Tuesday, May 31, 2011

Realisasi Kebenaran 3

Apabila kita kembali kepada alam falsafah, terdapat empat perkara yang menjadi masalah utama atau empat perkara yang dicari hakikatnya;

Pertama, mencari yang benar, lawannya yang salah
Kedua, mencari yang baik, lawannya yang buruk
Ketiga, mencari yang indah, lawannya ialah yang hodoh
Keempat, mencari yang suci atau Yang Maha Sempurna, lawannya ialah yang banyak kekurangan.


Benar sering dikaitkan dengan kejujuran dan ketulusan. Para ulama’ telah menetapkan benar itu diletakkan kepada dua perkara :

Pertama, hendaklah perbuatan kita sesuai dengan kata-kata kita. Orang yang sentiasa melaungkan kata-kata benar, tetapi secara praktikalnya melakukan pembohongan, bukanlah orang jujur namanya. Berjanji melaksanakan tanggungjawab (amanah), dipenuhi dan dipikul. Tegasnya diniatkan hendak memenuhi janji dan menyempurnakan amanah walaupun kadangkala tidak dapat dilaksanakan (kerana ada aral yang melintang).

Kedua, perkataan kita hendaklah bersetuju dengan pemikiran kita. Maksudnya, kita amat sedar bahawa apa yang terlepas dari mulut kita adalah benar adanya.

Imam Ghazali, membahagikan menurut Falsafah Tassawufnya masalah sikap benar itu kepada enam bahagian :

1. Benar kata-kata
2. Benar niat dan kemahuan
3. Benar azam (kehendak)
4. Benar ketika menunaikan kehendak
5. Benar dalam kerja
6. Benar di dalam kedudukan agama.
(Ihya Ulumuddin)

Adapun sikap benar adalah suatu budi utama yang bersifat positif; ijabiah, membangun. (Pak Hamka). Menerangkan dan memperjelaskan sesuatu yang benar tidaklah cukup hanya dengan tidak berdusta tetapi hendaklah diikuti dengan sesuatu yang positif, bagi mengukuhkan kebenaran yang disampaikan.

Robert Louis Stevenson, “Semata-mata berdiam diri saja belum boleh dikatakan bersikap benar kerana kerapkali seorang termenung seorang diri dalam sebuah bilik tidak berkata sepatah apapun, tetapi di dalam dadanya meluap-luap suatu maksud yang jahat dan khianat”.




Benar lawannya dusta atau bohong. Apabila berbicara mengenai bohong, benar pasti disebut dan diulas. Benar tetap benar, dan bohong tetap bohong. Tidak ada pertikaian yang menyatakan bohong adalah benar, dan meskipun dibenarkan berbohong pada keadaan yang tertentu, ianya masih tetap bohong sifatnya.

Oleh itu, para ulama’ telah menegaskan dan menetapkan bohong dan bentuk-betuknya;

1. Berlebih-lebihan memberikan sesuatu, sejengkal dijadikan sehasta, sehasta dijadikan sedepa.

2. Mencampuradukkan antara yang benar dengan yang dusta, sama ada dalam perkataan mahupun perbuatan. Di dalam Al-Quran disebutkan : “Janganlah kamu selubungi yang benar dengan yang salah dan kamu sembunyi-sembunyikan kebenaran, padahal kamu telah tahu.”

3. Memotong-motong kebenaran dengan mengambil maklumat mengikut keperluannya sehingga menjejaskan maksud sebenar.

4. Menyatakan dengan mulut sesuatu yang berlainan daripada yang terasa di hati, walaupun yang dinyatakan itu benar.

5. Memuji-muji, menyanjung berlebih-lebihan kepada orang yang berpengaruh.

6. Janji yang dimungkiri.

7. Menyembunyikan kebaikan dan kebenaran.

8. Sombong, mengangkat diri lebih daripada ukurannya.

9. Bersaksi dusta – mengabui hakim/kadhi, menyukarkan perkara, mempermudahkan, mempermainkan nama Allah dan menyakiti orang yang tidak bersalah.

10. Mengada-adakan sesuatu yang tidak wujud/benar.

Kita patut sedar apabila melihat kemelaratan dan kekecewaan yang memenuhi hati masyarakat, ketidakpuasan di mana-mana, di tambah lagi kos sara hidup yang semakin meningkat. Maudhu’ dan keutamaan kita ialah menegakkan kebenaran dan memerangi segala pembohongan yang semakin membarah di sekeliling. Seperti kata Pak Hamka, “Sikap jujur dan keberanian mempertahankan kebenaran adalah intisari daripada jiwa yang merdeka, dan bohong atau munafik adalah gejala daripada jiwa hamba”.

Wallahu a’lam bissawab.

No comments:

Post a Comment