Keluhuran budi dan kemuliaan akhlak adalah kesaktian yang MESTI dimiliki oleh setiap insan dalam perjalanan kehidupan mencari bahagia dan sejahtera.
Tanpa keluhuran budi, institusi kekeluargaan tidak akan wujud; ibubapa yang tidak memiliki kesaktian ini tidak akan mengendahkan amanah memelihara anak-anak sebaik-baiknya sebagaimana sepatutnya.
Tanpa keluhuran budi juga masyarakat tidak akan merasakan ketenangan dan ketenteraman; masyarakat akan terus mengabaikan tuntutan kekhalifahan yang mengajak manusia berlumba-lumba menzahirkan sifat keinsanan. Sifat kehaiwanan yang akan lebih menonjol seperti yang kita lihat hari ini.
Tanpa kemuliaan akhlak, institusi kekeluargaan tidak akan menjadi institusi keinsanan yang memiliki ehsan. Kesaktian ini yang membawa manusia ke jalan penuh kebaikan dan keberkatan dalam mengejar redha Allah serta kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
Nabi Muhammad S.A.W. hadir dengan misi keinsanan yang jelas; keluhuran budi pekerti dan akhlak yang mulia.
Kita akan menjadi mulia dengan keluhuran budi dan akhlak yang mulia. Segala-galanya boleh bermula dengan diri kita.
Pandangan yang tidak benar apabila mengharapkan orang lain untuk memulakan ombak kebaikan. Tidak perlu berasa malu dan serba salah apabila ingin membawa dan melaksanakan kebenaran.
Keberuntungan besar apabila berjaya mengelak diri dari maksiat dan keburukan, serta bersikap lurus dan amanah dalam setiap urusan kehidupan kita bersama manusia lain.
Kita tidak perlu menipu kerana ia tidak disukai jika terkena kita sendiri...
Kita tidak perlu memaki hamun kerana ia pedih buat orang lain dan juga diri kita..
Kita tidak perlu menyakiti kerana ia perit dan melukai fizikal, mental dan emosi kita jika kita disakiti..
Kita tidak perlu merasuah dan mengambil rasuah kerana ia hanya akan merosakan diri kita sendiri serta mengalakkan kehancuran dalam kerjaya dan kehidupan, hancur pula nilai integriti...
Kita tidak perlu mengambil hak orang lain kerana kita tidak boleh menerima pabila orang lain mengambil dan merampas hak kita...
Keburukan, kemaksiatan dan kejahatan adalah racun dan virus yang akan memakan hati kita dan terus-terusan dengan perlakuan sebegitu. Hijrah yang tulus ke arah ketulusan budi dan kemuliaan akhlak akan menyelamatkan fizikal, mental dan spiritual kita.
No comments:
Post a Comment