Toleransi dan Keterbukaan adalah nilai-nilai konsisten dengan nilai-nilai kemanusiaan dalam masyarakat plural. Berkata yang hak dan benar adalah tuntutan murni dari jiwa yang merdeka tetapi tiupannya biarlah penuh hikmah dan kebijaksanaan.
Kebebasan bersuara harus datang dengan tuntutan moraliti. "Free speech" membolehkan rasis, xenophobes, neo-fasis dan homophobes lantang bersuara dan membunuh keharmonian pluraliti. Kebebasan bersuara akan menjadikan sesetengah individu kurang ajar dan kasar. Ironinya, ia juga membolehkan golongan-golongan sampah ini berkerjaya - menjadi alat kepada agenda sesetengah pihak.
Tetapi kebebasan bersuara juga perlu dalam menyuarakan masalah untuk mengiktiraf hak-hak yang sama bagi mereka yang berada di margin (marginalised society). Ia membolehkan ketidakadilan sistem diperkatakan dan untuk membantah penyalahgunaan kuasa yang zalim dan sewenang-wenangnya oleh kerajaan dan masyarakat majoriti yang autoritarian dan totalitarian.
Sejarah membuktikan pencerahan idealisme kebebasan bersuara muncul sebagai suatu suara protes pembelaan terhadap kezaliman pemerintahan autoritarian.
Persoalannya, perlu ada hati nurani yang baik mengenai cara terbaik menggunakan dan melindungi kebebasan bersuara selaras dengan matlamat demokrasi yang inklusif, terutama dalam suasana berkabung dan kekecewaan yang memuncak.
Cabaran sebenar ialah untuk mengawal kebebasan bersuara ini bagi mengelakkan serangan-serangan keagamaan dan perkauman daripada agama dan kaum yang berlainnya. Contohnya, upacara solat Jumaat mingguan pun dijadikan bahan untuk dipertikaikan.
Apatah lagi mempertikaikan guru2 agama; contohnya ulama dan ustaz yang merupakan rujukan kepada agama Islam. Yang peliknya, si penegur ini amat jahil dengan apa yang ditegurnya... saya mengenali beberapa orang bukan Islam yang belajar tentang Islam dan tidak pernah saya menerima teguran-teguran bodoh dan menghina daripada mereka macam peguam "bangang" ni; semuanya intelektual dan beradab.
Saya tidak ada masalah "free speech" yang mengangkat isu bangsa atau agama sendiri; sama ada yang tertindas atau dipinggirkan.
Saya tidak bersetuju dengan pandangan sensitif yang tidak berasas tentang komuniti lain... terutama yang menyentuh hal-hal berkaitan agama dan bangsa.
Saya suka mengambil dan mengangkat Kerajaan Uthmaniyyah Turki sebagai model pengurusan pluralistik... model yang bertahan lebih daripada 500 tahun.
Sama seperti Empayar Islam sebelumnya, Uthmaniyyah menunjukkan toleransi yang besar dan "penerimaan" masyarakat bukan Islam dalam empayar mereka. Ini adalah berdasarkan kepada undang-undang Islam yang sedia ada mengenai status bukan Islam. Mereka dilindungi, diberi kebebasan agama, dan bebas daripada penindasan menurut Syariah. Salah satu rujukan utama (precedent) ini adalah Perjanjian Umar ibn al-Khattab, di mana beliau menjamin kebebasan beragama dan keselamatan penganut Kristian di Jerusalem.
Di bawah sistem ini, setiap kumpulan agama telah dibahagi-bahagikan ke dalam satu kumpulan yang berbentuk autonomi. Millet berasal dari perkataan Arab untuk "negara/negeri", yang menunjukkan bahawa Uthmaniyyah menganggap Kerajaan mereka adalah pemimpin kepada pelbagai negara. Setiap kumpulan agama dalam millet sendiri, dengan pelbagai millet sedia ada di dalam empayar. Sebagai contoh, semua orang Kristian Ortodoks di Empayar Uthmaniyyah membentuk satu millet, manakala semua orang Yahudi menubuhkan satu millet lain.
Setiap millet dibenarkan untuk melantik tokoh agama sendiri untuk memimpin mereka. Dalam kes Gereja Ortodoks (Gereja terbesar di Empayar Uthmaniyyah), Patriak Ortodoks (Archbishop of Constantinople) adalah pemimpin yang dipilih mengetuai millet mereks. Ketua-ketua millet dibenarkan untuk menguatkuasakan peraturan agama mereka sendiri ke atas orang-orang mereka. Undang-undang Islam (Syariah) tidak mempunyai bidang kuasa ke atas orang bukan Islam di Empayar Uthmaniyyah.
Dalam kes-kes jenayah, orang akan dihukum mengikut peraturan agama mereka sendiri, bukan peraturan Islam atau kaedah-kaedah agama-agama lain. Sebagai contoh, jika seorang Kristian mencuri, dia akan dihukum mengikut undang-undang Kristian mengenai kecurian. Jika seorang Yahudi telah mencuri, dia tidak akan dihukum mengikut undang-undang selain Yahudi, dan lain-lain pun begitu juga. Undang-undang Islam akan digunapakai jika jenayah itu melibatkan seorang Muslim, atau apabila terdapat kes yang melibatkan dua orang dari millet berbeza. Dalam kes itu, seorang hakim Islam akan dilantik untuk mempengerusikan kes dan hakim mengikut pertimbangan yang terbaik dan undang-undang biasa.
Selain undang-undang agama, millet diberi kebebasan untuk menggunakan bahasa mereka sendiri, membangunkan institusi mereka sendiri (gereja, sekolah, dan lain-lain), dan memungut cukai. Sultan Uthmaniyyah hanya menjalankan kawalan ke atas millet melalui pemimpin-pemimpin mereka. Para pemimpin millet akhirnya melaporkan kepada sultan, dan jika terdapat masalah dengan satu-satu millet, Sultan akan berunding terus dengan pemimpin millet. Secara teorinya, penduduk Islam di Empayar Uthmaniyyah juga merupakan millet, dengan sultan Uthmaniyyah sebagai pemimpin keseluruhan millet.
Sistem millet adalah sistem pemerintahan unik dan kreatif yang sesuai untuk mengendalikan sebuah empayar yang mempunyai pelbagai etnik dan agama. Sistem yang bekerja lebih daripada 500 tahun ini telah menghasilkan sistem pemerintahan yang harmoni dan stabil malah telah terbukti mengekalkan kebebasan pegangan keagamaan pluralistik yang stabil.
Berbanding dengan kebebasan beragama dan kehidupan Eropah hari ini, sistem ini bersesuaian ka?
Seharusnya kebebasan bersuara dikurung dalam komiti itu sendiri; seperti dalam ruang-ruang millet semasa kerajaan Uthmaniyyah... untuk memastikan pelaksanaan yang adil dan hukuman pada peringkat komiti itu sendiri!
Kebebasan bersuara sesungguhnya baik apabila ia melindungi yang lemah dan yang terpinggir. Tetapi kebebasan bersuara bukanlah peluang menghina dan mencaci agama yang lain; yang natijahnya boleh membangkitkan kemarahan dan tindakan ganas.
Inilah isu yang sedang mencengkam di Barat; prejudis terhadap umat Islam.
Ditambah lagi sentimen anti-pendatang yang ditenun sekian lama di Eropah ini yang membawa kepada diskriminasi terutama kepada orang-orang Muslim. Yahudi sebelum ini yang pernah menerima diskriminasi seperti ini telah berjaya membuat satu benteng maya bernama anti-semitik yang dicanangkan begitu sistematik sekali; bercampur dengan lobi-lobi yang menguntungkan pemimpin-pemimpin Eropah, USA dan UN.
Saya memang mengutuk keganasan...
Keganasan sentiasa perlu dihukum... tetapi kita perlu hidup rukun dan damai juga.
Setiap kemarahan kita tidak perlu diterjemahkan dalam marah dan suasana penuh berapi. Kita perlu suntikan kesabaran dalam empati sebenar dan belas kasihan... dialog dan bincang. Kita perlu belajar untuk setuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree).
Demokrasi mengajar kita untuk membuat pilihan, dengan daya pemikiran yang sihat dan matang.
Kesederhanaan (moderation) juga akan menjadi ekstrem bila ia terhakis ke arah kedayusan... membiarkan asas-asas agama dan kaum diperlekehkan dan dihina; malah dizalimi.
Kita perlu alat komunikasi mapan dalam mengurus segala perbezaan; yang pentingnya kita perlu belajar berfikir di luar hak (bukan kotak ya) untuk mengelak menyinggung perasaan.
“We should be too big to take offence and too noble to give it.”
- Abraham Lincoln
Bibliography:
Itzkowitz, Norman. Ottoman Empire And Islamic Tradition. Chicago: University Of Chicago Press, 1981. Print.
Ochsenwald, William, and Sydney Fisher. The Middle East: A History. 6th. New York: McGraw-Hill, 2003. Print.
No comments:
Post a Comment