Thursday, October 17, 2013

Konsep Gembala dan Ta'dib


Sabda Rasulullah SAW:
“Setiap orang adalah pengembala dan setiap daripada kamu bertanggungjawab terhadap gembalaannya.” - Hadith Riwayat Muslim dan Bukhari
 
Semasa kecilnya, nabi Muhammad SAW bekerja mengambil upah mengembala kambing.
 
Hadis di atas adalah kiasan kepada ibrah daripada kisah itu... menggembala kambing adalah satu latihan kepimpinan yang baik dan merupakan contoh TA'DIB. Selain memikirkan cara untuk memastikan bekalan air, rumput dan teduh, sang pengembala juga harus memikirkan cara untuk mengelakkan kambing peliharaan lari, terjerumus ke dalam lubang/gaung mahupun drpd binatang buas.
 
Realiti kepada pendidikan anak-anak...
 
Jika ibubapa merasai bertanggunjawab untuk menyediakan makanan dan kebendaan kepada anak-anaknya supaya mereka tidak terdedah kepada penyakit dan maut, maka lebih-lebih lagi ibubapa bertanggungjawab untuk memberi makanan ruh kepada mereka.
 
Ibubapa tidak patut lalai daripada menunaikan tanggungjawab yang membawa kerosakan lebih dahsyat daripada kelaparan atau maut. Kelalaian pendidikan akan mendedahkan anak-anak kepada kematian hati atau ruhani.
 
Kematian hati akan membawa kepada kerosakan yang berkekalan. Sebab itulah pendidikan sangat penting.
 
Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, periharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.” - at-Tahrim: ayat 6
 
Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan dan menjelaskan bahawa tujuan pendidikan menurut Islam adalah untuk melahirkan seorang individu manusia yang baik. Justeru, bagi beliau apa yang perlu kita tekankan dalam pendidikan adalah nilai manusia sebagai manusia sejati.
 
Maka, beliau menegaskan bahawa penekanan terhadap individu bukan hanya penting, tetapi juga merupakan strategi yang dilihat ampuh hari ini. Mekanisme pelaksanaannya adalah dengan memberi penekanan terhadap individu yang mengimplikasikan pengetahuan tentang akal, nilai dan spiritual, dan tentang tujuan dan maksud yang sebenar kehidupan ini memandangkan akal, nilai dan spiritual adalah unsur-unsur yang diwarisi oleh setiap individu.
 
Lantaran itu, konsep Ta'dib yang dipelopori Syed Muhammad Naquib al- Attas merupakan suatu gagasan pendidikan dalam Islam yang bermatlamat untuk menjadikan manusia yang seutuhnya serta mempunyai kecerdasan intelektual yang berlandaskan pada moral dan agama dalam melaksanakan kewajibannya. . Hal ini dapat dilihat menerusi konsep ta’dib yang telah mencakupi konsep ilmu dan amal. Dalam konsep ini dijelaskan bahwa setelah manusia dikenalkan akan kedudukannya, ia diharapkan dapat mengamalkan ilmunya dengan baik dalam kalangan masyarakat berdasarkan nilai-nilai moral dan ajaran Islam.
 
Menurut Prof. Naquib al-Attas, adab adalah:
“Pengenalan serta pengakuan akan hak keadaan sesuatu dan kedudukan seseorang, dalam rencana susunan berperingkat martabat dan darjat, yang merupakan suatu hakikat yang berlaku dalam tabiat semesta.” Pengenalan adalah ilmu; pengakuan adalah amal. Maka, pengenalan tanpa pengakuan seperti ilmu tanpa amal; dan pengakuan tanpa pengenalan seperti amal tanpa ilmu.” Keduanya sia-sia kerana yang satu mensifatkan keingkaran dan keangkuhan, dan yang satu lagi mensifatkan ketiadasedaran dan kejahilan,” (SM Naquib al-Attas, Risalah untuk Kaum Muslimin, (ISTAC, 2001).
 
Sebagai contoh manusia yang beradab terhadap orang lain akan tahu bagaimana mengenali dan mengakui seseorang sesuai harkat dan martabatnya. Dalam masyarakat yang beradab, seorang penghibur tidak akan lebih dihormati jika dibandingkan dengan golongan ulama dan terpelajar. Begitu juga seorang wanita fasik, seharusnya ditempatkan pada tempatnya yang tidak lebih tinggi martabatnya dibandingkan muslimah yang shalihah. Itu merupakan antara contoh cabang adab yang dimaksudkan di sini adalah adab dalam erti kata yang menyeluruh iaitu yang meliputi kehidupan spiritual dan material seseorang, serta yang berusaha menyemai kualiti kebaikan yang diterimanya.Oleh karena itu orang yang benar-benar terpelajar menurut perspektif Islam didefinisikan al-Attas sebagai orang yang beradab kepada sesama manusia.
 
Al-Qur'an menegaskan bahawa contoh ideal bagi orang yang beradab adalah Nabi Muhammad s.a.w., yang disebut sebagai manusia Sempurna atau “al-insan al-kulli”. Maka, matlamat utama dalam sistem pendidikan Islam haruslah menjadi cerminan ke arah melahirkan manusia yang beradab dan sempurna.
 
Dalam pada itu, jika benar-benar diteliti, konsep TA'DIB adalah konsep yang paling tepat untuk pendidikan dalam Islam berbanding Tarbiyyah dan Ta’lim. Menurut Syed Naqiub,"Struktur konsep Ta'dib sudah menyangkut unsur-unsur ilmu ('ilm), instruksi (ta'lim), dan pembinaan yang baik (tarbiyah), sehingga tidak perlu lagi dikatakan bahawa konsep pendidikan Islam itu adalah sebagaimana yang terdapat dalam tiga serangkai konotasi Tarbiyah-Ta'lim-Ta'dib."
 
Mengajar dengan membentuk adab lebih praktikal dan siapa tahu, lebih memudahkan konsep pengajaran dan pembelajaran (pendidikan) anak-anak...

 

No comments:

Post a Comment