Tuesday, May 24, 2011

Nota buat Pejuang

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (balasan syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
(At-taubah : 111)

Permulaan daripada naungan keimanan akan menyuburkan keperibadian yang mempunyai kebebasan daripada sifat ‘pak turut’ dan ‘buih’. Ia berlaku melalui proses tarbiyyah yang menghasilkan model yang unik, mempunyai pelbagai kemampuan dan kefahaman. Dengannya, seseorang muslim menjadi seorang yang unik, berbeza daripada orang lain. Kepelbagaian dan kebebasan ini adalah asas bagi tertegaknya sebuah masyarakat yang tidak dipengaruhi oleh pengikutan yang membuta tuli dan pembebasan yang mematikan, tetapi tersepadu padanya segala elemen inovasi dan ciri-ciri kepelbagaian. Lalu ia menjadi seperti sebuah papan yang mempunyai pelbagai warna yang sepadan dan gambaran yang sempurna.


Ini semua adalah hasil daripada proses tarbiyyah dan perancangan berjangka panjang, memerlukan nafas yang panjang, kesabaran yang utuh, kerja yang berterusan, hati yang tetap teguh, bahkan pemaksaan, bagi membentuk suatu contoh bentuk kehidupan yang menegaskan nilai-nilai tinggi Islam dan prinsip-prinsipnya yang istimewa. Dengannya, seseorang muslim melalui kehidupan ini tanpa mengalami masalah, krisis dan membuat perbandingan yang silap, bahkan tiada pemisahan keperibadian, sentiasa sedar terhadap cabaran yang akan dihadapi, yakin terhadap manhaj serta berusaha melaksanakannya, menjadikan seluruh umat merasa wajib untuk beramal, yakin dengan kemampuannya untuk memberikan pengaruh yang positif, berbangga dengan identiti Islamnya dan yakin dengan pertolongan Allah terhadapnya.


Islam mempunyai matlamat penting yang mesti kita memahami dan menyedarinya dengan baik, iaitu menegakkan satu umat yang baik (salih) dan melakukan pembaikan (muslih). Umat seumpama ini tidak akan wujud melainkan apabila dipenuhi syarat-syarat yang asasi, antaranya:
1. Mempunyai risalah dalam kehidupan dan berjuang demi kerananya.
2. Bersatu dan saling berkasih sayang.
3. Berkorban dan sentiasa sedia untuk berkorban.

Untuk mencapai matlamat-matlamat di atas, ia menuntut suatu kekuatan kehendak dalaman yang kuat dan keazaman yang tinggi untuk meneruskan perjalanan. Kerana jalan yang dilalui dipenuhi dengan pelbagai halangan dan rintangan. Oleh itu, Hasan al-Banna berkata kepada golongan yang mendahulukan perasaan daripada akal mereka :

“Kekangi keliaran perasaan anda dengan pandangan akal. Terangilah pancaran akal dengan gejolak perasaan. Iringi khayalan dengan kebenaran hakikat dan realiti. Bongkari hakikat menerusi cahaya khayalan yang indah dan bersinar terang. Janganlah anda terlalu cenderung kepada sesuatu lalu anda meninggalkannya dalam keadaan tergantung. Janganlah anda bertembung dengan undang-undang alam kerana ia pasti akan menang. Tetapi jinakkanlah ia, pergunakanlah ia dan alihkan alirannya serta ambillah bantuan daripada sebahagiannya bagi menghadapi sebahagian yang lain. Tunggulah saat kemenangan kerana ia tidak jauh daripada anda.”


Beliau juga berkata kepada golongan yang menyukat sesuatu berdasarkan hasil dan gambaran zahirnya sahaja:
“Sesungguhnya anda ingin memperoleh keredhaan Allah dan mendapat balasan pahala dan rahmatNya. Anda dijamin memperolehinya selagi mana anda ikhlas. Oleh itu, janganlah anda memperjudikan usaha-usaha anda. Jangan perjudikan syiar kejayaan anda. Dan bekerjalah “kerana Allah bersama-sama dengan anda dan Dia sekali-kali tidak akan mengurangkan balasan pahala anda” (Surah Muhammad ayat 35). Kemenangan adalah bagi orang-orang yang bekerja dan berusaha, “Dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman) (Surah al-Baqarah ayat 143).

Sesungguhnya kita mempunyai projek Islam yang menyeru kepada pembentukan umat, penta’diban bangsa dan perealisasian cita-cita. Ini semua menuntut suatu jiwa yang besar dan agung yang tergambar melalui kehendak yang kuat, kesetiaan yang tidak berbelah bagi, pengorbanan yang tinggi, pengetahuan tentang prinsip dan keyakinan tinggi terhadapnya, kerana ia adalah projek bangsa muslim yang terbakar hatinya kerana rindu dan penuh berharap untuk hidup dengan Islam dan kerana Islam, agar ia mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan manusia di dunia, serta bangkit melaksanakan kewajipannya yang telah ditetapkan oleh Allah, tuhan sekalian alam.

Ia adalah projek yang membawa manusia kepada ketaqwaan, petunjuk dan jalan lurus yang merealisasikan bagi umat ini identitinya yang tersendiri, keperibadiannya yang istimewa, kebebasan ekonomi dan kehendak politiknya, sehingga ia tidak lagi cair menurut acuan barat atau timur, dan sehingga ia keluar daripada kelemahan yang sedang dialaminya hasil daripada kemunduran, jumud (kebekuan) dan kerosakan dirinya sendiri daripada satu sudut, dan serangan serta penjajahan pemikiran dan ketenteraan daripada sudut yang lain.

Inilah manhaj kita sebagaimana kita fahami, yakini dan kita bergerak dengannya. Kita tidak akan terpesong daripadanya, bahkan kita berkata sebagaimana kata-kata Rasulullah saw: Maksudnya: “Demi Allah, jika mereka meletakkan matahari di sebelah kananku dan bulan di sebelah kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini (Islam), nescaya aku tidak akan meninggalkannya, sehinggalah Allah memenangkannya atau aku musnah kerananya.”

Sekian, Wallahu a’lam bimuradihi.

No comments:

Post a Comment