Peranan Generasi Net sebagai Penilai Maklumat dan Jaringan Sosial
DR. JANICE L. H. NGA
(Dipetik daripada Kertas kerja bertajuk "Memperkasa Jati Diri Generasi Net Menerusi Peranan Generasi Net" sempena SYNF 2010)
Selepas meninjau peranan generasi net sebagai pengguna maklumat dan pemberi maklumat, maka kita beranjak kepada fungsinya sebagai penilai maklumat. Perbincangan juga memberi tumpuan kepada jaringan sosial atau ‘social networking’ untuk menjelaskan fungsinya. Pemerhatian melalui masa menunjukkan wujudnya tren peningkatan orang muda yang terlibat secara aktif dalam jaringan sosial informal khasnya lima tahun kebelakangan ini dalam blog dan jaringan sosial (seperti Facebook, MySpace, Twitter dan Friendster). Perlu dikatakan bahawa tsunami politik 2008 telah menambahkan lagi minat baru terhadap kepentingan internet di kalangan rakyat Malaysia.
Antara pelbagai jenis jaringan informal ini, Facebook dikatakan paling popular menurut laporan bulan Jun 2009 (AHN:2 Jun 2009). Belia pelbagai latar belakang telah menubuhkan dan menyertai kumpulan yang mempunyai minat bersama. Kepelbagaian kumpulan-kumpulan ini dari mereka yang berkaitan dengan politik, sehinggalah mereka yang prihatin dengan perkembagan ekonomi dan sosial. Kebanyakan kumpulan menyenaraikan diri mereka sebagai global, kumpulan umum dan ada juga yang mengkategorikan diri mereka sebagai ‘organisasi politik’. Kumpulan-kumpulan belia ini menunjukkan keinginan mereka untuk merasa penting apabila mereka mengkategorikan kumpulan mereka sebagai ‘global’.
Didapati kebanyakan kumpulan ini mempunyai keahlian terbuka di mana siapa-siapa sahaja boleh menyertainya, walaupun sebahagian kecilnya adalah kumpulan tertutup. Bagi kumpulan tertutup, kebenaran penyertaan perlu diambil daripada pengurus kumpulan atau ‘pencipta’ (atau ‘creator’) kumpulan. Kemudahan ini berguna sekiranya ia melibatkan isu-isu sensitive kerana pencapaian dan perbincangannya adalah terhad kepada ahli-ahli sahaja. Justeru, ia boleh mengurangkan risiko dan lebih selamat. Bagi kumpulan terbuka juga, ada didapati perbincangan dan penilaian terhadap isu-isu sensitif masih ada di kumpulan terbuka. Keadaan ini menunjukkan keberanian generasi net ini menyatakan pandangan di domain umum atau mungkin disebabkan terdapat lebih banyak ruang kebebasan dalam alam siber berbanding dengan persatuan formal.
Kumpulan-kumpulan ini atau ‘e-persatuan’ merupakan kumpulan masyarakat sivil kerana menepati kriteria persatuan masyarakat sivil. Ini disebabkan penubuhan e-persatuan ini berdasarkan ideal kolektif, minat bersama dan tindakan kolektif. E-persatuan atau e-kumpulan ini adalah layak dipanggil sebagai e-organisasi belia atau persatuan belia informal atas ciri-ciri organisasi yang diterima (Dekker & van Den Broek 2004:3; Kumar 1993:383; Lee 2004:3; Schwartz and Lawson 2005:270; Wainwright et al. 2006:13; White 2006:114; Zadek 2007:38; Nga 2009:17, 20, 29-30).
Kumpulan-kumpulan ini mengadakan perbincangan dan forum atas talian (atau ‘e-perbincangan’ dan ‘e-forum’), dan juga terdapat aktiviti secara ‘real-physical’ seperti seminar anjuran di luar ruangan siber, ‘candle-lit vigils’, mesyuarat dan perjumpaan ahli-ahli. Aktiviti-aktiviti ini menunjukkan ia merupakan suatu bentuk tindakan kolektif yang mana ahli-ahlinya percaya dan berasa selesa dengan penyertaan mereka (Dekker & van Den Broek 2004:3; Faist 2009:187; Hasenfeld & Gidron 2005:103-104; Hindess 1989:48; Inkeles 2000:248, 260; Jenkins & Form 2005:332, 334; Kwon 2004:136, 159; Lee 2004:5, 7; Nga 2009:30-32; Olson 2003:6; Ostrom & Ahn 2003, Park & Shin 2005:68; Passy 2003, Smith et al. 2004:509; Sydow 2004:206; Welzel et al. 2005:124, 140, 141; Woolcock 1998, 2002; Woolcock & Narayan 2000:240).
Pemerhatian juga mendapati ahli-ahli kumpulan jaringan sosial terdiri daripada pelbagai latar belakang, etnik dan agama. Mereka menghuni di berlainan tempat dan perbincangan mereka didapati begitu benar atau menunjukkan penyertaan aktif. Isi kandungan perbincangan mereka juga begitu menarik dan kreatif tanpa kekangan.
Perkembangan ini perlu diberi perhatian kerana sememangya ramai orang muda Malaysia terlibat dalam jaringan informal dan internet ini (The Star:25 Mac 2008; Nga 2009:246, 256-257). Kerajaan juga sedar dan mengakui perkembangan ini. Contohnya, Menteri Kabinet Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa “with the advent of information technology, youths had the tendency to seek views from the Internet and not conventional media like newspapers” dan “there was a negative perception of the Barisan among young voters”yang bermaksud wujudnya kecenderungan golongan muda memilih media alternative atau media bebas dan golongan net juga didominasi pandangan negatif terhadap kerajaan BN (The Star:25 Mac 2008). Timbalan Menteri di Kementerian Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, juga menyatakan “Youths prefer to express themselves freely without barriers” yang bermaksud golongan muda lebih suka kebebasan bersuara (The Star:20 Julai 2009). Selain itu, pihak swasta seperti Pengarah Urusan Synovate di Malaysia, Steve Murphy menyatakan “Young Malaysians are definitely turning to the Internet more for their information and entertainment needs and it’s not surprising that the Internet is slowly becoming the medium of choice” yang bermaksud peningkatan status internet sebagai pengantara pilihan utama orang muda .
Sesuai dengan perkembangan tuntutan keadilan, demokrasi dan pemerintahan governan yang baik, maka ada baiknya kita meninjau sistem politik dan praktis governan serta tahap demokrasi mengambil kira pandangan dari dalam dan luar negara.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment