Sunday, February 22, 2015

Ideologi dan Agama

Penggunaan agama mahupun tindakan yang kononnya berasaskan agama adalah standard atau piawai yang digunakan sepanjang zaman dan keadaan masyarakat.

Bukannya Islam sahaja tetapi agama Kristian pun melalui perkara yang serupa (hasil daripada pembacaan saya tentang sejarah Kristian). Tidak pasti tentang agama-agama lain tetapi mungkin macam ada jugak...

Dengan perkongsian ini, saya bukannya ingin mempromosi  ekstremisme tetapi ingin menjelaskan peranan dan modus operandi ekstremis agama yang lebih kurang sama tidak kira agama apa.

Sewaktu saya di UK di awal tahun 90an, umat Islam adalah pembawa gelombang agama "baharu" di sana. Pengetahuan orang-orang UK tentang Islam pada masa tu dalam transisi; dari pelabelan golongan masyarakat yang mundur dan barbarik kepada masyarakat yang boleh berdaya saing.

Pada masa itu, wayang-wayang berkaitan umat Islam tidak banyak dan paling teruk pun Islam akan ditunjuk sebagai tidak bertamadun;  dan aksi kegemaran orang-orang Barat untuk memotret Islam ialah dengan menunjukkan Islam suka memotong tangan dan merejam (tetapi yang bagusnya tiada pelabelan sebagai terroris seperti hari ini). Umat Islam dilihat sebagai minoriti yang tidak memberi kesan bahaya besar.

Cerita saya begini... di perumahan tempat saya tinggal menyewa rumah tidak memiliki masjid atau rumah ibadat Muslim yang sempurna dan menyebabkan komuniti Islam membeli satu rumah di sudut taman perumahan.

Mungkin pada masa itu, dialog antara agama tidak serancak hari ini. Dialog agama sekurang-kurangnya membuka sedikit kefahaman walaupun macam tiada apa-apa hasil; kertas kerja dan resolusi saja yang berjilid-jilid.

Pada masa tu, ada golongan minoriti di kalangan penduduk asal yang tidak menyenangi kewujudan masjid dan komuniti Islam disebabkan oleh beberapa faktor termasuklah dari segi ekonomi dan peluang pekerjaan. Mereka mula membuat aduan kepada City Hall tentang kewujudan masjid ini; syukurlah kewujudan masjid ini tidak melanggar mana-mana peraturan Majlis Bandaraya.

Mereka cuba juga menimbulkan isu ketenteraman awam tetapi tidak dapat dibuktikan dengan kukuh pada waktu itu. Saya masih ingat di dalam masjid itu memang ada papantanda besar tertulis peringatan supaya tidak berbuat kekacauan dan bising yang dibuat oleh Jawatankuasa Masjid.

Suatu hari semasa hendak menunaikan solat asar di masjid itu, saya melihat ada seorang penduduk asal membawa beberapa kanak-kanak berkulit hitam untuk bermain dengan kanak-kanak Muslim yang datang bersama bapa mereka. Penduduk asal itu mengagihkan mercun-mercun kepada kumpulan dua kanak-kanak itu.

Saya yang dalam keadaan tergesa-gesa hanya sempat menjeling perlakuan itu tanpa syak apa-apa. Tetapi, selepas selesai solat ramai penduduk asal mengadakan tunjuk perasaan dan berkumpul dengan polis membantah kononnya masjid ini mengganggu ketenteraman.

Persoalan; betapa cepatnya penduduk dan polis sampai sebab saya berada di dalam masjid tu kurang daripada setengah jam seolah-olah semuanya seperti dirancang. Mujurlah Majlis Bandaraya tidak menutup masjid tu; hanya memberi amaran dan denda.

Pada masa saya masih belajar di UK memang ada masjid-masjid lain yang ditutup kerana kununnya ada pergaduhan, gangguan ketenteraman awam, isu kebersihan dsb.

Saya tidak tahu apa terjadi di tahun-tahun berikutnya tetapi saya dengar sudah berkurangan sejak dialog agama diperkenalkan.

Itulah sebabnya apabila wujudnya kumpulan-kumpulan ekstrim yang memperjuangkan agama muncul di Malaysia, saya tidak berasa pelik. Yang saya pelik, di Malaysia wujud selepas keterbukaan global diperkenalkan dan mula wujud.

Bagi saya lah, ini semua bukan tentang agama kerana agama adalah falsafah dalam bentuk keimanan. Falsafah adalah mengenai kesejahteraan dan kebahagiaan.

Apabila emosi melebihi falsafah yang berteraskan keimanan dan menjadi idealisme yang "rigid" (mengeras), itu adalah ideologi.

Keimanan bukannya ideologi walaupun sesetengah orang cuba menyamakannya. Ideologi  adalah sesuatu yang baik untuk sesetengah perkara tetapi tidak untuk semuanya.

No comments:

Post a Comment