"Islam itu adalah akhlak yang baik" adalah pesan Allahyarham Sheikh Ramadan al-Buti kepada saya beberapa tahun lalu semasa melawat beliau di Syria.
Penulis yang terkenal dengan buku Feqhus Sirah ini mengingatkan kita bahawa kejayaan dakwah Nabi Muhammad S.A.W. adalah hasil daripada qudwah hasanah (contoh hidup yang baik). Seawal-awal dakwah baginda, manusia terawal memeluk Islam seperti Saidatina Khadijah, Abu Bakar As, Ali bin Abi Talib serta Zaid bin Harithah menerima beliau tanpa ragu kerana sudah tertarik dengan akhlak al-Amin beliau.
Sepanjang perjalanan dakwah beliau pun kita banyak disajikan dengan ketinggian akhlak beliau yang akhirnya membina wibawa dan dijadikan penanda aras bagaimana akhlak seorang Muslim sepatutnya.
Dari awal penciptaan manusia, Allah telah mengingatkan manusia bahawa kehadiran manusia ke muka bumi adalah untuk misi memperbaiki akhlak.
"'Alamul Adama asmau kullaha"dari sura Al-Baqarah : 31 yang bermaksud "telah kuajarkan Adam nama sesuatu dan kegunaannya..." adalah satu tuntutan akhlak atau tanggungjawab kemanusiaan. Jawapan kepada Ayat 30...
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".
Allah memilih manusia untuk menjadi khalifah di muka bumi ini dengan misi yang besar untuk menjaga ketertiban kehidupan dan alam... Amanah dengan misi memperbaiki akhlak; akhlak yang menyantuni setiap makhluk di dunia ini.
Sesuatu yang memalukan kita ialah apabila akhlak - akhlak yang baik ini berada di negara bukan Islam. Sheikh Ramadan berkata; "Akhlak-akhlak Islam kini banyak berada di negara bukan Islam berbanding dengan negara umat Islam".
Memang tepat kata-kata beliau ini bila melihat sendiri budaya sopan dan santun serta kebajikan pemimpin beberapa negara di Eropah yang membawa rakyatnya ke arah kebaikan. Contoh yang paling baik ialah indeks integriti di negara-negara seperti Finland dan Ireland cukup mengagumkan dan yang paling mengejutkan kadar kelahiran di luar perkahwinan di Malaysia lebih tinggi daripada Jerman...
Sesuatu yang perlu kita fikirkan bersama untuk memperbaiki wibawa Islam yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W
Allahumma solli ala muhammad wa ala alihi muhammad wasohbihi ajmain
Wallahu a'lam bissawab
No comments:
Post a Comment