Friday, December 28, 2012

Misi Kemanan Sejagat

Antara misi utama Islam diutuskan kepada seluruh alam untuk menyebarkan mesej keadilan dan kesaksamaan dalam kehidupan manusia sejagat. Mesej ini yang mengiringi perutusan nabi dan rasul kepada kaum masing-masing. Justeru, Islam menganjurkan umatnya melaksanakan keadilan dalam setiap aspek kehidupan mereka.

Tambahan pula, perintah itu datang seiringan dengan sifat Allah sendiri yang Maha Adil dan mengharamkan Zat-Nya daripada melakukan kezaliman. Diriwayatkan dalam hadis yang bermaksud: “Wahai hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan sifat kezaliman dalam ZatKu dan Aku juga mengharamkan sifat itu di kalangan kamu. Oleh itu, jangan kamu zalim menzalimi antara sesama kamu.” (Hadis riwayat Muslim).

Misi utama delegasi ini adalah keamanan sejagat (world peace) tetapi kenapa perlu ke Timur Tengah? Statistik peperangan yang berlaku di dunia sepanjang 20-30 tahun dan selepas peperangan dunia kedua majoritinya berlaku dalam dunia Islam. Bermula dengan perang Mesir-Israel, Perang Iran-Iraq, Perang Iraq-Kuwait, Perang Teluk dan termasuklah pertempuran kecil-kecilan Hezbollah-Israel dan Hamas-Israel serta peperangan pemberontakan seperti yang berlaku di Sudan, Libya dan Syria; semuanya berlaku di Timur Tengah. Terdapat juga peperangan dan pertempuran yang melibatkan dunia Islam seperti di Bosnia, Afghanistan, Checnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan yang terkini wilayah Rakhine di Myanmar.

Pelbagai faktor yang mempengaruhi peperangan di dalam dunia Islam – kekuasaan, pengembangan agama, penguasaan/perkembangan sosio-ekonomi, pengembangan/pengekalan budaya, faktor agama, mengatasi pemberontakan. Di dalam sejarah Islam, peperangan yang berlaku terdorong daripada tuntutan pembebasan manusia daripada kejahilan dan kehancuran serta menegakkan panji keadilan Islam di seluruh alam. Ini bertepatan sifat kesyumulan dan kesejagatan yang menghiasi Islam itu sendiri. Oleh itu, setiap warga Muslim sewajarnya menjulang tinggi perintah Ilahi ini supaya pembebasan, keamanan dan kemakmuran berteraskan konsep keadilan dapat direalisasikan dan ditegakkan dalam masyarakat sejagat.

Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan. (Al-Maidah : 8)

No comments:

Post a Comment