Tuesday, January 6, 2015

Derma, Suka dan Rela

Dalam suasana pilu dan sedih kebanyakan orang di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan beberapa negeri lain termasuk Daerah Beaufort dan Kota Belud di Sabah, berduyun-duyunlah insan mulia turut sama memberikan sumbangan yang termampu...
 
Alhamdulillah saya amat menyanjungi kisah dermawan-dermawan dan sukarelawan-sukarelawan ini yang turun SUKA dan RELA. Walaupun ada cerita-cerita kurang manis yang ditimbulkan di media-media, itu adalah terlalu kecil bagi saya. Sesungguhnya hanya Allah SWT yang menilai amalan-amalan, bukannya media atau orang ramai... IKHLAS itu dari Allah dan Allah Maha Mengetahui tentang segala urusan di dunia ini.
 
Seringkali di kala berlakunya bencana dan musibah, isu-isu sebegini akan ditimbulkan dan diulang-ulanglah cerita Qabil dan Habil sebagai perbandingan untuk tujuan peringatan dan teladan.
Subhanallah betapa baiknya rakan-rakan ini yang memilih nasihat berteladan sebagai peringatan dan bukannya cacian serta makian.
 
Bersama-samalah kita berlumba dalam membuat kebaikan (fastabiqul khairat).
 
Bila bercerita tentang fastabiqul khairat ni, saya ada kisah benar rakan yang dikenali berkaitan kerja-kerja derma, suka dan rela ini.
 
Rakan ini memang saya kenali begitu aktif dengan kerja-kerja sebegini... selalu juga muncul dalam media-media tentang keaktifannya.
 
Tidak berapa lama dahulu dia bercerita bahawa keaktifannya itu adalah lakonan politiknya semata-mata... buat aktiviti sukarela semasa mengambil gambar, menderma secukup rasa dan kadang-kadang komitmen sahaja yang lebih kalau sudah tidak mampu berdalih... dan itu yang digembar-gemburkan.
 
Dia senang dipanggil sukarelawan dan dermawan...
 
Tetapi ini semua berubah apabila anaknya menghidap penyakit yang memerlukan kos yang agak besar. Kebetulan perniagaannya tidak begitu memberangsangkan pada waktu itu... Dia pun meminta secara diam-diam dengan rakan-rakan seperjuangan yang agak "berada". Anehnya, kebanyakan rakan-rakan yang begitu bersikap sama dengan beliau sebelum ini... hanya berkomitmen, ala kadar dan ada juga yang berdalih.
 
Di dalam keadaan yang agak buntu itu tiba-tiba dia menerima sejumlah bantuan yang agak mencukupi untuk menampung perbelanjaan perubatan anaknya... Allahuakbar! Bantuan yang digerakkan oleh orang-orang yang (pernah dibantunya) sebelum ini...
 
Sejak hari itu, sudut pandangnya terhadap derma, suka dan rela sudah berubah. Saya sendiri melihat dia semakin aktif dan suka menderma atau menggerakkan derma bilamana ada keperluan sebegitu. Apa yang amat saya kagumi dia pun selalu mengaturkan kerja-kerja amal membersihkan tempat awam seperti masjid, kubur dan surau bersama-sama keluarga, rakan dan pekerja-pekerjanya.
 
Ini memang kisah perubahan yang menakjubkan kerana semua ini diceritakannya semasa kami bertemu di stadium bola. Dia berbekalkan plastik sampah yang katanya untuk mengutip sampah di sekitar tempat duduknya nanti...
 
Saya berkata kepada beliau, "TAHNIAH, kerana turut menyedarkan saya tentang DERMA, SUKA dan RELA..."
 
Sesungguhnya Allah itu Maha Adil... Keikhlasan walaupun sedikit pasti dipandangNya... menjadikan rakan saya itu insan DERMAWAN dan SUKARELAWAN yang mulia serta Insan yang bijaksana menilai kisah kehidupan.
 
Semoga kisah ini bermanfaat untuk kita semua.

No comments:

Post a Comment