Thursday, January 1, 2015

Selamat Tinggal 2014


 
Tidak semua yang berlaku pada tahun 2014 adalah kedukaan, keraguan dan konflik… ianya adalah satu proses metamorfis atau perubahan terhadap satu peradaban dan ketamadunan. Tentang musibah dan kesusahan yang berlaku, itu adalah proses peringatan kepada kita kepada ketentuan Allah SWT dan penambahbaikan dalam urustadbir dan pengurusan bencana/risiko.
  1. Saya melihat tahun 2014 adalah detik penting pertembungan tanggapan tradisi, adab dan adat dengan tanggapan moral dan kemanusiaan semasa; beberapa insiden berlaku di mana garis antara logik dan tanggapan tradisi (yang dianggap salah) untuk menguji sudut pandang masyarakat kita.
  2. Kecenderungan ini seolah-olah menggambarkan wujudnya huru-hara dan perpecahan, yang sebenarnya tidak sama sekali. Keperluan untuk memahami apa yang mencetuskan keadaan seperti itu mesti dilakukan tanpa membiarkan emosi mengaburi pertimbangan.
  3. Benazir Bhutto mantan Presiden Pakistan pernah berkata, "Sikap melampau dan fundamentalisme hanya dapat tumbuh dalam persekitaran di mana tanggungjawab sosial asas rakyat diabaikan."
  4. Pemikiran-pemikiran yang ingin dibawa oleh pejuang kemanusiaan dan hak asasi telah mencetuskan idea rasa putus asa sosial di kalangan rakyat terhadap Kerajaan hari ini; maka wujudlah ketakutan dan “kesedaran” yang membangkitkan ekstremisme.
  5. Pada masa yang sama, Islam dijadikan “alat” di kalangan kedua-dua extrimis ini untuk membawa agenda masing-masing. Satu kumpulan dengan agenda meliberalkan ajaran agama dan satu lagi dengan mempertahankan ajaran-ajaran tradisional yang dilihat terlalu melampau dan tidak bersesuaian dengan pluraliti dan kepelbagaian masyarakat Malaysia.
  6. Ramai yang lupa atau tidak sedar bahawa cinta dan kasih sayang adalah intipati sebenar Islam; kisah penyatuan Ansar dan Muhajirin serta penyatuan kabilah-kabilah di Madinah adalah ibrah yang perlu diambil.
  7. Kejahilan dan takut sering dieksploitasi untuk menyebarkan agenda tradisi yang merusak; sentimen yang pernah ditiupkan oleh Yahudi di Madinah dan juga oleh golongan-golongan munafik. Kebijaksanaan Nabi Muhammad S.A.W disertai dengan pengorbanan yang meneladani adalah kunci utama.
  8. Al-Quran menyebut pentingnya menilai dan memahami kepelbagaian dan perbezaan, "Hai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu sebagai lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu sebagai bangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu boleh mengenal satu sama lain" (Al-Hujurat : 13).
  9. Jalaluddin Rumi, salah satu daripada penulis Sufi besar, menetapkan bahawa mesej cinta harus menerima kepelbagaian, tidak melampaui diri dan mengamalkan asas-asas kerohanian yang merupakan sebahagian besar daripada ajaran Islam. Cinta sering dianggap sebagai mengubati "semua masalah dan sains kewujudan".
  10. Cara terbaik bagi rakyat Malaysia untuk mengatasi masalah ini ialah dengan memupuk kepekaan dan kebijaksanaan. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyubur dan mengajar satu sama lain untuk memahami kepercayaan dan agama dengan pandangan keilmuan yang berasaskan keutuhan tauhid dan intelektualisme emosi.

No comments:

Post a Comment