Penilaian kita terhadap kehidupan mestilah berdasarkan analisa dan pemerhatian yang teliti bagi menentukan hasil dan keputusan yang terbaik.
Penilaian yang mesti berdasarkan keikhlasan, kesungguhan dan komitmen... diceritakan satu eksperimen sosial yang boleh dijadikan panduan juga.
Ada kalanya saya suka meluangkan masa melihat persembahan pemuzik jalanan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Pasar Seni... bukannya untuk menghiburkan hati saja tetapi untuk melihat gelagat manusia.
Saya mungkin juga pernah menjadi penonton persembahan Caliph Buskers yang agak terkenal sekarang ini. Dan memang persembahan OKU cacat penglihatan menarik perhatian saya kerana membuat saya terpanggil untuk melakukan satu sosial eksperimen.
Kebiasaannya saya akan menderma RM5 (duit polimer) setiap kali menonton persembahan muzikal mereka bertujuan untuk melihat reaksi mereka. Acapkali setiap kali memegang nota RM5, senyuman atau reaksi yang diberikan sedikit berbeza, yakni perasaan kepuas hatian yang sedikit lebih.
Pernah sekali saya sengaja memasukkan nota RM5 lama yang bukan polimer, reaksinya sama dengan reaksi memegang RM1 yang merupakan nota wang majoriti dalam kotak kutipan mereka.
Niat saya menjalankan eksperimen ini ialah untuk menilai penerimaan manusia terhadap sesuatu perkara yang berlainan dan semestinya memiliki nilai yang berbeza (dan besar). Kadang-kadang, dalam proses mencari duit polimer di kotak kutipan itu, si pencari lupa bahawa campuran nota RM1 dan duit-duit syiling yang jika dikumpulkan boleh melebihi nilai RM5 atau berganda-ganda nilainya.
Begitulah analogi kehidupan kita yang juga relevan untuk kita yang agak sempurna ini. Banyak perkara-perkara kecil yang konsisten berlaku dalam hidup kita yang memberikan makna dan manfaat dalam kehidupan kita tetapi kita memilih untuk mengabaikan dan tidak memandangnya.
Kita memang selalu suka melihat pintu dan tingkap saja hingga terlupa susunan bata kecil bersama simen yang sebenarnya melindungi kita daripada kepanasan, hujan dan ancaman lainnya.
Banyak perkara-perkara kebaikan dan kebajikan yang dilakukan oleh orang-orang di sekeliling kita sehari-hari dan berterusan tidak pernah kita sedari kerana amaunnya yang kecil. Yang kita tunggu-tunggu ialah kebaikan yang kelihatan besar walaupun muncul setahun sekali tetapi sebenarnya tidak begitu memberi kesan dan manfaat kepada kita pun.
Perkara yang berterusan inilah Istiqamah seperti yang dinyatakan dalam hadis :
Daripada Aisyah r.ha., Nabi s.a.w. bersabda: "Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Setiap amalan yang kita lakukan akan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Sekiranya kita pilih untuk membaca al-Qur'an maka bacalah setiap hari walaupun satu muka surat. Ini kerana membaca al-Qur'an akan membuatkan hati dan jiwa kita hidup dalam mengingati Allah s.w.t. pada setiap waktu dan sekaligus mendekatkan diri kepada Allah s.w.t..
Ketahuilah bahawa seseorang itu tetap boleh mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. hanya dengan melakukan ibadah yang wajib. Hal ini ditunjukkan dalam hadith Qudsi, yang disampaikan oleh baginda s.a.w., firman Allah: "Tidak ada (amal) yang lebih Aku cintai yang digunakan hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku, selain dari (amal) yang telah Aku wajibkan atasnya."
Allah s.w.t. tahu bahawa kita ini makhluk yang lemah dan cepat jemu. Dia yang menciptakan kita dalam keadaan demikian. Dia tahu apa yang kita mampu lakukan dan apa yang kita tidak mampu lakukan.
Dari itu, marilah sama-sama kita beristiqamah dalam setiap amal ibadah kita dan sentiasa memperbaiki amalan kita dengan terus menuntut ilmu. Jangan kerana hendak mengejar amalan yang "hebat" tetapi akhirnya kita terkapai-kapai hendak menunaikannya.
Begitu juga dalam hal-hal keduniaan, kebaikan yang sedikit dan berterusan lebih tinggi nilainya di samping menunjukkan kesungguhan komitmen terhadap sesuatu perkara itu.
Amalan yang berdasarkan ilmu itu adalah jauh lebih baik dari amalan yang hanya berdasarkan ikut-ikutan.
Wallahu a'lam
No comments:
Post a Comment