Friday, December 28, 2012

Mesir Hari ini...



Dari Abu Hurairah, Rasulullah saw bersabda: “Seihan, Jeihan, Nil dan Efrat, semuanya adalah sungai-sungai syurga” (HR. Muslim). Adakah status sungai syurga ini menjamin bahawa sungai ini dan penduduk di sekitarnya akan menikmati kemewahan dan kemakmuran seperti yang diingini? Mesir, sebuah negara yang bergantung penuh dengan sungai Nil baru saja menyaksikan peralihan politik daripada satu rejim (Husni Mubarak) kepada satu pemerintahan yang dikaitkan dengan gerakan Islam.
 
Ikhwan Muslimin [Ikhwan al-Muslimim], bersama-sama dengan Salafi Islamis yang lebih radikal, telah ternyata menjadi pemenang dan kini mengambil tempat dalam pilihanraya demokratik di pasca-Mubarak dan kini menguasai Parlimen Mesir. Calon Ikhwan Muslimin, Mohammad Morsi kini menduduki jawatan Presiden di dalam era yang sangat tidak stabil ditambah lagi dengan isu ekonomi yang sangat meruncing, kadar kemiskinan yang semakin meruncing, pengangguran yang sangat tinggi dan industri utama mereka, iaitu pelancongan semakin dalam keadaan tenat.

Apatah lagi kali ini beliau berhadapan dengan penentangan yang besar selepas meluluskan satu perlembagaan baru yang menghadkan kuasa hakim-hakim agar tidak melebihi kuasa Presiden. Akibatnya, satu tunjuk perasaan besar telah berlaku beberapa hari sebelum kami tiba di Medan Tahrir oleh penentang-penentang Morsi. Semasa kami berada di Mesir juga , satu pungutan suara sedang dibuat oleh Kerajaan Morsi bagi meninjau pendapat rakyat berkenaan perubahan perlembagaan itu (Tinjauan Pendapat telah memenangkan persetujuan kepada perubahan perlembagaan sebanyak 63 peratus).

Saya sempat juga membaca melalui suratkhabar Pro-pembangkang Mesir yang mengatakan 40 peratus daripada pengundi yang akan mengundi menyokong tidak mengetahui apa yang dipersetujui oleh mereka. Saya juga turut mendengar kempen daripada pihak pembangkang di kalangan para pelajar bahawa pendidikan percuma (termasuk al-Azhar) akan ditarik-balik walaupun nyatanya kempen itu adalah palsu.

Berbalik kepada isu kemiskinan dan kebersihan, situasi ini boleh dilihat dengan jelas apabila rombongan kami bersolat di Masjid Amru Al Ash’, begitu ramai peminta sedekah dan senario ini berulang lagi di masjid tempat Imam as-Shafie dimakamkan. Keadaan persekitaran juga amatlah kotor dengan sampah sarap dibuang merata-rata. Menurut pemandu pelancong kami, Presiden Morsi telah menjalankan kempen pembersihan sampah sarap tetapi mendapat sambutan yang dingin daripada rakyatnya malah mendapat penentangan daripada pembangkangnya dengan menganjurkan kempen membuang sampah merata-rata pula!

No comments:

Post a Comment