Monday, April 12, 2010

Coklat

Semasa mahu balik dan menuju ke tempat kapalterbang berlepas (boarding), aku lalu (limpas) di sebuah booth menjual coklat di KLIA ni dan jurujual tu macam seolah-olah kenal aku dan menyapa aku untuk membeli coklat. Aku menolaknya dengan senyuman tetapi kemudian teringat kepada dua kisah yang menjadi sebahagian isu dalam kehidupan kita.

Kisah yang pertama, aku selalu juga beli kitkat kalau berada di KLIA atau Labuan sebab ada seorang kawan baikku yang sangat suka makan kitkat. Dia tidak tahu sebenarnya aku ke KL minggu ni sebab aku ke KL ni pun agak mengejut itulah sebabnya trip kali ini aku tidak beli kitkat untuknya.

Katanya, kitkat yang dibeli di KLIA lebih lemak dan berkrim berbanding kitkat yang dijual di pasaran kita yang melebihkan gula. Aku tidak juga begitu pasti tentang kenyataannya sebab citarasa makan aku jenis yang normal, tidak dapat kunilai kualiti-kualiti tambahan tentang sesuatu makanan aku. Bagi aku, makanan itu sama ada boleh dimakan atau tidak saja... hehe.

Sudah memang agak jarang aku bertemu dengan kawanku ni mungkin disebabkan oleh kesibukan kami masing-masing (hal kerja, keluarga, NGO dsb). Aku kagum juga dengan cara dia ni mengekalkan ukhuwwah dengan aku dengan membuat pesanan untuk beli kitkat walhal dia ni pun ada juga ke KL malah ada ahli kelurganya yang selalu berulangalik ke KL. Semoga Allah merahmati dan memberkatinya atas niatnya yang baik itu...

Itulah indahnya kehidupan yang pelbagai ini dan kadang-kadang kita selalu meremehkan perkara-perkara yang kecil pada hal besar sumbangannya dalam menjadikan kehidupan ini lebih bermakna.

Kisah yang kedua, beberapa minggu lepas ada seorang kawan buat posting dalam Facebooknya yang lebih kurang, “Saya baru beli coklat – coklat ini manis tetapi tidak semanis senyuman jurujualnya". Aku tidak begitu ingat dengan tepat perkataan demi perkataan dari ayat yang mahu disampaikannya tetapi maksud yang cuba disampaikan oleh kawan itu lebih kuranglah maksudnya.

Aku jarang buat posting dalam facebook mahupun membalas posting rakan-rakan sebab aku belum begitu bersedia untuk itu. InsyaAllah, akan kukupas mengapa dan kenapa di posting blogku nanti. Aku lebih selesa berblog kerana aku anggap ini diari peribadiku dan lebih mudah kukawal...

Berbalik kepada topik coklat yang dilontarkan oleh rakan tadi, aku kagum juga dengan kreativitinya menyusun ayat kerana beliau sebenarnya ingin meluahkan rasa marahnya terhadap penjual coklat yang tidak menunjukkan sifat ramahnya, ayat kasarnya lebih kurang, "Susahlah mau laku kedai coklat tu kalau muka penjualnya masam macam cuka". Aku kagum dengan kawanku sorang ni sebab dia menzahirkan sifat fizikalnya yang suka berhikmah dalam apa-apa tindakannya dan disuratkan juga dalam posting facebooknya (di alam maya yang tidak berapa ramai orang mengenalinya). Itulah integriti dan idealis namanya. Kebiasaan manusia hanya bersifat lemah lembut apabila amal ma’ruf (mengajak kepada kebaikan) dan tidak apabila nahi mungkar (menegur kemungkaran/kesalahan). Ada yang sampai berkata, "Kau minum arak, kau memang masuk neraka". Walaupun dakwahnya benar tetapi esensi dakwahnya salah kerana matlamat sebenar berdakwah adalah untuk mengajak rakan tersebut meninggalkan perbuatan maksiat dan bukannya menambahkan lagi prejudis ekstremisme terhadap Islam malah pengekalan ukhuwwah lebih utama bagi memastikan kesinambungan dakwah kepada individu yang disasarkan itu.

Itulah sebahagian daripada hikmah yang dilandaskan kepada kebijaksanaan seseorang itu... InsyaAllah, semoga kita semua akan menjadi insan yang bijak di dunia dan bijak di sana (akhirat).

Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment