Wednesday, June 10, 2009

Istanbul – Kota beribu menara



Apa yang saya mau tulis pasal Istanbul ni? Tidak perlu sentuh apa yang sudah dituliskan dalam manual pelancongan, itu kerja orang yang mempromosikan pelancongan atau bisnes ejen pelancongan. Bercakap pasal ejen pelancongan, ramai orang Malaysia dan juga Indonesia, yang kami temui sepanjang berada di Istanbul dan mereka ni biasanya ambil pakej sekali dengan umrah. Ada kisah sebaliknya yang menjadi bahan perdebatan di antara kami berkenaan isu ini dan tidak perlulah diperjelaskan lebih lanjut di sini.



Istanbul!

Kagum juga rasanya tengok bandaraya Istanbul, salah sebuah bandaraya di negara “orang sakit Eropah” ni. Dulunya, saya hanya mengenali Istanbul ni sebagai sebuah bandaraya beribu menara tetapi tidak tahu kenapa. Sekarang barulah saya tahu, banyaknya menara kerana banyak masjid yang dibina oleh Sultan-sultan Uthmaniyyah, anak-anak mereka dan juga pegawai-pegawai mereka untuk mengabadikan nama-nama mereka supaya sentiasa terpahat dalam sejarah.
Bandaraya yang merentasi dua buah benua ini, Eropah dan Asia adalah merupakan “jambatan” kepada penyebaran agama. Agama Kristian di zaman Romawi dan Agama Islam di pasca pemerintahan Uthmaniyyah. Banyak yang kita tidak tahu tentang khalifah Uthmaniyyah ini walaupun daulah ini bertahan selama 600 tahun lamanya. Adakah kerana sistem pendidikan kita di Malaysia terlalu cenderung kepada Arab ataupun tidak ada sejarah tertulis mengenai Turki selepas tahun 1924 apabila MKA mula memerintah sebuah republik Turki? Ironinya, tidak ada juga masjid baru yang dibina di Istanbul selepas 1924.

Dahulunya sebuah negara yang amat mendukung sekularisme, nampaknya lebih Islamik sejak beberapa tahun ini dengan menangnya parti AK dalam pilihanraya pada tahun 2002 dan Recep Tayyip Erdogan menjadi Perdana Menteri. Abdullah Gul pula telah berjaya menjadi Presiden Turki selepas itu.



Selain daripada upacara memperingati pembukaan kota Istanbul yang lebih bermakna, banyak perubahan telah dibuat termasuklah pembinaan sebuah Panorama yang mengisahkan semula pembukaan kota Istanbul. Panorama ini bukannya hanya penceritaan semata-mata tetapi beberapa elemen penting seperti penerangan strategi, pengukuhan kerajaan dan pembinaan rangkaian hubungan sebelum dan selepas penaklukan. Panorama ini merupakan satu kemestian kepada pengunjung ke kota Istanbul. Saya agak kecewa juga dengan lawatan ke Turki pada kali ini kerana beberapa masjid termasuklah Masjid Sultan Muhammad (al-Fatih) dan masjid Sultan Sulayman sedang dibaiki dan dipulihara... ini yang mendorong saya untuk datang semula ke Turki sekali lagi selain tidak sempat membeli-belah. Hehehe.



Kesan ketara yang menunjukkan kesan Islamisasi di Istanbul ialah kehadiran jemaah ke masjid-masjidnya. Seperti yang diceritakan oleh Tn Hj Ahmad Azam dan Prof Dr Redzuan semasa mereka melawat Turki di pertengahan tahun 90-an hanya lima orang jemaah saja yang mengerjakan solat subuh secara berjemaah di Masjid Beyazit (sebuah masjid berdekatan Grand Bazaar). Tetapi, pada 31 Mei yang lalu seramai 1000 orang atau lebih jemaah menghadiri solat jemaah Subuh di masjid berkenaan. Di masjid ini, dialunkan zikir-zikir indah oleh imam yang bersuara merdu selepas solat Subuh. Adakah ini daya penarik sebenarnya? Wallahu a’lam bissawab.



Di akhir lawatan kami ke Turki pada 7 Jun, kami sempat bersolat Subuh di sebuah masjid yang berdekatan dengan makam seorang Sahabat Rasulullah SAW. Sahabat Rasullullah S.A.W ini, Abu Ayub Al Ansari pernah mengikuti ekspidisi perang menentang tentera Rom di Constantinople ketika di zaman kerajaan Bani Umaiyyah pada usia 81 tahun. Beliau ingin jasadnya dikuburkan di tembok Constantinople dan ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan ditembok tersebut, beliau berkata kepada panglima Bani Umaiyah: “Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut & aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda.” Walaupun beliau sudah meninggal sebelum sempat sampaii ke Kota Istanbul (yang mengambil masa selama 6 bulan perjalanan dari Baghdad pada ketika itu) tetapi hajat beliau untuk dimakamkan di tepi kota Istanbul telah ditunaikan.

Satu keajaiban yang dilihat pada solat Subuh ini ialah kehadiran jemaah Subuh yang amat luarbiasa sekali semacam seperti solat hari raya di negara ini. Di masjid ini, keistimewaan yang dilihat bukan pada zikir-zikirnya, tetapi doanya yang amat membakar semangat. Saya yang tidak faham bahasa Turki dan Arab ni pun boleh naik bulu roma dan naik semangat mendengar bacaan doa tersebut.



Taqaballahu minkum.

No comments:

Post a Comment