Monday, May 23, 2011

Partisipasi Belia

Untuk menjadi belia yang mengetahui, memahami sebenar-benarnya dan seterusnya melaksanakan peranan sebagai rakyat agar tergolong sebagai patriot melibatkan proses yang panjang. Proses ini melibatkan pelbagai pihak seperti institusi keluarga, media massa, institusi pendidikan yang merangkumi pendidikan di peringkat rendah, menengah serta institusi pengajian tinggi dan sebagainya. Ini dikenali sebagai proses sosialisasi. Justeru itu, langkah pertama yang perlu diambil untuk meningkatkan keterlibatan ini ialah dengan mengkaji dan menganalisa isu-isu dan cabaran-cabaran yang sering dihadapi oleh belia.

Menurut Laporan kertas kerja Forum Discussion Paper on Youth yang dianjurkan oleh National Information Technology Council pada tahun 2005 telah merumuskan beberapa isu-isu dan cabaran-cabaran belia seperti yang tertera pada Rajah 1 di atas. Isu-isu dan cabaran-cabaran yang telah diketengahkan ini merupakan isu-isu penting yang tidak perlu diketepikan terutamanya yang berkaitan dengan isu politik dan telah diterjemahkan pada Pilihanraya Umum 2008. Kajian Indeks Belia Malaysia 2006 turut membuktikan sosialisasi politik dalam kalangan belia adalah di peringkat sederhana baik sahaja kerana ramai belia tidak membabitkan diri dalam aktiviti sosialisasi politik. Sosialisasi politik bermaksud cara atau kaedah kita menerima norma, nilai dan pengalaman politik dalam kehidupan (Samsudin Rahim, 2007).

Menurut Hussain Mohamed (1997:10), belia yang digolongkan sebagai ‘orang muda’ dianggap sebagai orang yang bertenaga, lebih produktif dan menguntungkan dari sumbangan tenaga kerja ekonomi. Oleh itu, mereka adalah sumber yang boleh digerakkan untuk menyokong, menegakkan dan meneruskan pemegangan kuasa seseorang pemimpin atau sesebuah parti politik memerintah. Namun begitu, disebabkan oleh faktor umur belia yang dikira bertenaga, Husain Muhamed berpandangan bahawa golongan belia mempunyai sifat mencabar, resah gelisah dan cenderung untuk menentang establishment dan status quo masyarakat. Ini boleh menimbulkan masalah kepada masyarakat dan negara sekiranya belia bersifat anti-social dan radical. Oleh itu, nilai dan sikap yang dimiliki oleh golongan belia hari ini akan mempengaruhi pemikiran bentuk masyarakat di masa akan datang kerana mereka adalah pewaris kepimpinan.



Partipasi, penyertaan atau participation mempunyai pelbagai takrifan. Menurut Pring dan Noe (2002:15), partisipasi awam bermaksud:
“all en-compassing label used to describe the various mechanisms that individuals or groups may use to communicate their views on a public issue”.

Namun begitu, apakah yang dimaksudkan sebagai partisipasi belia atau youth participation?
United Nation Economic and Social Commision for Asia and the Pacific (UNESCAP) mendefinisikan partisipasi belia sebagai:
“... a process through which youth influence and share control over initiatives and the decisions and resources that affects them”.

UNESCAP juga menjelaskan bahawa:
“Youth participation is about developing partnerships between young people and the adults in all areas of life so young people can take a valued position in our society and the community as a whole can benefit from their contribution, ideas and energies” (Australia Youth Foundation, 15 Mac 2007).

Oleh yang demikian, faedah yang golongan belia ini bakal terima melalui partisipasi mereka dalam proses pembuatan keputusan (World Youth Report, 2003):


  1. Partisipasi belia akan membawa kepada keputusan dan hasil aktiviti yang lebih baik


  2. Partisipasi belia akan meningkatkan pembangunan dan kesejahteraan diri golongan muda.


  3. Partisipasi mengukuhkan komitmen dan pengetahuan berkaitan hak asasi dan demokrasi.


  4. Partisipasi dapat melindungi golongan belia.


  5. Lebih ramai golongan belia akan turut serta.


  6. Partisipasi adalah hak manusia sejagat.


Dengan wujudnya parlimen belia, diharapkan usaha murni melibatkan lebih ramai golongan belia turut berpartisipasi dalam memberikan idea dan input dalam membangunkan negara yang maju, aman dan makmur (baldatun tayyibun ghaffur).

Justeru, dengan harapan masyarakat umum yang mengharapkan seorang belia yang bakal mewarisi kepimpinan negara satu hari nanti haruslah yang bertanggungjawab untuk memajukan masyarakat dengan tingkah laku yang baik, rajin, bekerja, dedikasi dan tidak melanggar norma-norma masyarakat, maka para belia haruslah menyedari "perceived and expected role" mereka adalah untuk menyempurnakan pengetahuan, membina kemahiran serta menanam sikap positif dan berguna dalam diri mereka.

No comments:

Post a Comment