Monday, April 12, 2010

Idealisme dan Generasi


Beberapa minggu lepas saya diminta untuk menjadi ahli panel dalam sebuah forum yang bertajuk “Membentuk generasi idealistik, aktivis dan intelektual” dan beberapa hari selepas itu diberikan tanggungjawab pula untuk menyampaikan sebuah ceramah yang bertajuk “Realiti dan Cabaran Generasi Muda”.

Kedua-dua topik ini memang berkaitan walaupun tajuknya adalah berbeza.

Kedua-dua topik ini sebenarnya menjurus kepada pencerahan sebenar idealisme perjuangan manusia sebagai khalifah di muka bumi Allah ini.

Agak berat juga untuk membincangkan topik terutama bagaimana cuba untuk membandingkan Idealisme Islam dengan Idealisme lain seperti Demokrasi, Sosialis, Kapitalis dan Gerakan Revolusi Pembaharuan. Apa istimewanya idealisme dalam risalah tauhid yang dibawa oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW jika dibandingkan dengan pemikiran SPA (Socrates, Plato & Aristotle), Karl Marx dan Martin Luther?

Kamus Dewan mendefinisikan idealisme sebagai :

Idealisme; 1. sifat (sikap atau perbuatan) melihat atau mencita-citakan sesuatu dlm bentuk yg ideal, sifat (sikap, cita-cita, dsb) menghasratkan yg unggul (yg sempurna): kekuatan inilah yg membezakan cerpen sbg karya seni yg mempunyai nilai estetik drpd cerpen yg hanya utk menyampaikan ~ pengarangnya; Allan Bloom memaparkan persekitaran politik dan sosial yg tidak banyak mendorong masyarakat utk membaca - tidak ada minat tentang falsafah, tidak ada ~ dlm hidup; 2. hasrat atau cita-cita yg unggul tetapi tidak realistik (tidak berkemungkinan tercapai atau menjadi kenyataan), hasrat atau cita-cita yg lebih merupakan impian: ini memperlihatkan ~ si ibu tidak tercapai, akibat ang-kara kejahatan di sekitarnya; pd satu pihak, bahasa baku menjadi ~ dan impian; 3. aliran (penulisan, seni) yg bersifat impian atau khayalan (dgn memaparkan keunggulan, kesempurnaan, keindahan, dsb) yg berlainan sama sekali drpd kenyataan: ~ sbg satu aliran seni merupakan satu aliran yg bertentangan dgn realisme.

Firman Allah Swt di dalam Surah al-Mukminun ayat 114 – 115 :

Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja,
kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia). Maka Adakah
patut kamu menyangka Bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada)
sahaja Dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? dan kamu (menyangka pula)
tidak akan dikembalikan kepada kami?"

Apa sebenarnya tujuan makhluk yang bernama manusia ini diciptakan di muka bumi ini?

Adakah untuk bersenang-lenang melakukan sesuka hati mereka atau adakah apa-apa tanggungjawab yang perlu dilaksanakan?

Idealisme perlu dizahirkan dengan aktivisme, dipandu dengan intelektualisme dan dikukuhkan dengan spiritualisme berlandaskan kepada kebijaksanaan (hikmah) untuk disesuaikan dengan budaya dan persekitaran semasa.

Tidak kira di zaman manakah kita berada, golongan generasi manakah kita (Baby Boom, Generasi X, Generasi Y mahupun Generasi Z)? Idealisme, Intelektualisme, Aktivisme dan Spiritualisme saja yang dapat membina satu generasi yang kukuh, membina peradaban yang agung dan umat yang boleh menakluki dunia. Kita mahu mengembalikan kegemilangan Khulafa ar-Rashidin, kita mahu membina generasi Salahudin yang dapat menawan Jeruselam, kita mahukan generasi al-Fateh yang dapat menawan Istanbul. Allahu Akbar!

InsyaAllah, sekiranya ada masa di pertemuan lain ataupun sessi muzakarah ringkas, dengan senang hatinya saya ingin berkongsi pandangan dengan rakan-rakan lain berkenaan pembinaan generasi dan idealisme ini.

No comments:

Post a Comment