Friday, December 28, 2012

Mesir : Pelancongan, Pendidikan dan Palestin


Mesir sering dikaitkan dengan pelancongannya, pendidikannya dan hubungkaitnya dengan perjuangan pembebasan Palestin...

Dari segi pelancongan, piramid masih dijadikan tarikan utama untuk pelancong luar datang ke Mesir melalui brosur-brosur pelancongan yang ada selain “tarian gelek” Mesir di tebing-tebing dan feri-feri Sungai Nil. Salah satu daripada tindakan yang perlu diambil oleh Presiden Morsi untuk membetulkan persepsi masyarakat dunia tentang Mesir ialah “tarian gelek” sebagai ikon pelancongannya. Apa yang lebih menarik ialah apabila rombongan kami tiba di tapak piramid, jumlah pelancong yang ada tidaklah seramai yang disangka-sangkakan. Keadaan menjadi semakin buruk apabila ada sebilangan daripada ahli rombongan kami dipaksa untuk membeli barang (setelah dipakaikan), dipaksa menaiki unta dan juga dipaksa untuk mengambil gambar dengan salah seorang daripada mereka! Juga, berhati-hati semasa membeli di Khan Khalili, apabila membuat tawar menawar, berikan tawaran kepada harga yang serendah-rendahnya kerana harga awal yang ditawarkan 200-300 peratus daripada harga yang sepatutnya.

Walau bagaimanapun, Mesir masih dilihat berpotensi untuk membangun dan dikukuhkan dari segi pertaniannya. Hasil kapas dan minyak wangi yang banyak serta buah-buahan yang lazat dan manis masih menjadi tarikan hati saya kepada Mesir (Kaherah) ini.

Mesir juga boleh mengembangkan pakej pelancongan untuk umat Islam ke makam-makam Sahabat Rasullullah dan Ulamak-ulamak yang terdapat di Mesir antaranya ialah Makam Saidina Hussein, Saidina Uqbah, Abu Darda, Lokman Al-Hakim, Nabi Daniel, Nabi Soleh, Nabi Harun, Imam Syafie, Imam Sayuti, Ibnu Hajar Asqalani, Abu dzar Al-Ghifari, Sheikh Ibnu Atoillah, Sheikh Taqiyuddin Ibnu Daqiq, Zakarian Al-Ansori, Izuddin Abdul Salam, Rabiatul Adawiyyah, Zu nul Misri, Sheikh Soleh Muhammad, Imam Al-laisi, Ibnu Sirin, Sheikh Ashraf, Sheikh Muhammad Syatibi, Imam Fahruddin Ar-razi, Imam Syazauli, Saiyyidah Nafisah ra, Saiyyidah Rukayyah, Saiyyidah Sakinah, Saiyyidah Atiqah, Sheikh Ahmad Al-Badawi, Sheikh Mutawalli Sya'rawi, Ibnu Hisyam, Sheikh imam Baijuri dan lain-lain.

Rombongan kami hanya sempat menziarahi makam Imam Syafie di masjid yang dibina atas namanya dan makam Saidina Hussein di masjid yang juga dibina atas namanya yang terletak berdekatan dengan Pasar Khan Khalili.


Institusi Pendidikannya, merupakan sesuatu yang menjadikan Mesir sebuah negara penting dalam peta umat Islam. Al-Azhar yang percuma untuk seluruh umat Islam terutama dalam bidang Pengajian Islam (Syariah, Usuluddin dsb) masih relevan walaupun memerlukan perubahan kepada pengajian ilmu kontemporari, sains dan teknologi. Suasana keilmuan masih jelas terasa di sekitar Masjid al-Azhar apabila kelas-kelas pengajian serta study-group yang banyak di kalangan pelajar Malaysia dan Indonesia. Kadang-kadang ada juga di kalangan kita yang tertanya-tanya mengapa hanya pelajar-pelajar dari Indonesia dan Malaysia sahaja yang mengisi kemasukan ke Universiti yang tertua di dunia. Adakah hanya kerana faktor sejarah atau faktor yuran pengajian percuma atau faktor tradisi atau ada faktor lain?

Terdapat lebih 10,000 orang pelajar Malaysia yang berada di Mesir mengikuti jurusan pengajian Islam dan perubatan (termasuk pergigian) serta dalam jurusan sains yang menduduki beberapa buah university (Kaherah, Mansurah, Alexandria, Zagazig, Luxor dll). Persatuan pelajar di Mesir tidak seaktif pelajar di Jordan walaupun memiliki beberapa rumah Malaysia dan negeri-negeri di seluruh Mesir ini.

Satu kelebihan yang ketara di kalangan pelajar perubatan dan pergigian lulusan Mesir ini ialah graduan-graduan dari universiti di Mesir ini perlu menduduki setahun kelas-kelas pengajian agama bagi memastikan pandangan alam Islam diwujudkan dalam kerjaya profesional mereka.

Terdapat beberapa isu yang ditimbulkan oleh pelajar-pelajar di Kaherah ini berkaitan dengan pendidikan di Mesir pada hari ini - sara hidup yang semakin meningkat, isu-isu keselamatan terutama dalam keadaan politik yang tidak stabil dan kurangnya aktiviti di kalangan pelajar-pelajar Malaysia.


Mesir dan Palestin

Mesir mempunyai hubungan sejarah yang panjang dengan perjuangan penentangan terhadap Israel dan pembebasan Palestin - Palestin berjiran dengan Mesir di Timu Lautnya dan Genting Gaza asalnya adalah milik negara Mesir sebelum diambilalih oleh Israel selepas peperangan Arab-Israel pada tahun 1967. Sejak dari itu, hubungan Mesir dan Israel sentiasa dalam keadaan berkonflik tetapi tindakan akhir oleh Husni Mubarak menutup pintu Rafah adalah satu tindakan yang dikatakan pro-Israel kerana menghalang sebarang bantuan untuk penduduk Palestin di sana.
Dengan kejatuhan rejim Husni Mubarak, dunia terutamanya negara-negara Islam amat menunggu reaksi Mesir terhadap kedaulatan negara Palestin. Mesir, lebih kurang 82 juta (hampir saiz Jerman), adalah negara Arab paling ramai penduduk, dan masih dianggap sebagai pemimpin dunia Arab. Ia juga mempunyai tentera yang terbesar dan terbaik di Timur Tengah, walaupun majoriti rakyat Mesir tidak menginginkan peperangan terutama dalam keadaan ekonomi negara yang sangat teruk.

Setakat ini, perkembangan positif yang telah diberikan oleh Presiden Morsi untuk rakyat Palestin ialah membuka semula pintu Rafah bagi membolehkan lebih banyak bantuan diberikan kepada rakyat Palestin di Gaza tanpa melalui Tebing Barat dan pengawasan Israel. Walau bagaimanapun, ada sesetengah pihak melihat ini akan menyukarkan lagi penyatuan FATAH-HAMAS walaupun Presiden Morsi telah menyediakan ruang dan forum perbincangan di antara dua pihak Palestin yang tidak sependapat ini.

No comments:

Post a Comment