Thursday, August 28, 2014

Demokrasi

Idea demokrasi itu adalah dari rakyat untuk rakyat; ramai yang silap memahami idealisme ini. Idea demokrasi ini masih mengundang pendefinisian yang belum selesai di kalangan pakar-pakar siasah dan ilmu politik.

Di Malaysia, gendang-gendang tentang perbincangan makna yang tepat dan sesuai tentang demokrasi ini sudah sekian lama senyap dan "disenyapkan". Berkemungkinan sekali rakyat Malaysia sudah berpuas hati dengan sistem yang diamalkan sekarang dan menerimanya sebagai satu sistem yang berkesan membawa keadilan sosial dan politik.

Yang jelas sekali, di dalam kemelut politik tentang percaturan jawatan Menteri Bedar Selangor, komen-komen dan analisis-analisis yang dikeluarkan berpusing-pusing di sekitar Perlembagaan Malaysia dan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor.

Sejujurnya, saya masih menanti individu yang berotoriti (yang jelasnya, bukan saya) untuk meneroka kembali ruang besar pemaknaan demokrasi itu terutama dalam ruang lingkup negara Malaysia; pada cabaran baru di zaman informasi terbuka.

Sistem demokrasi berperlembagaan di Malaysia adalah sistem yang diceduk 100% daripada sistem "Westminster British" yang berdasarkan sistem ideologi. Sistem ideologi itu jugalah yang melahirkan parti-parti politik berasaskan ideologi, agama dan kaum selama ini.

Bagai lalang yang ditiup angin, idealisme politik masih ditentukan oleh tiupan media.

"The main channel of communication between the political system and the citizens is the mass media system..." Manuel Castels, 2007

Yang berbeza bukan peranan media tetapi mediumnya; dulu Radio dan Televisyen,  kini Internet dan Rangkaian Selular.

Selepas PRU ke duabelas, kecenderungan dan pola pengundi nampak nyata berubah. Atas kebanjiran dan cetusan maklumat dan fakta, pengundi-pengundi memilih berdasarkan isu dan keperluan semasa. Faktor ideologi, kaum dan bangsa sudah tidak relevan bagi pengundi terutamanya yang berada di bandar-bandar.

Pola yang sama dapat dilihat dalam kemelut Menteri Besar Selangor kali ini. Isu ideologi, agama dan bangsa dilihat sebagai satu faktor kecil. Rakyat Selangor berselisih pada dua isu utama; iaitu kesan jangka panjang dan kesan jangka pendek.

Kepada penyokong tegar prinsip "keadilan untuk semua" yang dibawa oleh Pakatan Rakyat menyokong usaha penggantian Menteri Besar; manakala rakyat yang mahukan kesejahteraan hidup sedia ada yang diberikan oleh pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim, mengekalkan kepimpinan sedia ada adalah keutamaan mereka buat masa ini.

Selainnya, hanya faktor-faktor kecil yang tidak membawa sebarang perubahan kepada pemikiran bagaimana rakyat Selangor harus memilih.

Masih menanti pengakhiran kepada kemelut yang menarik ini...

No comments:

Post a Comment