Monday, January 26, 2015

Tradisi berinovasi

Kita akan meniru hinggalah kita boleh berinovasi...

"If I have seen further it is by standing on the shoulders of giants." - Sir Isaac Newton.

[Jika saya ingin melihat jauh ke hadapan, saya akan berada di bahu sang gergasi].

Dunia adalah dalam keadaan ada awalnya; dan sesuatu yang baru akan bergantung kepada yang lama untuk berkembang sendiri atau berdikari mahupun berinovasi.

Untuk mengupas tentang pembinaan tamadun melalui proses inovasi, kita perlu memahami apa itu tradisi dan hukum.

Dan dalam memilih permasalahan yang perlu dihukumkan kita perlu bijaksana dan bijaksini memilih... perlu ada awlawiyyatnya; hukum rotan itu lebih besar ka daripada masalah sosial remaja? Yang mana lebih penting dalam kehidupan seharian untuk membangun ummah taqwa, sejahtera dan bertamadun.

Kita masih tercari-cari wasatiyyah yang bagaimana? Di arena global bagaimana? Di dalam negeri bagaimana? Pluraliti atau Polarisasi yang perlu dibincangkan? Tradisi lama atau Pendekatan baru?

Adalah menyalahi hukum alam apabila "orang moden" cuba bersikap sombong dengan memandang rendah kepada sejarah dahulu ataupun tradisi yang lama.

Ada juga yang berhujah dengan hujahan pembangunan dan kemajuan ilmu pengetahuan pada hal makna asas dan nilai-nilai pembangunan dan kemajuan ilmu masih belum mereka fahami.

Itulah padahnya mengenal ilmu dan pembangunan (islah) melalui tafsiran jangka pendek. Maka tidak salahlah apabila alam bangkit menghukum ataupun bala bencana dari sistem yang dibina oleh manusia itu sendiri.

Kita mungkin sudah terlupa akan kata-kata hikmah, "dunia ini bukanlah kita warisi daripada nenek moyang kita tetapi yang kita pinjam daripada anak cucu kita."

Bukan sahaja alam semula jadi yang perlukan perhatian dan perlindungan daripada kita tetapi hasil mahsul bumi kita, pelestarian ilmu pengetahuan dan pemurnian tradisi kita.

Tradisi memberi kita kesinambungan dan ianya membentuk siapa diri kita pada hari ini. Bagi saya, kehidupan tradisional yang diamalkan sebelum ini menjadikan diri kita sebahagian daripada tradisi tersebut.

Tradisi mengajar kita apa yang perlu kita lakukan. Pada hari ini, kita bukanlah pengamal tradisi, tetapi kita adalah tradisionalis, iaitu kita sendiri yang memilih untuk mengambil tradisi yang kita mahu dan meninggalkan tradisi yang tidak berkenaan.

Memilih tradisi tidak seharusnya membelakangkan hukum atau melimpasi batas-batas hukum...

Untuk menjelaskan apa itu hukum; 3 contoh ini merupakan asasnya...

Contoh Pertama : Satu tambah satu menjadi dua

Contoh Kedua : Solat 5 waktu wajib ditunaikan

Contoh Ketiga : Apabila makan kita akan berasa kenyang 

Hukum yang diambil melalui perantaraan akal dinamakan sebagai HUKUM AKAL seperti contoh yang pertama.

Hukum yang ditentukan perantaraan ketentuan agama Islam berdasar wahyu dinamakan HUKUM SYARAK seperti contoh yang kedua.

Hukum yang disimpulkan daripada perantaraan peristiwa kebiasaan iaitu perkara yang berlaku berulang-ulang kali maka dinamakan HUKUM ADAT seperti contoh yang ketiga.

Definisi Hukum ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain.

Hukum bagi kehidupan dunia ini sifatnya berubah-ubah dan dinamika bergantung kepada tradisi dan hujahan asalkan tidak menyalahi akal, syarak dan adat. Pertimbangan kebijaksanaan  (fatonah) yang menentukan sahnya (dan kesesuaian) sesuatu hukum itu... terutama kepada hukum kompleks yang perlukan penghujahan dalam hukum akal, syariah dan adat.

Hukum yang bermanfaat dan awlawiyyat insya Allah akan menghasilkan inovasi!

Begitulah Sir Isaac Newton berinovasi melihat jatuhnya epal yang tradisi sebelumnya bilamana epal jatuh menandakan buah sudah masak; yang kemudiannya diketahui bahawa wujud daya tarikan yang dipanggil graviti.

Kita pula bagaimana mau berinovasi dengan masalah banjir, masalah ekonomi, masalah rempit, masalah buang bayi dan paling besar sekali... pemikiran yang masih belum merdeka.

Saya amat takut nabi tidak mahu mengaku kita umatnya nanti di akhirat oleh kerana kebodohan kita...

Sabda Rasulullah S.A.W. “Jangan sampai kamu dipatuk oleh ular di dalam lubang yang sama dua kali,” (Riwayat Abu Daud)

Wallahu a'lam bissawab

No comments:

Post a Comment