Alhamdulillah... Bencana banjir kali ini seperti selalunya ramai yang bermurah hati dan ringan tangan untuk memberikan bantuan.
Dermawan-dermawan dan sukarelawan-sukarelawan ini yang disebutkan di dalam Al-Quran sebagai usahawan-usahawan akhirat.
Allah berfirman:
“Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi Tuhan mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah ayat 262).
Di kaca TV dan di media sosial jelas terlihat suasana sedih dan muram mangsa-mangsa bencana sikit sebanyak diiringi dengan perasaan gembira dan redha dengan bantuan usahawan-usahawan akhirat ini.
Terdapat juga usahawan-usahawan dunia yang mendapat sedikit laba daripada peristiwa ini... sesuatu yang positif daripada kejadian yang buruk.
Kisah usahawan banjir yang ingin saya nukilkan di sini adalah merupakan kisah unik... Saya menggelarnya usahawan banjir bukanlah kerana beliau menerima keuntungan secara terus daripada peristiwa banjir tetapi kerana dermawannya ketika banjir dan kesungguhannya memahami dan mengamalkan ayat al-Quran ini :
“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah Ali-Imran ayat 92).
Kawan saya yang seorang ini memang aktif dengan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan sejak saya mengenalinya beberapa tahun dulu.
Dia bermula dengan menjadi sukarelawan semasa bencana berlaku dan memang minat yang begitu mendalam. Kerana kecewa dengan pengagihan bantuan yang dialaminya sendiri ketika mengurus sumbangan-sumbangan,dia telah bertekad untuk menguruskan sendiri bantuan-bantuan kepada mangsa bencana bersama-sama keluarga dan rakan terdekat.
Beberapa tahun kebelakangan ini dia telah bergerak sendiri ke kawasan bencana dan 2 atau 3 tahun lepas berjaya membeli sebuah lori 1 tan untuk urusan pengagihan bantuannya sendiri. Tahun ini dia telah berjaya menambah satu lagi lori sebagai aset bantuan bencananya.
Kawan saya ni masih makan gaji saja dengan sebuah syarikat swasta... hidupnya tidak semewah gajinya kerana hidupnya memang didedikasikan untuk umat (kerja sukarelawan dan dakwah). Kadang-kadang saya pun malu tumpangkan beliau menaiki kereta saya yang lebih mewah daripada kereta yang dimilikinya.
Bila bertemu dengannya baru-baru ini, dia menceritakan sesuatu yang unik tetapi tidak begitu pelik. Katanya, sejak bergerak secara solo dan berdikari dalam menguruskan bencana beberapa tahun ini, dia kata semakin sukar untuk membalas rezeki yang Allah turunkan kepadanya. Lori yang dibelinya sudah habis dibayar; oleh sewaan orang yang kadang-kadang dia tidak kenali. Sebab itulah dia beli satu lagi lori untuk bantuan tahun ini...
Oleh kerana bencana banjir yang menimpa tahun ini lebih lama dan panjang... aktiviti bantuan beliau tidak berjaya sampai di penghujung bencana tahun ini kerana beliau telah habis membelanjakan duit untuk bantuan bencana sepenuhnya tetapi lori-lori beliau masih lagi menjalankan misinya.
Belum pun banjir reda... lori beliau sudah menerima kontrak untuk sewaan selama setahun daripada seorang peniaga yang berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur.
Hati kawan saya ni semakin risau... "bagaimana aku mahu mengimbangi rezeki Allah ini dengan usaha-usaha sukarelawanku? Mungkin aku kena beli perahu atau bot pulak"
Kalau saya, mungkin lain pulak yang saya fikirkan dengan tambahan pendapatan sebegini :)
No comments:
Post a Comment