Friday, December 28, 2012

Misi ke Timur Tengah



Saya ingin memulakan perbicaraan topik ini dengan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2011 dan cuba mengukur kekuatan ekonomi umat Islam. Daripada data ini dapat disimpulkan bahawa kekuatan ekonomi umat Islam pada masa ini bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan.
 
Di kalangan negara Arab ini, perkembangan ekonomi di United Arab Emirates (UAE) dilihat boleh memberikan satu sinaran positif. Dahulunya, Dubai menjadi lapangan terbang transit kepada kapalterbang-kapalterbang milik asing termasuk Malaysian Airlines dari Timur ke Barat dan sebaliknya tetapi kini Abu Dhabi dijadikan pusat kepada syarikat kapalterbang milik UAE sendiri, iaitu Etihad. Dengan KDNK sebanyak USD360 juta dengan penduduk seramai 8 juta orang, sudah seharusnyalah UAE dilihat sebagai sebuah negara yang memiliki kekuatan ekonomi yang baik. Sebarang komen lain belum dapat diberikan untuk UAE mahupun Abu Dhabi kerana delegasi MBM hanya berada di lapangan terbang semasa transit tetapi sesuatu yang agak menyulitkan pandangan mata kerana 90 peratus daripada pekerja-pekerja yang berada di dalam kawasan lapangan terbang adalah terdiri daripada warga asing Filipina, Bangladesh, Indonesia dan Pakistan.
 
Republik Islam Jordan

Perkara pertama yang menarik perhatian kami semasa tiba di Jordan ini ialah nilai tukaran matawangnya yang terlalu tinggi (1 Jordan Dinar bersamaan RM4.20) dan amat bertentangan sekali dengan keadaan ekonominya yang tidak seberapa. Setelah beberapa hari berada di sini, barulah disedari bahawa Jordan amat memerlukan matawang yang tinggi ini bagi mengimbangi ekonominya dan mengawal pemilikan harta dari luar.

 
Penduduk Jordan adalah seramai 6 juta yang 50% daripadanya ialah berbangsa Palestin dan selebihnya adalah Arab Badwi. Ekonomi Jordan tidaklah segah ekonomi negara-negara Arab di sekitarnya yang dianugerahi oleh emas hitam (petroleum) mahupun kesuburan tanah. Pohon-pohon yang segar tumbuh di sekitar Bandar Amman hanyalah pohon kurma dan zaitun, pohon-pohonan yang sama boleh didapati di tanah Arab yang lain. Hanya berdekatan dengan Sungai Jordan sajalah pohon-pohon lain dapat hidup subur di negara ini dan khabarnya Sungai Jordan ini pun semakin susut kedalaman airnya dari tahun ke tahun.

Daripada jumlah keseluruhan penduduk Jordan, 60 – 70 peratus adalah terdiri daripada golongan muda. Rakyat berbangsa Arab Badwi menguasai Sektor Awam/Kerajaan manakala rakyat berbangsa Palestin menguasai bidang-bidang komersil. Di sektor-sektor perkhidmatan lain dan juga tenaga-tenaga buruh, rakyat berbangsa Palestin mengisi setiap peluang pekerjaan yang ada. Jordan adalah negara yang paling tinggi literasi di kalangan penduduknya (melebihi 93%) berbanding negara-negara Arab yang lain.

Jordan adalah sebuah negara yang prihatin dan banyak membantu negara-negara Arab yang bergolak dengan sentiasa mengamalkan konsep “pintu terbuka / open door policy”. Untuk pergolakan yang berlaku di Syria, Jordan telah memberikan suaka politik dan bantuan kepada 600,000 pelarian dengan lebih daripada 4000 pusat bantuan. Walau bagaimanapun, keadaan ekonomi Jordan yang tidak menentu ini amat membebankan dan bantuan kewangan berterusan daripada negara-negara Arab yang lain seperti Arab Saudi, UAE dan Qatar menjadi sumber utama mereka.

 

Sumber utama ekonomi Jordan ialah pelancongannya dan banyaklah peninggalan-peninggalan menarik yang berada di negara ini seperti Citadel (yang dibangunkan oleh Kerajaan Uthmaniyyah), Istana lama Ummayad, Bangunan Colliseum serta tempat-tempat menarik lain terutamanya Gua Ashabul Kahfi, Bandar Batu Petra dan Laut Mati.



Jordan akan mengadakan pilihanraya pada 23 Januari 2013 bagi memastikan reformasi politik dan seterusnya reformasi ekonomi dapat berjalan lancar. Walaupun berlakunya satu demonstrasi beberapa minggu lepas oleh rakyat Jordan berikutan pengurangan subsisdi minyak, situasi politik di Jordan masih lagi stabil. Ini berikutan langkah-langkah yang diperkenalkan oleh IMF untuk memperbaiki ekonomi Jordan yang merupakan ‘net importer’ dan defisit perbelanjaan menjangkau 5 billion setahun.



Jordan memang amat dikenali dengan komitmen pendidikannya untuk rakyatnya mahupun untuk rakyat yang ingin menuntut ilmu di negaranya.
Terdapat seramai 3042 orang pelajar Malaysia yang berada di Jordan mengikuti jurusan pengajian Islam dan perubatan (termasuk pergigian) serta dalam jurusan sains yang menduduki 5 buah universiti. Manakala, terdapat 800 pelajar  Jordan pula sedang menduduki pengajian pasca-ijazah di Malaysia. Persatuan pelajar di Jordan pula dinaungi oleh sebuah Perwakilan Pelajar yang mewakili 17 wakil persatuan daerah Jordan / negeri Malaysia dan 4 buah NGOs. Pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk memberikan bantuan kepada pelarian Syria dan program korban sempena aidiladha. Di kalangan pelajar-pelajar yang berada di Jordan ini, pelajar Malaysia diiktiraf dan dikenali sebagai model/contoh kepada pelajar-pelajar lain dari segi kecemerlangan akademik dan sahsiah.

(Kedutaan Malaysia di Jordan diertanngunggjawabkan untuk urusan diplomatik di 3 buah negara – Jordan, Iraq dan Palestin manakala Education Malaysia Jordan (EMJ) pula dipertanggungjawabkan untuk menguruskan hal ehwal pelajar di 7 buah negara)


No comments:

Post a Comment