Tuesday, August 7, 2012

Ziarah Dakwah TM di Ranau

Bagi meneruskan tanggungjawab sosial kepada masyarakat di negeri Sabah ini, Telekom Malaysia (TM) melalui Badan Kebajikan Islam Telekom (BAKIT) telah mengadakan Ziarah Ramadhan di beberapa kampung Pedalaman yang terletak di sekitar pekan Ranau.

Ziarah Ramadhan yang diadakan selama dua hari, pada 4 hingga 5 Ogos (15 dan 16 Ramadhan 1433H) bertumpu kepada dua kawasan utama; kawasan Matupang dan Ulu Sugut. Perjalanan pada hari yang pertama di sekitar Matupang meliputi empat buah kampung, iaitu Kg Matupang Jaya, Kg Lungkidau, Kg Tompius dan Kg Bitoon.

Perjalanan hari pertama kami ialah ke Kampung Matupang Jaya yang jauhnya 45KM daripada Pekan Ranau. Walaupun terletak di tepi jalan utama menghubungkan Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau, namun keadaan surau ini agak dhaif dan usang. Atas maksud itulah, ziarah kali ini turut menguruskan penyerahan bahan-bahan binaan seperti bata, pasir, simen dan batu. Selain daripada itu, ziarah ini turut menyerahkan sumbangan barang-barang dapur dan buku-buku agama untuk kegunaan penduduk kampung.

Seterusnya, lawatan kami ialah ke Kg Lungkidau yang terletak di seberang sungai dan jalan perhubungan untuk memasuki kampung ini ialah melalui jambatan gantung. Alternatif lain, ialah menggunakan kereta tinggi (4WD) untuk menyeberang sungai yang kebetulannya cetek pada masa ini. Ziarah ini juga menyerahkan sumbangan barang-barang dapur dan buku-buku agama untuk kegunaan penduduk kampung.

Kampung seterusnya ialah Kg Tompius yang terletak tidak jauh daripada Kg Lungkidau. Dari Kg Lungkidau ke Kg Tompius, terdapat dua jalan yang boleh dilalui iaitu; melalui jalan hutan yang mengambil masa selama sejam setengah atau melalui jalan utama Kota Kinabalu - Sandakan (perlu meredah semula sungai). Ziarah ini juga menyerahkan sumbangan barang-barang dapur dan buku-buku agama untuk kegunaan penduduk kampung serta pengagihan lampu solar kepada penduduk kampung yang bertujuan membantu kanak-kanak menelaah buku di malam hari. Di kampung-kampung ini, cahaya yang menerangi di waktu malam hanyalah lampu pelita selain daripada sinar bulan dan bintang. Untuk surau dan di kalangan yang berada, tenaga solar merupakan sumber tanaga yang menjana lampu dan peralatan elektrik yang lain.

Kampung terakhir untuk kembara pada 4 Ogos ialah Kg Bitoon yang terletak tidak jauh daripada Kg Tompius. Di sinilah para rombongan beriftar bersama-sama penduduk kampung sambil menyerahkan sumbangan lampu solar, barang-barang dapur dan buku-buku agama untuk kegunaan penduduk kampung. Jemaah disajikan dengan nasi berbungkus daun yang merupakan tradisi masyarakat di sini. Menu lauk istimewa ialah daging rusa dan sayur rebung segar.

Perjalanan hari kedua dimulakan ke Kg Tinotuan, yang jaraknya hanya 30KM dari Pekan Ranau... Walau bagaimanapun, masa perjalanan tidaklah sesingkat yang disangka kerana kenderaan kami terpaksa melalui jalan berbatu, berdebu dan naik turun bukit dengan kelajuan purata 30km sejam. Selepas itu, barulah kami menuju ke Kg Terawas, Kg Morungin Dua dan diakhiri di Kg Sumbilingon.

Sama seperti hari sebelumnya, ziarah ini juga menyerahkan sumbangan lampu solar, barang-barang dapur dan buku-buku agama untuk kegunaan penduduk kampung.

Syukur Alhamdulillah dan berkat ziarah-dakwah Ramadhan kali ini, hasil sumbangan warga Bakit TM Sabah & warga ex-TM KL, sebanyak 112 barangan dapur, 122 helai set (telekung & kain pelikat) telah berjaya disumbangkan kepada penduduk mualaf di 5 buah kampung terpencil di Ranau, buku panduan solat wanita & lelaki, buah buku Iqra dan terjemahan Al Quran. Sebanyak 90 buah lampu solar disumbangkan juga ke 3 buah kampong iaitu Kg. Sumbilingon, Kg. Bitoon dan Kg. Tompios di Ranau. Semoga usaha ini berterusan, menjadi manfaat kepada penerima dan pemberinya serta mendapat keberkatan yang Maha Esa. Wallahu a'lam.

No comments:

Post a Comment