الحمد لله الذي هدانا لهذا وماكنا لنهتدي لولا أن هدانا الله ، والصلاة والسلام على سيد الأنام بلغ الرسالة ونصح الأمة وكشف الغمة .
Ya Allah , Ya Karim Ya Wadud ,
Aku bernafas pada saat ini kerana-Mu untuk mengisi seluruh ruang hidup ku dengan ibadah kepada-Mu sesuai dengan firman-Mu yang mulia :
قُلْ إِنَّ صَلاَتِيْ ونسكي ومحياي ومماتي ِللهِ رَبِّ العَالَمِيْنَ .
Sesungguhnya solatku , ibadahku , hidupku , dan matiku semata-mata hanya untuk-Mu Allah.
Ya Aziz Ya Jabbar Ya Muntaqim
Ya Fattahu Ya ‘Alim
Kurniakanlah diriku lisan yang lembut basah ,mengingati dan menyebut nama-Mu , hati yang penuh segar mensyukuri nikmat-Mu serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintah-Mu.
Ya Munzilar Rahmat wa Ya Fatihal Barakat ,
Kurniakanlah MaghfirahMu dan kembangkanlah lembayung dan gelombang rahmat-Mu kepada diriku , ibu bapaku, keluargaku , sahabat-sahabat seperjuangan ku dan seluruh umat Islam .
Ya Allah , Tuhan Yang Berkuasa Melaksanakan apa yang dikehendaki ,
Jadikanlah usaha dan amal ku ini sebagai wahana untuk menyedarkan dan menginsafkan diri ini betapa mempelajari, mengajar dan mengamal ilmu pengetahuan merupakan pra syarat untuk mengecapi kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia ini demi mencapai kecemerlangan di pelbagai lapangan. Sesungguhnya usaha ini, tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mencapai visi mardathillah, yakni keredhaanMu.
Ya Allah , Ya Qawiyyum , Ya Matiin ,
Ya Allah , kurniakanlah kepada ku Iman yang teguh,mantap dan kukuh demi menghadapi cabaran-cabaran hidup semasa dan dalam mengharungi pancaroba hidup di dekad baru ini.
Ya Allah tunjukkanlah ku tawfiq dan hidayah jalan yang benar dan cara-cara melaksanakan serta menghayatinya. Jadikanlah aku insan yang suka mendengar kebaikan lantas melakukannya , begitu juga jadikanlah aku insan yang apabila mengetahui keburukan lantas bersegera meninggalkannya .
Ya Allah Ya Latif , Ya Khabirun bima fissudur ,
Bukakanlah hati-hati ku untuk menuju kebaikan dan kecemerlangan .
Sesungguhnya Engkau tahu segala hajat dan lintasan hatiku , maka dengan segala rahman dan rahim-Mu dan luasnya ilmu-Mu penuhilah hajat ku dalam kehidupan ini .
ربنا آتنا في الدنيا حسنة وفي الآخرة حسنة وقنا عذاب النار والحمد لله رب العالـمين
No comments:
Post a Comment