Wednesday, September 17, 2025

Fitrah – versi 2025

Satu hari ini…
Hari diri kembali
Ke keadaan asal yang fitrah
Ke keadaan asal yang suci tanpa noda dan dosa

Begitu jalan cerita dari kitabNya
Amat berlanjutan hari ini dan esok
Alam menjadi saksi
Bahawa manusia telah lama lupa
Siapa yang mencipta, siapa yang mengurus
Siapa yang tidak pernah tidur

Di tanah ini…
Tanah yang subur dengan salam dan senyum
Tapi juga luka yang tidak kelihatan
Hedonisme jadi budaya
Narkotik jadi pelarian
Rasuah jadi sistem
Kikir jadi falsafah

Kini muncul pula virus-virus halus
Yang dibawa oleh teknologi:
Perbandingan tanpa henti
Maklumat tanpa saringan
Kebencian berkod emoji
Identiti palsu
Ketagihan tanpa sedar

Dan di tanah asing itu… Palestin
Tanah yang tidak asing bagi doa-doa kita
Tapi asing bagi keadilan dunia
Di sana, bayi tidak sempat belajar menyebut “aman”
Kerana bom lebih pantas daripada bahasa
Di sana, ibu tidak sempat menyiapkan bekal
Kerana pagi-pagi sudah ada siren dan serpihan

Tanah itu terus bergolak
Tapi tanah itu terus bermaruah
Kerana di sana, syahadah tidak pernah tunduk
Dan ‘izzah tidak dijual walau dengan nyawa

Satu hari nanti…
Esok lusa atau seribu tahun lagi
Bagaimanakah mahu fitrahNya
Dimakamkan tinggi di Sana
Kembalikan pada menghadapNya
Dengan amal dan ibadah
Dengan ilmu dan hikmah
Dengan keberanian menolak thaghut
Dan kesungguhan dalam kerja—itqan fil amal

Di tanah jagatraya inilah
Yang hanya Dia tempat kembali
Dan hanya Dia yang tahu
Bila fitrah akan kembali bernafas
Dalam jiwa yang tidak lagi tunduk kepada gelap

Pak Ari - 17 September 2025

No comments:

Post a Comment