cukup-cukup makan sahaja. Dan mereka sanggup bermusuhan dan berbunuhan untuk melunasi ketamakan mereka merebut harta dunia.

No comments:

Post a Comment