Terimakasih Istanbul kerana mengajar saya menghargai sejarah... begitu juga pengalaman di Kaherah, Amman dan Baitul Maqdis.
Contoh yang baik dalam menghargai sejarah dan keagungan zaman lampau adalah usaha yang berterusan mengembalikan keagungan itu... bermula dengan menguasai ilmu, melaksanakan tindakan ke arahnya. Bila ingin mencontohi Korea, misalnya, yang perlu dicontohi ialah usaha dan kerja keras mereka bukannya K-pop atau Gangnam.
Berbalik kepada Istanbul...
Istanbul bukan sahaja koleksi sejarah tetapi adalah kuasa utama umat Islam dengan kedudukannya yang berada di antara Asia dan Eropah. Sejarahwan Byzantium pernah mengatakan, "Sesiapa yang menguasai Constantinople (Istanbul) maka sesungguhnya dia menakluk dunia". Sejak dari 300M hingga ke 1453M apabila Sultan Muhammad al-Fateh menawannya, Kerajaan Byzantiumlah yang menjadi kuasa utama di benua Arab ini dengan Kerajaan Parsi sebagai seteru utamanya. Sila rujuk Surah ar-Rum (ayat 2-5). Istanbul yang menjadi pusat kerajaan Uthmaniyyah terus mengukuhkan kuasa pemerintahan mereka lebih daripada 450 tahun selepas itu sehinggalah kepada pemerintahan Sultan Abdul Hamid.
Sultan Abdul Hamid adalah sultan yang alim dan baik; tidak seperti gambaran yang mengatakan beliau suka berpoya-poya dan membazirkan duit serta memiliki perhiasan semuanya bersalutkan emas. Sultan Abdul Hamid menyedari akan kehebatan dan kebaikan yang boleh dibawa oleh Revolusi Industri lantas mengarahkan rakyatnya yang berpotensi untuk ke Eropah bagi mengaut sebanyak mungkin ilmu untuk membangunkan Turki yang semakin lemah. Malangnya, pelajar-pelajar Turki ini tidak banyak membawa ledakan teknologi dan sains tetapi sebaliknya membawa fahaman sekularisme. Salah seorang daripadanya ialah Mustapha Kamal Attartuk.
Selepas kejatuhan empayar Uthmaniyyah, Atartuk kemudiannya telah mengumpulkan semua waris Khalifah dan mengusir mereka keluar daripada Turki. Kesemua aktiviti keagamaan dimansuhkan, semua sekolah agama ditukar kepada sekolah sekular, mahkamah Islam dimansuhkan, azan dilaungkan dalam bahasa Turki dan undang-undang sekular dilaksanakan sepenuhnya.
Pemilihan Ankara menjadi sebuah ibu negara juga adalah satu pengunduran / "retreat" yang memaklumkan kepada dunia akan kekalahan sistem kekhalifahan Islam mahupun hilangnya taring Islam dari mata dunia. Dunia Barat pada masa itu tidak menginginkan ada blok-blok kekuasaan selain mereka sememangnya berjuang bersungguh-sungguh untuk menjatuhkan Daulah Uthmaniyyah. Kemunculan "League of Nation" pada tahun 1919 yang kemudiannya digantikan dengan United Nation adalah topeng kekuasaan Barat yang menghalalkan peperangan mengikut selera dan kehendak mereka.
Hari ini umat Islam menjadi buih-buih yang hanyut ikut pergerakan ombak di laut dengan mengharapkan simpati daripada masyarakat dunia terutamanya PBB yang sentiasa tidak ikhlas membantu umat Islam.
No comments:
Post a Comment