Setiap 12 Rabiulawal, umat Islam akan diingatkan dengan peristiwa penting kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. Setiap kali itulah akan ada yang menimbulkan kewajaran sambutannya, tarikh sebenar kelahiran Nabi S.A.W. mahupun pengisian sambutannya.
Saya menyokong semua perbincangan ini... ini menunjukkan kepedulian kita tentang wujudnya sosok yang bernama Muhammad S.A.W. dan yang lebih utama lagi ialah impak dan sumbangannya kepada umat manusia hari ini.
Salah satu daripada legasi penting yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.. ialah legasi kepimpinannya... pakejnya BIJAKSANA, AMANAH, MENYAMPAIKAN dan KEBENARAN.
Hadis riwayat Ibnu Umar ra. di bawah ini menekankan kepimpinan itu hadirnya dengan Amanah dan Kebenaran, dari Nabi S.A.W. bahwa beliau bersabda:
"Ketahuilah! Masing-masing kamu adalah pemimpin,
dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpin.
Seorang raja yang memimpin rakyat adalah pemimpin, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya.
Seorang suami adalah pemimpin anggota keluarganya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap mereka.
Seorang isteri juga pemimpin bagi rumah tangga serta anak suaminya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap yang dipimpinnya.
Seorang hamba juga pemimpin atas harta tuannya, dan ia akan dimintai pertanggungjawaban terhadap apa yang dipimpinnya.
Ingatlah! Masing-masing kamu adalah pemimpin dan masing-masing kamu akan dimintai pertanggungjawaban atas apa yang dipimpinnya."
(Shahih Muslim No.3408)
Kebenaran dan Amanah jugalah yang telah dipertahankan dengan sebaik-baiknya oleh Khalifah ar-Rasyidin selepas itu. Pentingnya MENYAMPAIKAN Kebenaran merupakan satu tuntutan keberanian yang perlu dimiliki oleh seorang pemimpin. Tanpa segan silu, Nabi Muhammad S.A.W. mengaku akan kekurangan dana dalam pentadbirannya semasa peperangan Tabuk... Para Sahabat tidak melihat ini sebagai sesuatu kekurangan dalam mentadbir uruskan sebuah kerajaan tetapi satu perkara yang tidak dijangka dan dengan tangan terbuka para Sahabat mengorbankan harta-benda mereka demi kemaslahatan umat dan kemakmuran pemerintahan.
Begitu jugalah dengan apa yang berlaku kepada Negara ini dengan musibah yang berlaku di samping ketidakstabilan ekonomi (yang masih belum diakui oleh Kerajaan) dengan susutnya nilai ringgit dan hutang yang mencecah 600 billion.
Menolak sentimen-sentimen boros dan pembaziran yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak, saya pasti rakyat akan menyokong apa sahaja tindakan berjimat atau "ikat perut" yang Kerajaan akan ambil. Yang pentingnya ketelusan dan keikhlasan perlu hadir daripada pemimpin melalui keteladanan.
Ajaran kepimpinan yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W. adalah berasakan Tauhid yang membebaskan manusia daripada ketakutan, kemiskinan pemikiran dan kejahilan... Rakyat akan SEJAHTERA dan BAHAGIA dengan pembebasan ini. Itulah makna BERAGAMA yang patut ditekankan dalam aturan dan urusan kepimpinan.
Imam Ghazali Rahmatullah Alaih pernah berkata,
"AGAMA adalah TAPAK dan KUASA PEMERINTAHAN adalah PENGAWAL... Sesuatu yang tiada tapak pasti akan runtuh dan sesuatu yang tiada pengawal pasti akan hilang."
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadanya kekuasaan memerintah di bumi dan Kami beri kepadanya jalan bagi menjayakan tiap-tiap sesuatu yang diperlukannya." Al=Kahfi : 84
Selama 13 tahun Nabi Muhammad S.A.W. menyediakan TAPAK dan 10 tahun berikutnya membina PENGAWAL. Sudah jelas contoh kepimpinan yang diberikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. untuk kita patuhi dan amalkan.
No comments:
Post a Comment