Seawal peristiwa wahyu di qua hira, Islam yang diturunkan melalui Nabi Muhammad S.A.W. telah menggariskan bahawa "buta huruf" bukannya masalah utama kepada pendidikan tetapi kefahaman dan pemahaman yang benar-benar tentang kehidupan adalah kunci pendidikan yang menyeluruh.
Pandangan kita terhadap pendidikan perlu dikembalikan kepada konsep pendidikan yang sebenarnya dalam usaha membangunkan ketamadunan - pembinaan sahsiah, pemahaman nilai-nilai, kurikulum kehidupan dan kesedaran untuk berfikir untuk kekayaan dan kejayaan ummah; bukannya kejayaan peribadi semata-mata.
Semuanya berteraskan dinamika berfikir... atau bertanya KENAPA.
Belajar matematik, geografi, bahasa dan sains adalah penting, tetapi sepatutnya sama pentingnya belajar toleransi, kesamaan jantina, menghormati kepelbagaian, bagaimana untuk menyelesaikan permasalahan kehidupan di rumah dan luar rumah; perkara-perkara ini seharusnya telah menjadi silibus berkaitan dengan pendidikan.
Selagi kita tidak berdinamika dalam berfikiran dan menggali apa tujuan pendidikan sebenarnya, kita seolah-olah melakukan kerja sia-sia sahaja.
Di mana kita sekarang dan bagaimana kita dapat menuju ke arah pendidikan yang seimbang? Sebenarnya, saya tidak tahu.
Pada pandangan saya, tidak begitu susah sekiranya kita betul-betul inginkan transformasi dalam kehidupan. Proses pertama ialah "unlearnt" cara kita melihat matlamat pendidikan pada hari ini. Perubahan perlu dibuat di seluruh peringkat masyarakat; guru, pelajar, ibu bapa, majikan, ahli politik dan seterusnya.
Bolehkah? Kita memiliki sumber-masa, wang, kepakaran, idea-untuk sampai ke sana... Saya tidak meragui apa yang kita boleh lakukan. Hari ini kita boleh menyelesaikan banyak masalah dengan bantuan teknologi, dalam dunia yang telah menjadi lebih pantas dan cepat. Persoalannya adalah, adakah kita mahu dengan sungguh-sungguh untuk melakukannya?
Jawapan sebenar adalah komitmen, bukan sahaja yang berlatarbelakangkan pendidikan tetapi semua orang mesti bersedia untuk menyumbang kepadanya. Ia bukan juga mengenai anak-anak; ini adalah komitmen kita semua kepada idea merealisasikan potensi modal insan.
Saya ingin melihat beberapa tahun yang mendatang ini, ada usaha-usaha untuk memikirkan dan meletakkan idea ini ke dalam pelan tindakan pendidikan negara. Saya bersedia untuk berkongsi kudrat saya ke arah mencapai matlamat ini sebagai sebahagian keluarga besar dalam negara ini.
Saya mungkin sudah tidak mampu berangan-angan lagi seperti semasa masih muda dahulu; yang harus ada penyelesaian ajaib dan sakti, untuk merealisasikan idea-idea besar yang akan membawa kita kepada matlamat ini.
Saya hanya mampu berharap ada KUASA POLITIK dan kuasa kolektif yang akan mendorong idea-idea kecil untuk kebaikan ummah ini direalisasikan.
Ketika masih berumur 2 tahun, Halimatus Sa'diyah menceritakan bahawa Nabi Muhammad S.A.W. suka merenung bintang-bintang di langit dan kejadian malam dan siang.
Pernah sekali juga Baginda bertanya "Siapakah yang menciptakan langit? Siapakah yang menciptakan bintang-bintang? Dan Siapakah yang menciptakan alam semesta ini?"
Itulah kehidupan... perlu selalu bertanya KENAPA? Seawal usia muda pun baginda Muhammad S.A.W. telah menunjukkannya kepada kita semua.
Ada yang risau apabila kita terlalu berfikir dan mengaitkan kehidupan ini dengan sains semata-mata, kita akan tersesat...
Dalam tahun 1993, Karen Harding's menulis satu makalah bertajuk "Causality Then and Now: Al Ghazali and Quantum Theory" menerangkan beberapa persamaan ketara di antara konsep Imam Ghazali berkenaan berlakunya sesuatu perkara, "kasb" atau Occasionalism dengan Teori Kuantum Mekanik yang diterimapakai oleh masyarakat Sains.
Dia menyatakan : "Dalam kedua-dua kes, dan bertentangan dengan logik akal biasa, objek dilihat sebagai tidak memiliki entiti kewujudan dan tidak ada kewujudan yang bebas, ianya mesti diciptakan oleh Tuhan (Al-Ghazali) atau Pemerhati (Copenhagen Interpretation)."
Copenhagen Interpretation terhadap Teori Kuantum Mekanik mengakui wujudnya satu kuasa asing yang mereka gelarkan The Observer yang menentukan terjadinya sesuatu perkara itu.
Islam menerima Sains sebagai alat menerangkan hakikat kejadian alam dan Sains jugalah yang mengaku tentang kewujudan Maha Kuasa yang mempunyai Kuasa ke atas setiap perkara di alam ini.
Islam itu tentang kehidupan... bahagia di dunia dan akhirat selain menjadi Hamba Allah yang total.
Berfikir itu tidak harus dihalang; hujahan balas dengan Ilmu benar yang perlu dicari dan digali.
Bagaimana anak-anak kita hari ini? Mampukah mereka untuk bebas berfikir? Bolehkah "curiosity" tentang alam semesta mengalahkan gadget, internet dan televisyen? Hmmm...
No comments:
Post a Comment