Sudah sekian lama saya tidak menyentuh buku al-Ustaz Fathi Yakan, “Apa ertinya saya menganut Islam?” Kebetulan dalam usrah yang saya hadiri beberapa malam lepas, buku inilah yang dijadikan rujukan perbincangan dan kebetulannya topik “Saya mestilah Islam di sudut Ibadah” dijadikan topik perbahasan pada malam itu.
Kenapa kita perlu ibadah? Adakah kerana sepotong ayat ke-56 dalam surah Adz-Zariyat yang bermaksud “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu” semata-mata? Ya, jika kita mengambil ayat ini sebagai hakikat kejadian manusia, hakikat terciptanya alam, hakikat kehidupan dunia, hakikat mati dan hakikat kehidupan akhirat yang akhirnya, kembali kepada matlamat hidup yang sebenar.
Dalam meniti perjalanan hidup yang penuh berwarna-warni, suka-duka dan pelbagai asam garamnya; kebahagiaan, ketenangan dan ketenteraman hakikilah yang dicari-cari. Ibnu Qayyim r.h. mengatakan: “Sesungguhnya dalam hati terdapat luka yang tidak boleh dijahit kecuali dengan menghadap penuh kepada Allah SWT. Di dalamnya juga ada satu keterasingan yang tidak mampu diubati kecuali dengan menyendiri bersama Allah. Di dalam hati juga ada kesedihan yang tidak akan mampu dipadamkan kecuali oleh kebahagiaan yang memudah kerana mengenal Allah dan ketulusan berinteraksi denganNya. Di dalam hati juga terdapat kegelisahan yang tidak mampu ditenangkan kecuali dengan berhimpun kerana Allah dan pergi meninggalkan kegelisahan itu dan menuju kepada Allah SWT. Di dalam hati juga terdapat gejolak api yang tidak mampu dipadamkan kecuali oleh keredhaan akan perintah, larangan dan keputusan Allah, yang diiringi dengan ketabahan dan kesabaran sampai tiba saat perjumpaan denganNya.”
Ibnu Qayyim r.h. berkata, “Ketika orang lain bergantung kepada dunia, gantungkanlah dirimu hanya kepada Allah. Ketika orang lain berasa gembira dengan dunia, jadikanlah dirimu gembira kerana Allah. Ketika orang lain berasa bahagia dengan kekasih-kekasih mereka, jadikan dirimu berasa bahagia dengan Allah. Ketika orang ramai menghadap raja-raja dan pembesar-pembesar mereka untuk mengharap harta dan mencintai mereka, jadikanlah dirimu betul-betul mencintai Allah SWT.”
Seorang cendikiawan Islam agung terkenal, Al-Farabi pernah ditanya, “Apakah kamu mempunyai wang untuk hidup sehari-hari? Atau harus meminta sumbangan dari Baitul Hikmah, Baitul Mal atau dari kerajaan yang menaungi ilmu dan para ulama?”
Al-Farabi menjawab, “Tuan tidak perlu bimbang tentang kehidupan sehari-hari saya. Saya masih ada beberapa Dinar. Lagi pula saya lebih suka bekerja mencari nafkah daripada bergantung kepada belas kasihan orang lain. Sejak bertahun-tahun lalu, saya memilih suatu pekerjaan yang tidak menghalang saya berfikir, belajar dan mencari ilmu, yaitu sebagai penjaga Taman.”
Yang bertanya berseru dengan heran, “Apa? Kamu bekerja sebagai penjaga taman? Berapa kamu diberi upah sebagai penjaganya?”
Al-Farabi menjawab, “Empat puluh dirham, cukup untuk makan minum selama sebulan, membeli makanan keldai, lebihannya untuk membeli kertas dan tinta. Taman itu tidak banyak memerlukan penjagaan kecuali pada malam hari. Oleh karena itu, saya menjaga taman malam hari, dengan ditemani cahaya lilin tanpa memejamkan mata sehingga matahari terbit. Kemudian saya tidur selama tiga jam, setelah bangun langsung menyiapkan sarapan, kemudian keluar menemui para ulama.”
Urusan duniawi tidak menjadi hal yang menjadi keutamaan untuk dituntut oleh beliau. Sedikitpun ia tidak terpengaruh. Hal ini boleh dilihat daripada kehidupannya yang sangat sederhana. Tempat tinggal, makan minum, dan urusan pakaian, semuanya serba sekedarnya. Ia lebih gemar memakai pakaian kebangsaan Turki yang ringkas dan tidak menonjolkan kemegahan dalam berbusana. Dalam urusan makan secara konsisten ia mengamalkan Sunnah Nabi, hanya makan ketika lapar, dan berhenti sebelum kenyang.
Inilah hebatnya contoh kehidupan insan hebat yang terkenal dalam pelbagai bidang seperti falsafah, fizik, matematik, metafizik, akhlak dan politik, beliau diceritakan membaca buku Oragnon karya Aristotle lehih daripada 400 kali semata-mata untuk mendapat kefahaman yang lebih mendalam. Bagaimana pula dengan diriku ini yang tidak lebih daripada lima kali buku al-Ustaz Fathi Yakan, “Apa ertinya saya menganut Islam?” benar-benar memahami apa-apa tuntutan sebagai penganut agama yang suci dan mulia ini?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment