Bursa adalah sebuah kota lama yang pernah menjadi ibu negara lama Dawlah Uthmaniyyah yang diasaskan oleh Osman Gazi (dari mana Uthmaniyyah mendapat namanya). Di bandar inilah letaknya Masjid Jamek Ulu yang telah disiarkan pada kiriman yang lalu. Bandar ini amat terkenal dengan sutera dan kapasnya tetapi kami tidak berpeluang untuk membeli-belah di sini kerana masa yang diberikan untuk singgah di bandar ini lebih kurang sejam sahaja kerana kami perlu ke Bolvadin, sebuah bandar di kawasan Afyon selepas ini.
Izinkan saya menambah satu nota kecil dalam perjalanan kami ini berkenaan dengan kisah penduduk tempatan dengan kisah Nabi Khidir As. Menurut penduduk di sini, Nabi Khidir As selalu bersolat di sini sehinggalah ke hari ini dan kehadiran beliau dapat dikesan sekiranya ada kot yang digantungkan pada satu huruf “Wau”و pada satu tulisan khat yang berada di masjid ini.
Bandar Bursa ini merupakan sebuah bandar penting kerana di sinilah bermulanya Dawlah Uthmaniyyah yang terbina daripada sebuah kerajaan kecil serpihan kerajaan Seljuk. Sepanjang hayatnya, Osman Gazi berjuang untuk membina empayar kerajaannya dan bandar Bursa merupakan bandar terakhir yang ditawannya sebelum memberikan takhta kepada Putera Mahkotanya, Orzan Gazi. Semangat Gazi inilah yang memberikan kekuatan kepada bangsa Turki untuk membangun dan mempertahankan bangsa dan agamanya. MKA sendiri juga cuba menggunakan nama Gazi pada akhiran namanya bagi menunjukkan kesungguhan usaha dan semangat dalam membangunkan bangsa Turki.
Dawlah Uthmaniyyah mula meningkat naik selepas itu dengan Sultan Beyazid I pemerintah pertama yang menggunakan gelaran Sultan, hinggalah ke pembukaan kota Istanbul oleh Sultan Muhammad II (al-Fatih). Daulah Uthmaniyyah terus mengembangkan kekuasaanya selepas itu dengan beberapa orang Sultan yang terkenal terutamanya oleh Sultan Suleyman, Yang Hebat (Penguasa/Pembuat Undang-undang).
Kisah Dawlah Uthmaniyyah ni memang begitu asing bagi kita di Malaysia dan tidak begitu banyak kitab dan buku yang boleh kita rujuk untuk mengetahui sejarah sebenar kerajaan yang agung dan paling lama dalam sejarah umat manusia.
Di sepanjang perjalanan kami dari Bursa ke Bolvadin, Prof Dr Redzuan ada menceritakan sedikit kisah dawlah Uthmaniyyah ini bermula dari penubuhannya (1281, jika dihitung dari Osman Gazi atau 1389, bermula dari Sultan Beyazid I) hinggalah ke zaman kejatuhannya pada tahun 1924.
Semoga ada satu usaha yang serius daripada kerajaan Malaysia untuk memasukkan pengajian Dawlah Uthmaniyyah bagi mengkaji kekuatan dan kelemahannya sebagai pengajaran dan kekuatan umat Islam di negeri ini selepas ini.Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment