Monday, May 23, 2011

Penghakupayaan Belia

Generasi Net (Y) adalah pemangkin modernisasi dan pertumbuhan negara. Pembinaan rangkaian generasi yang berkualiti adalah saling kebergantungan sistem politik, pendidikan dan governan kerana ketiga-tiga elemen ini bersifat resiprokal. Proses pembinaan rangkaian generasi belia itu perlu dimulakan dengan pemerkasaan individu belia yang seterusnya akan membangkitkan nilai-nilai kepimpinan dirinya.

Persoalan penting yang perlu diketengahkan ialah :

1) Mengapa generasi Net ini perlu diperkasakan?
2) Bagaimana ia boleh dilakukan?
3) Apakah cabaran yang akan dihadapi?

Proses pemerkasaan generasi belia hari ini amat penting kerana golongan belia sering dikaitkan dan menjadi bahan kecaman atas segala permasalahan sosial, penglibatan dalam jenayah, dilabelkan sebagai pembawa budaya negatif, malah menganggap belia sebagai “liabiliti”. Benarkah tanggapan ini? Benarkah belia adalah tanggungan atau hutang yang perlu ditanggung oleh pemimpin generasi ini?

Individu belia, terutamanya pemimpin generasi itu sendiri merupakan agen perubah dalam penentu masa depan negara dan nadi penggerak utama dalam pembentukan peribadi dan masa hadapan para belia di sekiling dan yang dipimpinnya. Ini jelas menunjukkan bahawa pemimpin belia mempunyai tugas yang amat berat di dalam konteks pembangunan belia. Peranan dan tanggungjawab mereka bukan hanya terbatas kepada kepimpinan ke atas ahli dalam pertubuhan belia yang dipimpinnya semata-mata, tetapi juga kepada masyarakat dan negara.

“Partisipasi belia” dalam perancangan pembangunan negara juga perlu direalisasikan melalui pembudayaan penghakupayaan belia (youth empowerment) bagi memastikan hak dan keperluan golongan ini ditangani secara holistik. Penghakupayaan belia ialah “membolehkan dan mendapatkan belia untuk memahami dan bertindak atas semua isu (seperti peribadi, keluarga, sosial, budaya, ekonomi, politik dan antarabangsa) yang menyentuh dirinya dan segala yang disekitarnya yang mereka adalah sebahagian daripadanya”.

Melalui penghakupayaan belia ini, diharapkan kerangka “governans baru” dapat dibentuk, iaitu :

“Transformasi daripada keadaan kini di mana wujud hubungan tiga segi yang tidak seimbang antara ketiga-tiga sektor pembangunan (kerajaan, perniagaan dan belia / masyarakat sivil), kepada keadaan baru di mana wujud hubungan sinergi antara ketiga-tiga sektor itu yang bekerjasama pada kedudukan yang adil”.

Sebagai seorang pemimpin yang sedang dan akan terus meneruskan agenda pembangunaan belia, saya mencadangkan :

1) Belia sendiri memain peranan aktif dalam masyarakat sivil melalui proses penghakupayaan yang komprehensif dan tersusun. Ini akan membantu penambahbaikan `civil society network’.

2) Memahami tanggungjawab kewarganegaraan yang bukan hanya menjadi pengguna semata-mata dan sentiasa harus bersedia untuk menjadi pemimpin ummatik – pemimpin yang faham tanggungjawa dan amanah kepimpinan sebagai khalifah di mukabumi ini.

3) Oleh itu, agenda pemerkasaan belia harus berteraskan elemen kegigihan, patriotisme, nasionalisme dan nilai-nilai murni beragama.

4) Belia harus bermotivasi untuk bertindakbalas ke atas perancangan kerajaan: sejauh mana pembuat dasar dan pelaksana dasar bersedia meningkatkan kordinasi dengan belia agar pembuat dasar dan pelaksana dasar sedar akan kekuatan dan keperluan belia.

5) Pencapaian pelan tindakan dengan tempoh masa tertentu dan indikator pemantauan penting dan sebarang input berkenaan kegagalan program, aktiviti atau pelan tindakan sebelum ini harus dijadikan iktibar.

6) Pihak yang berkepentingan perlu fokus pada implementasi dengan program atau projek yang khusus bermatlamat, relevan dan sesuai dengan persekitarannya.

Peningkatan kualiti seorang individu yang menjadi ahli kepada kelompok generasi harus dimulakan dengan memperkasakan belia dalam kepimpinan, pendidikan dan governans. Perkara ini harus diberikan keutamaan dan penting kerana partisipasi belia dalam masyarakat sivil pada hari ini di Malaysia walaupun aktif, tetapi terbatas.

Integrasi partisipasi belia dalam semua peringkat organisasi masyarakat sivil mampu mengukuhkan skil kepimpinan dan pengalaman belia bagi pengukuhan rangkaian generasi ini. Idea, kreativiti dan inisiatif belia penting untuk organisasi masyarakat sivil seiring dengan tuntutan semasa globalisasi dan perkembangan teknologi.

Mengapa, bagaimana dan cabaran pemerkasaan penting untuk diberikan perharian dalam membentuk pelan tindakan yang berkesan, berjaya dari pelaksanaan, diterima majoriti dan kos-efektif. Akhirnya, usaha murni ini akan melahirkan anggota dan ahli dalam generasi yang ’holistik’, mempunyai pandangan alam tersendiri didokongi oleh kepakaran, ilmu, kemahiran dan kebolehan dengan diwarnai oleh keperibadian mulia memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment