Friday, December 28, 2012

Jalan-jalan di Baitul Maqdis

Suasana semasa berada di pintu masuk King Hussein Bridge - Allenby Bridge agak mencemaskan juga dengan layanan yang diterima di pusat Imigresen Israel. Di dalam keadaan cemas itu jugalah satu frasa yang melucukan menjadi kata frasa yang sering diulang-ulang sepanjang perjalanan kami ini, “No Photo, No Photo”. Di dalam keadaan yang agak stress dan masa menunggu yang terlalu lama, salah satu perkara berlawanan yang aneh dan menarik berlaku di sini ialah kebanjiran manusia yang rata-ratanya pelancong untuk cuba masuk ke tanah suci yang sedang bergolak ini.

Catatan sejarah menunjukkan kota ini telah diduduki manusia selama sekitar 5,000 tahun sekaligus merupakan antara kota yang tertua di dunia dan masih dihuni sehingga sekarang. Kota ini merupakan tempat pertembungan antara tiga agama samawi iaitu Islam, Yahudi, dan Kristian bahkan setiap agama mempunyai kawasan masing-masing di sekitar kota lama yang mengelilingi sebuah tanah tinggi yang terkepung dengan tembok yang tinggi lagi kukuh.


Mengikut berita yang tersebar luas, mereka melakukan penggalian di bawah tapak masjid sehingga meletakkan Masjid al-Aqsa dan Masjid Kubah Batu di dalam risiko keruntuhan akibat aktiviti yang kononnya berlandaskan kerja-kerja arkeologi itu. Kaum Yahudi kelihatan begitu teruja untuk merealisasikan pembinaan Haikal Sulaiman mereka itu, bagi mereka pembinaan itu adalah sesuatu yang menjadi tuntutan agama mereka dan perlu dilaksanakan, yang menjadi persoalan hanyalah bila Haikal Sulaiman itu akan dibangunkan?
Di dalam Haram al-Sharif ini terdapat empat buah masjid iaitu Masjid al-Aqsa, Masjid al-Qubahtul Sahrah (Kubah Emas / Golden Dome), Masjid Umar al-Khattab dan Masjid Marwan (Masjid bawah tanah). Semasa lawatan kami ke Masjid Marwan, kami diperlihatkan struktur-struktur bangunan yang retak akibat daripada pengorekan-pengorekan yang dilaksanakan oleh Israel untuk mencari Haikal Sulaiman.

Banyak yang perlu dipelajari dan dikaji daripada kisah perebutan tanah suci ini – adakah kerana agama, kuasa atau tuntutan sejarah. Adakah Islam / Yahudi / Kristian memiliki tuntutan yang benar (legal claim) terhadap tanah suci (al-Quds) ini. Perjuangan rakyat Palestin menentang pendudukan Israel sudah menjangkau 6 dekad (sejak 1947) dan masih berterusan lagi.

Dunia hari ini melihat penentangan rakyat Palestin adalah lebih besar di Gaza berbanding dengan Baitul Maqdis. Gaza adalah sebuah tanah yang agak sempit dan amat padat dengan jumlah penduduknya seramai 1.7 juta menjadikan rakyat Palestin lebih sedar dan merasa untuk bangkit menentang Israel bagi menagambil semula tanah mereka yang dirampas.Perkara asas yang paling penting ialah perpaduan di antara HAMAS dan FATAH. FATAH yang agak selesa di tebing barat dan HAMAS yang tidak henti-henti menyerang Israel secara kecil-kecilan menjadikan bangsa Palestin sukar untuk bersatu bebas daripada cengkaman Israel.


Kita amat memahami tuntutan menubuhkan atau mengembalikan tanah Palestin seperti asalnya seperti sebelum tahun 1947. Kejadian serangan Israel terhadap pimpinan dan kubu Hamas adalah tindakan yang amat terkutuk dan kesan selepasnya yang banyak mengorbankan insan-insan yang tidak berdosa dan tidak terlibat secara langsung dengan persengketaan ini. Keruntuhan dan kerosakan bangunan-bangunan penting untuk rakyat Palestin di Gaza seperti hospital, sekolah dan juga rumah-rumah untuk dihuni oleh penduduk di sana adalah satu kesalahan kemanusiaan yang amat besar.

United Nation (UN) hanya mengiktiraf Israel dan hanyalah baru-baru ini memberikan status negara pemerhati UN kepada Palestin. Walau bagaimanapun, atas desakan dunia (termasuk bekas sekutu baratnya seperti Perancis), Israel menjadi semakin terdesak dan bimbang akan keputusan jenayah perang oleh International Court of Justice (ICJ).

Walau bagaimanapun. kadang-kadang kita terlupa pembebasan yang pernah dilakukan oleh Saidina Umar al-Khattab dan Salahuddin al-Ayyubi adalah pembebasan tanah suci Baitul Maqdis dan pertahanan dengan tembok besar dan tebal yang dibuat oleh Kerajaan Uthmaniyyah semata-mata untuk mempertahankan kota suci ini. Kini, Israel adalah penguasa sepenuhnya kawasan Baitul Maqdis ini (walaupun orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki kawasan Haram al-Sharif) dan kita masih meragui tindakan lanjut oleh Israel (Yahudi) mahupun golongan Kristian yang sentiasa menganggap kota ini adalah kota suci utama mereka dan bukannya Vatican.

Negara-negara Arab ada memainkan peranan masing-masing membantu Palestin dari segi logistik dan kewangan tetapi dilihat masih memerlukan usaha yang lebih besar. Alhamdulillah, Malaysia adalah sebuah negara yang amat vokal memperjuangkan nasib rakyat Palestin secra berterusan dan konsisten dan diakui oleh kebanyakan negara di Timur Tengah ini.

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (Mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan Kami ialah Allah". dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya Yyang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak padanya dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong ugamanya (ugama Islam); Sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa;  (Al-Haj : 40)
 
 
Sesungguhnya perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan yang benar dan ada hak ke atasnya. Sama-samalah kita berdoa dan panjatkan doa untuk perjuangan mereka.

No comments:

Post a Comment