Sunday, December 30, 2012

Turki Aku Datang...



Turki adalah sebuah negara yang penuh misteri dan unik, wujud sejak 1924 dan lahirnya bukan kerana kemerdekaan tapi selepas kejatuhan satu empayar besar, Uthmaniyyah Turk. Sejak itu pemimpin Turki cuba mengubah persepsi rakyatnya bahawa beliaulah yang membebaskan Turki daripada kemunduran dan kekolotan. Kemunduran dan kekolotan yang cuba digambarkan itu adalah hidup secara Islam; kehidupan dengan menuruti kemurnian akhlak, menjaga adab kemanusiaan dan yang paling utama, patuh kepada Allah SWT.
Misi beliau untuk mengubah Turki bukannya keseorangan malah mendapat sokongan negara-negara Barat. Jika kita mengikuti filem-filem berdasarkan sejarah oleh Barat, orang Islam Turki yang berjuang untuk empayar Uthmaniyyah sering digambarkan sebagai orang-orang yang zalim, kasar, gasar dan tiada perikemanusiaan. Bagi melupakan kehebatan Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Istanbul, ibu negara baru Turki dipindahkan ke Ankara dan bangunan-bangunan penting dalam sejarah seperti masjid-masid, istana dan muzium ditutup atau dijadikan markas tentera dana kandang kuda.
Minda sempit begini masih wujud hari ini, termasuklah di Malaysia… Saya ada menerima jemputan untuk menghadiri majlis tahun baru (pengisiannya amat bertentangan dengan cara hidup Islam terutamanya dengan promosi hidangan araknya). Saya menolak dengan baik tetapi saya diberikan respon yang menusuk hati; saya ni kolot dan mundur. Sedihnya saya… tetapi untuk dia. Sekiranya dia mahu berbahas tentang teknologi, hal-ehwal semasa serta ekonomi Malaysia dan dunia belum tentu dia dapat menandingi saya!
Kembali kepada Turki dan Istanbul…




Negara Turki pun nampak “gah” juga kemajuan materialistiknya; bangunan dengan fasiliti moden dan sistem pengangkutan awam dan jalan raya yang agak baik juga. Melancong ke Turki ini amat sukar kerana bahasanya… Tidak ramai rakyatnya boleh bertutur bahasa Inggeris. Tetapi yang peliknya, ramai pulak pelancong terutamanya dari Eropah yang datang melancong ke Turki. Semasa penerbangan balik ke Kuala Lumpur, ada seorang pelancong dari Jepun memberitahu bahawa Istanbul (Turki) adalah destinasi pelancongan yang baik dan beliau berbangga kerana Turki menghargai bahasa mereka sama seperti orang Jepun. Komen ini berlainan dengan komen rakan pelancong dari Bangladesh yang tidak menyukai polisi Turki tentang bahasa ini…

Saya difahamkan juga oleh rakan-rakan dari Turki bahawa bahasa pengantar dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah bahasa Turki seratus peratus. Di universiti pula, 90 peratus bahasa pengantarnya adalah bahasa Turki. Rasanya, tidak perlu gunakan Bahasa Inggeris untuk lebih maju, tetapi usaha-usaha menterjemah dan pengkajian teknologi yang berterusanlah yang lebih utama supaya kita tidak ketinggalan dalam arus kemajuan masakini dan itulah yang dilaksanakan oleh Turki sehinggalah ke hari ini untuk setanding dengan jiran-jiran mereka di Eropah. Hal yang serupa boleh saya simpulkan juga untuk Jepun, Perancis, Jerman dan China…

Perjalanan kami disambut dan dirahmati dengan hujan salji… Pengalaman pertama bagi sesetengah rombongan kami dan pengembalian nostalgia lama bagi yang pernah merasakannya. Semoga ada manfaat dan kebaikan kepada perjalanan kali ini.
Kelebihan itu adalah anugerah Allah yang menjadi amanah untuk ditunaikan haknya...
Yang kuat untuk untuk membantu yang lemah
Yang kaya untuk membantu yang miskin
Yang sihat untuk membantu yang sakit
Yang berilmu untuk membantu yang jahil

No comments:

Post a Comment