(Ucapan alu-aluan majlis perasmian penutupan Seminar Luqman Al-Hakim)
Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji dan syukur bagi Allah Tuhan semesta alam, yang telah menurunkan agama Islam menjadi petunjuk bagi setiap Insan. Salawat dan salam sejahtera bagi junjungan kita Nabi Muhammad SAW, Rasul Allah akhir zaman, bagi keluarganya, sahabatnya dan mereka yang mengikuti sunnahnya sehingga akhir zaman.
Juga, berkat taufik dan hidayah dari Allah SWT, kerana memberikan kesempatan dan menemukan kita semua dalam program yang diharapkan dapat mengundang Rahmat dan HidayahNya.
Tujuan utama program kali ini ialah untuk menyebarluaskan kerangka sistem dan kaedah pendidikan yang diterapkan oleh Al-Quran melalui Hikmah Luqman Al-Hakim. Ini adalah kesinambungan untuk membugarkan semula sejarah peranan agama dan umat Islam dalam memantapkan kembali nilai-nilai Islam dalam berbagai aspek kehidupan sebagai suatu tunjang di kalangan umat, yang telah berakar umbi dengan pelbagai kebudayaan dan peradaban.
Sistem dan kaedah itu pada suatu masa telah mencapai hasil gemilang dalam usaha membina umat yang dengan ikhlas berjuang dan berkorban untuk menegakkan kebenaran agama Allah yang merupakan satu-satunya kebenaran yang mampu membawa manusia kepada kesejahteraan dan kebahagiaan yang menjadi idamannya.
Kita harus sedar dan menerima hakikat bahawa pendidikan adalah satu-satunya jalan untuk merubah masyarakat, membentuk pemimpin dan mewujudkan cita-cita. Walau bagaimanapun, model pendidikan yang perlu dijadikan alat pembinan ummah bukanlah pendidikan yang sewenang-wenangnya. Rencana pendidikan harus mempunyai tujuan tertentu, langkah-langkah yang teratur, sumber yang terang, bahagian-bahagian yang saling mendukung dengan sistem beraneka ragam dan ditegakkan atas falsafah yang jelas, digali dari ajaran Islam bukan dari ajaran lainnya.
Pendidikan Islam menurut pengertian daripada model Hikmah Luqman Al-Hakim dan penerapannya mempunyai ciri-ciri khas yang menonjol, yang terpenting ialah :
1. Tekanan pada segi Ketuhanan,
2. Sempurna dan lengkap,
3. Keserasian dan keseimbangan,
4. Bersifat kreatif dan membina,
5. Persaudaraan dan kesetiakawanan.
6. Beridentiti dan berdikari.
Apakah faktor-faktor Yang akan mendokong kejayaan?
Suasana kebersamaan yang positif, yang dibina oleh jamaah. Hal itu akan membantu setiap anggotanya untuk hidup secara Islam, melalui advocacy (nasihat), contoh teladan, persamaan perasaan dan tindakan. Manusia menjadi lemah bila menyendiri dan menjadi kuat dengan jamaahnya. Jamaah merupakan kekuatan untuk menegakkan kebaikan dan ketaatan serta merupakan perisai terhadap kejahatan dan maksiat.
Dalam beberapa hadith :
"Pertolongan Allah diberikan kepada Jamaah "
"Serigala hanya memakan kambing yang tersisih dari kawanannya."
Sesuatu jamaah tidak akan dapat bertahan hanya dengan idealisme-idealisme dan manhaj perjuangan semata-mata. Jamaah yang kuat memerlukan pengerak-penggerak yang senantiasa menjadi pelincir kepada lelangsungan perjuangan. Pemimpin-pemimpin perlu dibentuk dan ditonjolkan seramai yang mungkin, diberikan peluang sewajarnya dan diangkat selayaknya.
Pemimpin yang mendidik dengan bakat, ilmu dan pengalamannya yang dianugerahkan kepadanya kekuatan iman yang luar biasa, membekas pada setiap hati orang yang berhubungan dengannya, melimpah dari hatinya ke hati orang-orang di sekitamya. Dia seperti dinamo yang dari kekuatannya hati mereka diisi dengan "kekuatan" kata-kata bila keluar dari hati terus masuk ke hati para pendengarnya tanpa memerlukan keizinan, tetapi bila keluar hanya dari lidah maka pengaruhnya tidak akan melampaui telinga.
Oleh itu, hati-hati kita pendukung jalan dakwah ini perlu disatukan, dibersihkan,dan dibugarkan agar kekal dalam perjuangan.
"Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada bentuk (tubuh) mu, tetapi Dia melihat kepada hatimu." (Al-Hadith)
Hati adalah satu-satunya pegangan yang dapat ditunjukkan oleh seorang hamba kepada Tuhannya pada hari kiamat sebagai sarana bagi keselamatannya. Allah SWT berfirman:
"Pada hari harta dan anak-anak tidak berguna. Kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih " (Asy-Syu'ara': 88-89).
Orang yang memiliki hati yang hiduplah yang dapat mempengaruhi pendengar dan pengikutnya. Sedangkan orang yang mempunyai hati yang mati tidaklah mampu menghidupkan hati orang lain. Sebab orang yang tidak memiliki sesuatu tidak dapat memberikannya kepada orang lain dan wanita yang tidur tidak sama dengan wanita yang kehilangan anak.
Imam Ali ra. berkata:
"Tak ada gunanya berteman dengan manusia tak berpendirian, Ke mana angin bertiup kesanalah arah condongnya, Dia pemurah bila anda tidak memerlukan hartanya, Tetapi ia bakhil ketika anda jatuh miskin dan papa, Alangkah banyak kawan ketika anda menghitung-hitungnya, Tetapi alangkah sedikit mereka ketika bencana menimpa."
InsyaAllah, ABIM akan meneruskan perjalanannya menelusuri ruang-ruang pembinaan generasi, peradaban dan ketamaduan bagi meneruskan misi tamdun Kharya Ummah melalui satu payung yang mempunyai wadah yang jelas dan cerah.
Cara pelaksanaan yang bermacam-macam, yang bersifat peribadi, yang bersifat kelompok, yang bersifat teori, yang bersifat praktikal, yang bersifat pemikiran, yang bersifat perasaan, yang berbentuk perintah dan yang berbentuk larangan semua itu dilaksanakan dalam bentuk pelajaran, ceramah, seminar, diskusi dan pendekatan peribadi, begitu pula syair-syair yang dihafal, bacaan-bacaan yang diulang-ulang, nyanyian-nyanyian dengan kata-kata, irama dan lagunya mempunyai pengaruh tertentu . . . Tujuannya mencerdaskan akal dengan ilmu pengetahuan, membersihkan hati dengan ibadat dan menyihatkan badan dengan riadah. Pertemuan ini dinamakan "kutaibah" (regu) yang menanamkan pengertian jihad. Selain itu masih ada sistem-sistem lain yang semuanya bertujuan membentuk manusia muslim yang sempurna.
Apa yang paling utama ialah seperti pesan Ustaz Siddiq Fadzil, dalam memperjuangkan dakwah ini, kita bekerja bukannya untuk penghargaan tetapi mencari Mardatillah semata-mata. Seperti pepatah Arab :
"Semoga Allah membalasi bencana dengan kebaikan, Dengan bencana aku mengenal siapa musuh dan siapa teman. "
Wallahu a’lam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment