Menerima hakikat bahawa pembangunan generasi belia bermula dengan keupayaan mengembeleng tenaga belia dalam usaha menentukan kekuatan dan ketahanan pembangunan sosial, ekonomi dan politik negara. Maka dengan itulah, Majlis Belia Sabah dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah, Kerajaan Negeri Sabah, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Malaysia telah menganjurkan Sabah Youth National Forum : The Future of Net Generation yang bertemakan Meet the Future : YOUth to Speak pada 30 Julai hingga 2 Ogos 2010 di kalangan seramai 372 pelajar Institut Pengajian Tinggi.
Usaha membentuk pelan tindakan yang berkesan, berjaya dari pelaksanaan, diterima majoriti dan kos-efektif ini akan melahirkan anggota dan ahli dalam generasi yang ’holistik’, mempunyai pandangan alam tersendiri didokongi oleh kepakaran, ilmu, kemahiran dan kebolehan dengan diwarnai oleh keperibadian mulia memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Bertitik tolak dari kesedaran dan keinsafan tersebut, Forum pada hari ini membuat ketetapan dan resolusi yang berikut;
Agenda Bertindak untuk Memperkasa Jatidiri dan Akal Budi Diri Generasi :
1) Seorang belia harus memiliki aspirasi yang progresif dan dinamik.
2) Seorang belia harus mengaktifkan diri dalam dorongan kepimpinan, perkhidmatan dan pembangunan.
3) Seorang belia mesti bersedia berhadapan dengan krisis sosial.
4) Seorang belia harus menjadikan Ilmu pengetahuan sebagai perlindungan dan insurans diri dalam mengharungi badai kehidupan.
5) Seorang belia mesti berfikiran kritikal, matang dan ikhlas.
6) Seorang belia wajib untuk mengembangkan jatidiri & memantapkan diri untuk bersaing dengan era globalisasi dan cabaran teknologi.
7) Seorang belia harus membudayakan integriti dalam kehidupan harian kerana nilai-nilai governans akan dimantapkan dalam proses kebangkitan nilai pemimpin berintegriti. Governans yang berintegriti mampu melahirkan partisipasi setiap lapisan masyarakat.
8) Seorang belia harus menggunakan kewibawaan dalam membuat sebarang keputusan yang akhirnya dapat memurnikan nilai dan makna sebenar politik untuk menjadi pemimpin berintegriti.
9) Seorang belia mestilah sentiasa akur ketinggian Hukum-hukum Agama, Perlembagaan dan Rukunegara dalam meniti kehidupan seharian.
10) Seorang belia harus mengamalkan dan membawa mesej kepentingan nilai telus, amanah, transparensi, responsif, adil, demokratik, akauntabiliti, kepercayaan, keyakinan, mampu membuat keputusan, sifat berpasukan tanpa mengira batasan gender, keturunan dan agama.
11) Untuk menjadi belia yang dianggap sebagai penyumbang kepada pembangunan, seorang belia harus berani menggunakan ruang mempamer kualiti kepimpinan dengan memberikan pandangan melalui saluran rasmi.
12) Seorang belia harus menukar mentaliti ’belia pemimpin masa depan’ kepada ’belia pemimpin hari ini dan akan datang’.
Agenda Bertindak Untuk Membentuk Masyarakat dan Generasi Net yang Berkualiti:
1. Motto Rakyat Diutamakan dalam Gagasan 1Malaysia perlu dijadikan panduan dalam menangani masalah rakyat di negara dan negeri ini.
2. Kerangka “governans baru” mesti dibentuk, iaitu “Transformasi daripada keadaan kini di mana wujud hubungan tiga segi yang tidak seimbang antara ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan, perniagaan dan belia / masyarakat sivil), kepada keadaan baru di mana wujud hubungan sinergi antara ketiga-tiga sektor itu yang bekerjasama pada kedudukan yang adil”. Pihak Kerajaan serta badan-badan berkanun dan swasta adalah dijemput dan disyorkan untuk membina ikatan sinergi yang kuat dan berkekalan dengan pertubuhan-pertubuhan belia dan NGO-NGO berkaitan dengan belia dalam merencanakan program-program yang bermutu untuk golongan belia bagi mengarus perdanakan modal insan yang lebih berkualiti dan berdaya saing.
3. Generasi Net yang mapan perlu dibina dengan berteraskan konsep bangsa Malaysia yang kukuh dengan menghargai persamaan dan menghormati perbezaan dalam kepelbagaian masyarakat Sabah yang berbilang agama dan kaum.
4. Golongan belia perlu diberikan peranan dalam mencorak dasar dan polisi kerajaan berkenaan politik, kemasyarakatan sivil dan governan melalui penghakupayaan kepada pertubuhan-pertubuhan belia atau NGO-NGO berkaitan belia yang lain.
5. Elemen-elemen kesepakatan dan kesamaan di kalangan pelbagai kaum dan etnik di negeri ini perlu dibincangkan dan diperhalusi di forum / persidangan yang lebih tinggi (melibatkan pembuat-pembuat dasar negeri ini) untuk dipiawaikan sebagai rujukan utama dalam merealisasikan konsep perpaduan dalam kepelbagaian.
6. Kerajaan adalah digesa dan disarankan untuk memperbaiki prasarana-prasarana asas seperti kemudahan jalan raya, sekolah-sekolah dan juga kemudahan-kemudahan asas seperti air, elektrik, telefon dan internet bagi memastikan belia-belia di negeri ini, terutamanya yang berada di luar bandar untuk memilik daya saing yang setara dengan rakan-rakan mereka dari negeri-negeri lain.
7. Kerajaan perlu memberikan lebih ruang dan peluang kepada golongan belia untuk mempertingkatkan ekonomi mereka dengan menyediakan lebih banyak kemudahan latihan vokasional, dana yang mencukupi serta fasiliti-fasiliti untuk pemasaran produk keluaran golongan ini.
8. Semua pertubuhan-pertubuhan belia dan NGO-NGO berkaitan belia adalah digesa untuk bersama-sama mengambil peranan dalam menangani gejala sosial dan pencegahan kegiatan jenayah di kalangan belia yang semakin meruncing hari ini.
9. Institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta adalah digesa untuk menggalakkan pelajar-pelajar menyertai pertubuhan-pertubuhan belia dan NGO-NGO berkaitan belia bagi menggalakkan sikap kepimpinan yang sihat serta kesedaran untuk menjauhi masalah sosial dan pencegahan jenayah yang lebih berkesan.
10. Bagi memperkasakan golongan belia melalui pertubuhan-pertubuhan belia di negeri Sabah, sebuah Institut Kepimpinan Belia yang berpusat di Universiti Malaysia Sabah mestilah diwujudkan dalam menyediakan acuan belia yang bersesuaian dengan iklim dan suasana negeri Sabah, dan; seterusnya dapat memberikan latihan pemerkasaan belia dalam usaha untuk menyediakan pemimpin-pemimpin belia yang berkualiti dan berdaya saing di pasaran arus perdana hari ini.
11. Generasi muda masa kini perlu mengetahui asal usul sejarah negara dan negeri ini untuk menghargai generasi lampau dan segala tindakan dalam membangunkan negara dan negeri ini perlu berlandaskan asas penting ini.
12. Gagasan 1Malaysia ini perlu berteraskan akhlak dan nilai-nilai murni agama di setiap agenda-agenda bertindaknya bagi memastikan pembangunan manusia yang seimbang dari sudut rohani dan jasmaninya.
No comments:
Post a Comment