Monday, January 5, 2015

Moral dan Keadilan

Sebagai seorang yang beragama; terutama yang beragama Islam, Redha Allah (mardatillah) adalah tujuan hakiki menjadi hamba di muka bumi ini.
 
Dalam menjalani kehidupan di dunia untuk mencari Sejahtera dan Bahagia, kita akan melalui liku-liku hidup melalui pengalaman perjalanan yang pelbagai kerenah, plot dan epiknya. Seringkali kita akan bertemu dan bertembung dengan isu-isu berkaitan agama, moral dan keadilan.
 
Izinkan saya untuk mengimbas sedikit kisah-kisah penting dalam epik Tamil yang bercerita tentang moral dan keadilan...
 
Silappatikaram (“Kisah Gelang Kaki”) pada asasnya mengangkat tiga tema yang berkaitan dengan kebenaran hakiki, iaitu :-
(1) raja yang gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab akan menerima hukuman setimpal,
(2) wanita yang suci dan setia kepada suami akan disegani dan dihormati, dan;
(3) nasib dan takdir ketentuan Tuhan tidak boleh diubah oleh manusia.
 
Watak-watak utama dalam epik ini ialah pasangan suami-isteri Kovalan dan Kannagi. Kovalan menjalin hubungan dengan seorang penari bernama Madhavi tetapi akhirnya bertaubat dan kembali kepada Kannagi. Tidak lama kemudian, Kovalan dituduh mencuri gelang kaki permaisuri Kerajaan Pandian, lalu dihukum bunuh. Demi menuntut keadilan, Kannagi menyumpah seluruh kota Madurai musnah dalam kebakaran.
 
Silappatikaram bukanlah sebuah karya berciri keagamaan, sebaliknya ia sebuah karya yang mengangkat tema moral dan keadilan.
 
Karya agung ini ditulis pada kurun pertama dan merakamkan citra hidup masyarakat di India Selatan pada zaman berkenaan. Pengarang Silappatikaram ialah Ilango Adigal iaitu adik kepada Raja Chenguttuvan yang memerintah Kerajaan Cheran di negeri Kerala pada waktu itu. Epik ini mengangkat pelbagai peristwa yang berlaku di tiga kerajaan besar di India Selatan iaitu Kerajaan Cheran, Cholan dan Pandian.
 
Karya kedua yang berkaita ialah Manimegalai...
Manimegalai merupakan lanjutan kepada kisah dalam Silappatikaram. Madhavi yang menjalinkan hubungan dengan Kovalan melahirkan anak perempuan yang dinamakan Manimegalai. Epik ini yang dikarang oleh Sithalai Sathanar pada kurun kelima.
 
Kisah dalam karya berunsur ajaran Buddha ini berlatarkan Poompuhar di Tamil Nadu, India dan Nainatheevu di Sri Lanka.
 
Secara umum, epik ini menceritakan kisah dan pengalaman Manimegalai sehingga dia memeluk ajaran Buddha mengikut mazhab Theravada yang terkenal di Myanmar dan Sri Lanka. Epik Manimegalai turut menceritakan kisah kehidupan dan ajaran yang dibawakan Siddharta Gautama Buddha.
 
Aspek propaganda ajaran Buddha amat nyata kerana pengarang ketara membandingkan kelebihan ajaran itu dengan agama-agama lain yang terdapat di India Selatan pada waktu itu, khususnya ajaran Hindu dan Jain.

Watak Manimegalai digambarkan sudah mendalami kesemua agama dan falsafah di India Selatan pada waktu itu sebelum memilih ajaran Buddha.
 
Unsur femanisme dan hak wanita juga diangkat menerusi karya ini. Manimegalai mendapati bahawa sebelum kedatangan ajaran Buddha, kedudukan wanita hanyalah sama ada sebagai seorang isteri di rumah atau seorang wanita murahan di rumah pelacuran.
 
Buddha pula memperkenalkan sangha khas bagi pengikut wanita yang mencapai tahap Bhikkuni iaitu setaraf sami Buddha. Sami wanita (Bhikkuni) diberikan kuasa autonomi dalam menggerakkan dan mentadbir sangha yang dikhaskan untuk mereka.
 
Amat nyata bahawa Manimegalai adalah sebuah epik Tamil yang ditulis khusus untuk menyebarkan ajaran Buddha kepada masyarakat di Selatan India pada waktu itu. Proses penambahbaikan kepada perjalanan sistem keagamaan sedia ada yang meninggalkan elemen kewanitaan.
 
Sengaja saya membawakan naratif daripada kisah dua epik penting di kalangan bangsa Tamil yang juga amat berkaitan dengan resam dan adat yang dikatakan sebati dengan masyarakat di Malaysia. Walaupun Islam dikatakan telah muncul lebih awal sebelum tarikh pembukaan kota Melaka tetapi kita tidak menolak adat dan resam Tamil (Hindu) lebih menjiwai dan menguasai resam dan adat Melayu sebelum itu.
 
Yang baiknya, isu-isu yang diketengahkan oleh dua epik ini masih menjadi isu-isu yang ditimbulkan oleh filem-filem Tamil hari ini seperti cerita Singham.
 
Sepertimana adat resam dan budaya yang ditinggalkan di Malaysia dan Indonesia... tari, pesta, muzik dan pakaian lebih meninggalkan kesan. Tema penting yang dibawa iaitu moral dan keadilan hilang begitu sahaja... Samalah seperti pengiktirafan dan persepsi terhadap wanita yang cuba dibetulkan turut menerima nasib yang sama...
 
Isu-isu MORAL dan KEADILAN perlu diketengahkan dalam mencari BAHAGIA dan SEJAHTERA dalam kehidupan di dunia ini.

No comments:

Post a Comment